Memaparkan catatan dengan label dunia semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dunia semasa. Papar semua catatan

26.3.10

25 AJARAN SESAT: FATWA JABATAN MUFTI SELANGOR


SHAH ALAM: Sebanyak 25 ajaran telah difatwakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor sebagai ajaran sesat di negeri ini sejak tahun 1990an hingga kini.

Antara ajaran yang telah difatwakan sebagai sesat ialah, Tarekat Naksabandiyah Kadirun Yahya, Ajaran Nordin Puteh, Tarikat Mufarduyah, Ajaran Hj Ghazali Othman, Ajaran Zamree Ab Wahab, Fahaman Syiah, Tarikat Al-Hasaniah, Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol, Ajaran Tijah@Khadijah Ali, Ajaran Islam Lamaah, Ajaran Qadani, Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit.

Selain itu, Ajaran Ilmu Ahmad Laksaman, Ajaran Tarikat Zikrullah Hassan Anak Rimau, Ajaran Martabat Tujuh, Golongan Anti Hadis, Ajaran Kahar Ahmad, Aurad Ismailiah, Al-Arqam, Ajaran Syed Mohamad Al Masyhor, Ajaran Sulaiman, Ajaran Qadani dan Ajaran Banuar Roslan turut dikategorikan sebagai ajaran sesat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, selain 25 ajaran yang telah disahkan sebagai sesat itu, pihaknya juga sedang menyiasat 35 kes lagi yang dilaporkan sebagai sesat.

"Ini termasuk kes perbomohan, ada juga kes seorang budak dapat melihat alam ghaib dan dapat mengubat orang sakit," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama mStar Online.

Beliau menjelaskan, tidak sepertimana yang disangka ramai, pihak jabatan tidak terus menjatuhkan fatwa hanya berdasarkan aduan atau laporan awam melainkan setelah menjalankan siasatan terperinci mengenai kandungan ajaran sesuatu tarikat atau amalan sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk diputuskan.

"Memang kita memerlukan masa yang panjang kerana kita memerlukan bukti kukuh. Tetapi ada juga ajaran yang tidak dapat difatwakan kerana tidak cukup bukti.

"Untuk memfatwakan seseorang itu salah dan sesat bukan mudah kerana ini soal akidah. Kalau kita silap kita bertanggungjawab ke atas keputusan yang dibuat. Sebab itu kita mengambil masa yang lama untuk putuskan,” katanya.

Beliau menambah, Jais tidak boleh mengambil tindakan terhadap kumpulan yang sedang disiasat sehingga ia difatwakan.

Ditanya sama ada 'freemason' dan 'illimunati' tergolong dalam ajaran sesat, Mohammed Khusrin berkata: "Pada pendapat saya ia bukan ajaran Islam maka ia tidak boleh dikira sebagai ajaran sesat.

Menurut beliau yang ditafsirkan sebagai ajaran sesat ialah ajaran yang telah menyeleweng daripada ajaran Islam.

"Selalunya orang yang menyebarkan ajaran sesat ini mengaku dirinya Islam tetapi dia menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan akidah," katanya.

Mengulas lanjut isu berkenaan, beliau berkata, tempoh masa yang agak lama diperlukan untuk menyiasat dan mengumpulkan bukti mengenai sesuatu ajaran sebelum ia dikategorikan sebagai ajaran sesat.

Mengenai garis panduan yang digunakan Jais, Mohammed Khusrin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap ajaran yang didapati bertentangan dengan syarak dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Kita berpandukan ajaran al-Quran, hadis, Ijmak Ulamak dan fatwa. Contohnya kumpulan tarekat memang sukar untuk dipastikan mereka menyeleweng atau sebaliknya.

"Ini kerana kita terpaksa ikut dan masuk dalam kumpulan itu dan kita lihat serta kaji zikir mereka," katanya.

Tambah beliau, ajaran sesat bukan mudah untuk dikesan dan untuk mengesan ajaran sebegini pegawai-pegawai Jais akan menyamar dengan menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan tersebut bagi melihat sendiri ajaran yang dibawa oleh kumpulan berkenaan.

Justeru, bagi membendung masalah tersebut, Mohammed Khusrin berkata, Jawatankuasa Panel Akidah yang dipengerusikan oleh Mufti Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Tamyes Abdul Wahid dan beberapa pakar dalam bidang syariah dan akidah akan menjalankan sesi kaunseling dengan mereka yang disyaki terlibat dalam menyampaikan ajaran sesat di negeri itu.

"Kita akan panggil mereka yang kita disyaki ini dan kita berdialog mengenai ajaran yang mereka bawa.

"Akan datang kita akan panggil Tarekat Nasabandiyah untuk dapat penjelasan dan cuba membetulkan akidah pemimpin kumpulan ini," katanya.

Selain itu, katanya, Jais dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiasa mengadakan ceramah dan dialog dengan orang-ramai dari semasa ke semasa.

"Kita akan pergi memberi ceramah dan dialog di daerah dan kawasan yang kita kenalpasti seperti di Gombak, Ampang kerana kawasan ini menjadi tumpuan.

"Kita juga turut mengedarkan risalah dan menyampaikan khutbah Jumaat untuk sedarkan masyarakat tentang bahayanya ajaran sesat ini," kata beliau.

16.1.10

larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam

Larangan penggunaan kalimah Allah oleh non muslim
Sumber Berita : Berita online

Selepas Selangor dan Pahang, lapan negeri mengesahkan sudah dan sedang dalam usaha untuk menguatkuasakan larangan penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam melalui penguatkuasaan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di negeri masing-masing.

Lima negeri termasuk Kedah, Johor, Melaka, Terengganu dan Negeri Sembilan sudah menguatkuasakan enakmen itu sementara Kelantan, Perak dan Perlis yang mempunyai enakmen berkenaan kini sedang dalam proses untuk diwartakan.


Empat negeri lagi iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal undang-undang berkenaan.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Uzir Baharom, berkata enakmen berkenaan diwarta dan dikuatkuasakan di negeri itu sejak 1988 dan ia menjadi larangan kepada bukan Islam untuk menggunakan 24 perkataan berunsur Islam termasuk kalimah Allah dalam sebarang terbitan dan ucapan yang dikaitkan dengan agama lain.

"Kita sudah lama warta dan kuat kuasa enakmen berkenaan. Perkataan yang dilarang penggunaannya oleh bukan Islam juga jelas," katanya ketika dihubungi Berita Harian.



Isnin lalu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pihaknya supaya teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam bagi memelihara akidah umat Islam dan keharmonian beragama.

Selain itu, Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang turut tidak membenarkan 25 perkataan bersumber Islam digunakan untuk agama lain.

Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin, turut mengesahkan negeri itu sudah mewarta dan menguatkuasakan enakmen berkenaan sejak 2007.

"Sesiapa yang melanggar enakmen ini boleh dikenakan tindakan kerana dianggap menghina kesucian agama Islam," katanya.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata enakmen berkenaan sudah dikuatkuasakan di negeri itu pada 1980 yang melarang lebih daripada 10 perkataan.

Di Negeri Sembilan, sebanyak 36 perkataan bersumber Islam dilarang penggunaannya oleh agama lain melalui Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam) (Negeri Sembilan) 1991.

bukan Islam dilarang menggunakan 25 kalimah

25 kalimah larangan untuk bukan Islam
sumber berita : MAIS

Orang bukan Islam yang menggunakan secara bertulis atau lisan 25 perkataan yang dilarang akan dikenakan tindakan mengikut Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 dan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, mereka boleh dikenakan tindakan sekiranya terdapat aduan berhubung perkara itu.


“Setakat ini (di Selangor) tiada individu disabitkan di bawah enakmen itu dan keadaan ini berkemungkinan ada aduan tetapi kita tidak cukup bukti untuk buat sabitkan kesalahan.

“Tetapi kita akan jalankan siasatan lanjut dan kemukakan bukti jika ada menerima aduan mengenai penggunaan perkataan larangan tersebut,” katanya.



Antara perkataan itu adalah
Allah, firman Allah, nabi, mubaligh, syariat, wahyu, mufti, Kaabah, hadis, rasul, iman, ibadah, fatwa, haji, kiblat, Ilahi, Injil, ulama, khalifah, wali, Syeikh, Iman dan dakwah.

Mohamed Khusrin berkata, gesaan itu dibuat untuk memberi peringatan kepada bukan Islam supaya menghormati agama Islam.

“Kita harap mereka tidak akan guna pakai perkataan-perkataan yang telah disenaraikan itu dalam apa juga keadaan sama ada percakapan atau penulisan dalam mana-mana penerbitan bukan Islam,” katanya.

Katanya, di Pahang terdapat satu (1) kes mengenainya telah dibicarakan dan disabitkan kesalahan.

“Enakmen ini juga telah diguna pakai oleh 10 negeri termasuk Selangor dan Pahang dan perkara ini perlu untuk memberi penjelasan kepada bukan Islam agar menghormati dan menjaga keharmonian Islam,” katanya.

bukan Islam juga turut dilarang menggunakan 10 perbahasan seperti :
subhanallah, insya-Allah, astaghfirullahlah, masya-Allah dan Allahuakbar
sama ada berbentuk lisan ataupun penulisan.


15.1.10

Gerhana Matahari Separa 15 Januari 2010

Pada 15 Januari 2010, Malaysia akan menikmati satu lagi fenomena yang jarang berlaku iaitu gerhana matahari..
Tetapi kali ini malaysia akan menikmati gerhana matahari separa sahaja dimana matahari akan ditutup oleh bulan sebanyak 43% sahaja.


Gerhana matahari berlaku apabila bulan berada antara bumi dan matahari.. ini membuatkan kawasan bumi yang mengalami siang akan mengalami gerhana kerana bulan telah menghalang atau melintasi depan matahari, sesetengah kawasan akan mengalami gerhana separa dan sesetengah lagi akan mengalami gerhana penuh



Gerhana kali ini akan berlaku pada hari jumaat kira-kira jam 3 petang hingga 5.37 petang. Gerhana kali ini digelar sebagai "Annular" atau "gerhana cincin"...Hal ini kerana bulan lebih kecil sedikit berbanding matahari, apabila bulan melintasi depan matahari secara fasa annularity, matahari akan membentuk seolah-olah sebentuk cincin



Kepada umat islam disarankan untuk solat gerhana.

Malaysia akan menikmati 34 gerhana matahari pada abad ke-21 ini, manakala 6 gerhana penuh iaitu 4 gerhana cincin dan 2 gerhana total. gerhana cincin penuh akan berlaku pada 2019, 2031, 2042 dan 2096 manakala gerhana penuh pula pada tahun 2042 dan 2082. Betapa jarangnya gerhana matahari yang berlaku di Malaysia, oleh itu, bersyukur la kita apabila melihat fenomena jarang ini, kerana Allah mencipta gerhana untuk melihat hambanya sama ada bersyukur atau tidak, bersyukurlah dengan melakukan solat gerhana.

Untuk langkah-langkah keselamatan, dilarang melihat matahari secara terus, ini akan menyebabkan mata anda akan rosak, sila pakai penapis matahari atau cermin mata gerhana yang dijual dimana-mana kedai menjual aksesori astronomi..ataupun gunakan kaedah pinhole projection

4.1.10

KENYATAAN MEDIA BERHUBUNG KEPUTUSAN KES KALIMAH ALLAH OLEH MAHKAMAH TINGGI PADA 31 DISEMBER 2009







Berikutan daripada keputusan kes di atas yang dibuat pada 31 Disember 2009 oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Lau Bee Lan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katholik di dalam penerbitan mereka “The Herald Weekly”,

Pengerusi MAIS Dato’ Setia Mohamad Adzib bin Mohd Isa, Mufti Negeri Selangor Dato’ Setia Hj. Mohd Tamyes bin Abdul Wahid dan Dato’ Salehuddin Bin Saidin, Ahli MAIS telah dititah menghadap DYMM Sultan Selangor pada pagi Selasa yang lalu. Turut sama menghadap ialah Timbalan Setiausaha MAIS, Tuan Haji Abdul Halem Hapiz Bin Salihin dan Penasihat Undang-Undang MAIS, Cik Nurhani Salwa Binti Jamaluddin.

Di dalam perjumpaan tersebut, DYMM Sultan Selangor telah menitahkan supaya isu berkaitan kes tersebut hendaklah dibincangkan dengan teliti oleh Ahli-ahli MAIS. Sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor,

Baginda bertitah bahawa Negeri Selangor hendaklah teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain, bagi memelihara akidah umat Islam dan keharmonian beragama di Negeri Selangor.

Baginda turut menitahkan supaya pihak MAIS memaklumkan kepada rakyat negeri Selangor bahawa telah terdapat undang-undang yang menghalang penggunaan kalimah Allah ini dalam memperihalkan mengenai agama bukan Islam iaitu Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) yang telah diwartakan sejak tahun 1988 di negeri Selangor dan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bertarikh 10 Jun 2008 yang telah memutuskan bahawa lafaz “Allah” merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau dimasukkan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Bagi menjunjung titah perintah DYMM Sultan tersebut, sehubungan itu, pihak MAIS telah mengadakan beberapa siri perbincangan termasuk bersama NGO-NGO Islam pada 5hb Januari 2010 bagi membincangkan dan meneliti isu ini di mana pihak MAIS dan NGO-NGO yang terlibat telah membantah dengan sebulat suara terhadap keputusan tersebut.

Selanjutnya, satu kertas kerja telah dibentangkan di dalam Mesyuarat MAIS yang bersidang pada hari ini (11hb Januari 2010) yang membincangkan mengenai kesan-kesan keputusan tersebut terhadap agama Islam, akidah umat Islam, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan Negeri dan persoalan mengapakah kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh agama bukan Islam.

Persidangan kali ini turut meneliti beberapa peruntukan undang-undang yang berkaitan khususnya Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah ugama bagi Persekutuan, tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa negeri-negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang-orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam, dan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes-kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campurtangan, membatalkan ataupun tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.

Mesyuarat MAIS turut membincangkan mengenai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 dan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 10hb Jun 2008 yang menyatakan bahawa lafaz “Allah” merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Setelah menimbang dan meneliti fakta-fakta yang berkaitan, peruntukan undang-undang dan fatwa di atas, pihak MAIS memutuskan dan berpandangan seperti berikut:-

1) Istilah Allah dalam konteks budaya Malaysia tidak boleh bermakna selain daripada apa yang difahami; Allah itu bermaksud Tuhan Yang Maha Esa. Makna ini berlainan daripada makna ‘GOD’ dalam agama Kristian, iaitu tuhan berkonsepkan ‘TRINITY’. Jadi apabila Allah dibenarkan dipakai dalam konteks Kristianiti, maka ia memberi pelbagai implikasi yang membahayakan masa depan umat Islam dan mengelirukan kerana Allah itu boleh bermakna Tuhan Yang Esa atau tuhan yang ‘trinity’.

2) Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dibuat pada 31 Disember 2009 oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Lau Bee Lan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katholik di dalam penerbitan mereka “The Herald Weekly”, tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi keistimewaan terhadap kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Mahkamah sepatutnya memberi kedudukan istimewa kepada agama Islam sebagaimana keputusan Mahkamah di dalam kes Meor Atiqurrahman v. Fatimah Sihi dan yang lain [2000] 1 CLJ 393 yang memutuskan bahawa; “Islam ialah ugama bagi persekutuan tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dalam aman dan damai. Islam adalah ugama utama di antara ugama-ugama lain yang dianuti di Negara seperti Kristian, Buddha dan Hindu. Islam bukan seperti agama lain atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan, dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. Tinggi, teguh dan terang. Jika bukan sedemikian, Islam bukanlah ugama bagi persekutuan, tetapi adalah salah satu di antara beberapa ugama yang dianuti di wilayah ini, dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan mana-mana ugama yang dianuti. Tiada lebih di antara satu sama lain.”

3) MAIS juga menegaskan bahawa keputusan Hakim Lau Bee Lan tersebut secara jelasnya bertentangan dengan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam sahaja.

4) Selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, lafaz “Allah” merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

5) Penggunaan Kalimah Allah bagi merujuk agama bukan Islam tidak wajar dibicarakan kerana Mahkamah bukanlah forum yang sesuai membincangkannya. Ia merupakan perkara non-justiciable yang terletak di bawah kuasa Raja-Raja Melayu.

6) Kerajaan Malaysia sendiri pada 16 Mei 1986 telah melarang agama lain menggunakan kalimah Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah dan keputusan tersebut sewajarnya dikekalkan dan perkataan tersebut adalah eksklusif bagi umat Islam. Sekiranya keputusan Mahkamah ini dikekalkan ia pasti akan mengelirukan akidah dan konsep ketuhanan di kalangan umat Islam, merobek sensitiviti umat Islam selaku masyarakat pribumi dan majoriti di negara ini serta berpotensi menimbulkan ketidaktenteraman awam sekiranya tidak ditangani dengan baik.

7) MAIS menegaskan penolakan permohonan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri untuk mencelah di dalam kes ini oleh hakim yang sama adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri yang memperuntukkan bahawa pihak Majlis adalah pihak berkuasa utama selepas DYMM Sultan yang mempunyai kuasa dan sebagai pihak yang berkepentingan dalam mempertahankan agama Islam. Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang (statutori) untuk menasihati Sultan di dalam semua perkara berkaitan hal ehwal agama Islam, melainkan perkara-perkara berkaitan Hukum Syarak dan pentadbiran keadilan. Justeru, kewajipan mengurus pentadbiran agama Islam adalah merupakan tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri. Pihak MAIS telahpun mengarahkan peguam MAIS untuk membuat rayuan ke Mahkamah yang lebih tinggi untuk menjaga kepentingan umat Islam. Pihak MAIS turut menyeru kepada semua MAINS lain untuk sama-sama merayu /mencelah di dalam kes ini demi mempertahankan dan menjalankan tanggungjawab statutori mereka untuk mempertahankan agama Islam.

8) Pihak MAIS dengan bantuan JAIS dan pihak polis akan menguatkuasakan dengan segera Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam.

9) Pihak MAIS juga menegaskan bahawa pihak Kementerian Dalam negeri (KDN) perlu bertindak lebih tegas di dalam tindakannya berdasarkan peruntukan perlembagaan, undang-undang sedia ada dan enakmen undang-undang Islam di negeri-negeri dan tidak mengeluarkan permit penggunaan kalimah tersebut atau apa-apa perkataan lain yang khusus bagi umat Islam pada masa-masa akan datang.

10) Pihak MAIS turut menyokong tindakan pantas Kerajaan Malaysia dan pihak KDN membuat rayuan dan memohon penangguhan untuk pelaksanaan perintah tersebut, dan pihak MAIS berharap supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan bijaksana, untuk kesucian Islam dan turut mengekalkan kebebasan dan keharmonian beragama di dalam negeri dan Persekutuan.

11) Pihak MAIS juga merafak sembah ke bawah Majlis Raja–Raja Melayu sebagai ketua agama negeri-negeri yang mempunyai bidang kuasa ke atas perkara ini kerana isu penggunaan kalimah Allah ini adalah berkaitan dengan hal ehwal agama Islam bahkan ini adalah selaras dengan sumpah jawatan baginda untuk mempertahankan Islam pada setiap masa. Campur tangan raja-raja Melayu dalam urusan ini amat diperlukan kerana ia bukan sahaja menyentuh bidang kuasa raja-raja Melayu dalam urusan agama Islam, tetapi sekaligus menyentuh secara langsung sensitiviti umat Islam Malaysia.


12) Pihak MAIS turut merafak sembah ke bawah Yang DiPertuan Agong untuk menggunakan kuasa baginda yang sedia ada di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk merujuk isu ini ke Mahkamah Persekutuan bagi pentafsiran Perkara 3 tersebut. Perkara 130 tersebut menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

13) Seterusnya, pihak MAIS turut mendesak kerajaan persekutuan dan menteri yang bertanggungjawab di dalam isu ini dan juga JAKIM untuk membuat tindakan yang wajar bagi menyelesaikan isu ini dengan segera.

14) Pihak MAIS turut mendesak Kerajaan Persekutuan supaya isu-isu berkaitan agama Islam tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Sivil, lebih-lebih lagi oleh Hakim yang bukan beragama Islam.

Resolusi mesyuarat MAIS ini akan disembahkan kepada DYMM Sultan Selangor untuk di bincangkan oleh Raja-Raja Melayu di dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang kelak.

Bagi memastikan masyarakat Islam jelas berkaitan isu yang hangat diperkatakan ini, MAIS dengan kerjasama JAIS telah membuat beberapa program penerangan berkaitan isu kalimah Allah ini. Selain menerusi bacaan-bacaaan khutbah bermula pada 8 Januari 2010, pihak MAIS turut meminta dan menggalakkan masjid-masjid, institusi Islam dan NGO2 di seluruh negeri Selangor menggantung kain rentang sebagai tanda bantahan terhadap penggunaan kalimah Allah ini oleh agama bukan Islam.

Pihak MAIS selaku pihak berkuasa utama dalam hal ehwal agama Islam di dalam Negeri Selangor selepas DYMM Sultan tidak akan berkompromi dalam apa jua hal yang menggugat kedudukan Islam di dalam Negeri Selangor dan DYMM sebagai Ketua Agama adalah bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam setiap masa.

Pihak MAIS berpendirian menyokong institusi raja-raja melaksanakan apa jua tindakan yang wajar dan suaimanfaat bagi memelihara kesucian agama Islam. Adalah penting kedudukan agama Islam dipelihara setiap masa sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 47 Undang-Undang Tubuh Kerajaan (Negeri Selangor) 1959 yang memperuntukkan bahawa Agama Islam sebagaimana yang dianuti dan diamalkan dalam Negeri ini hingga kini hendaklah menjadi agama Negeri, dengan syarat bahawa semua agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai oleh orang-orang yang menganutinya di mana-mana bahagian Negeri ini. Sebarang pertanyaan, tuan/puan bolehlah menghubungi Puan Rohana Hassan di talian 019-2647641.

Sekian, wassalam.



27.8.09

Hukuman rotan dalam Islam - Kartika Arak dan Sebat


ARAK ...... HUKUM ISLAM ?

Arak adalah satu perkara yang haram dalam Islam. Jangankan minum, kerja kat kilang arak, tolong perah / proses pun bersubahat sama. Tolong iklan pun haram. Tukang hantar arak / drebar van arak pun berdosa. Apatah lagi kalau menjual arak dan benarkan lesen arak secara berleluasa.

Kartika Sari Dewi mengaku bersalah kerana minum arak. Lalu, Ketua Hakim Syari’e Pahang menjatuhkan hukuman sebat dan juga denda.

Tiba tiba ramai yang melenting. Menyindir. Mengutuk. Nak campur tangan. Bukan sebab marahkan Kartika itu telah berdosa sebab minum arak, tapi marahkan mahkamah Syariah.

Itulah … bila Allah tidak lagi ditakuti. Umat akhir zaman.

Tapi... hukuman mahkamah Syariah sedia ada ini bukanlah hukuman hudud pun. Sebab banyak yang tidak cukup.


Ada baiknya ia ditangguhkan. Sebab ia sebenarnya tidak mempamerkan hukum Islam yang sebenar. Takut ia menjadi fitnah.

Tapi, tak buat pun ada buruknya. Sebab ia seolah-olah menghina mahkamah Syariah.


Hukuman rotan syariah tidak melukakan

Hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (pindaan 1987) sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 hingga 80 rotan jumlahnya.

Cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak. Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.

22.4.09

Media asing dan Datuk Seri Mohd Najib

Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan telah berkata belum pun tiga minggu Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan sebagai Perdana Menteri yang keenam, tetapi media Barat sudah memulakan langkah memburuk-burukkan beliau.

Dr. Mahathir menambah, dari Perancis sehingga ke Britain dan Australia, rencana-rencana yang disiarkan membawa mesej yang sama dengan dipercayai maklumat disalurkan oleh rakyat tempatan.

Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu.

"Perdana Menteri yang baru dikatakan amalkan rasuah dan terlibat dalam kes bunuh.

"Penulis Australia mengatakan bahawa Malaysia adalah negara pariah," kata Dr. Mahathir sambil menambah, "saya tidak boleh percaya usaha memburuk-burukkan yang begtiu banyak berlaku pada waktu yang sama secara kebetulan."

Turut disertakan dalam usaha mengecam Perdana Menetri baru ialah dakwaan bahawa beliau akan membawa kembali konsep kepimpinan "Mahathirism".

"Dengan ini, akhbar Barat nampaknya cuba menunjukkan yang Perdana Menteri keempat (Dr. Mahathir) merupakan seorang diktator yang menangkap orang tanpa sebab, memanipulasikan kehakiman, mengawal media dan sebagainya," katanya.

Justeru kata Dr. Mahathir, beliau menyerahkan kepada rakyat Malaysia untuk menghakimi dan mendefinisikan konsep "Mahathirism".

"Mereka adalah pengundi yang Najib perlu mengambil berat. Media asing mempunyai agenda sendiri," kata beliau dalam blognya.

Rakan-rakan media Barat di Malaysia pula menyalurkan dengan berita anti-Najib, jelas beliau.

Katanya lagi, Najib boleh menjangkakan lebih banyak laporan sedemikian daripada akhbar-akhbar asing.

Pun begitu, apa yang rakyat Malaysia fikir adalah penting dan Perdana Menteri perlu membersihkan imejnya dari segi persepsi mereka. Mstar.

12.4.09

DR RAIS YATIM BEKAS PELAJAR YAYASAN SELANGOR



KATA Dr Rais Yatim rahsia kenapa dia masih boleh kekal dalam Kabinet dan mampu berkhidmat dengan lima perdana menteri ialah kerana beliau tidak memijak kepala orang. Maksudnya beliau tidak jahat dalam politik, tidak ada permainan jatuh menjatuh, fitnah memfitnah dan adu domba. Sebaliknya beliau lebih tegas dan menumpukan kepada kerja. Dia juga tidak mencampur adukkan antara tujuan dengan politik yang kotor.

Cara Rais masuk ke dalam Umno dan bertukar parti ke semangat 46 dan masuk balik ke Umno lebih lunak dan bergaya daripada orang-orang yang seoportunis dengannya. Kekurangan Rais dalam politik tidak terkesan oleh sesiapa. Itu satu kehebatan kan?

Satu kelebihan ada kepada Rais ialah pandai berbicara.
Dia menggunakan kepetahan bahasa untuk memukau orang. Itulah jampi serampahnya memuji si ketua sehingga ketua lena dan terlupa kekurangannya ( jika ada )

Cerita Rais pandai dan bijak membodek menggunakan ayat-ayat berjiwa ini memang terkenal di kalangan ahli politik Umno. Orang teruja dengan Rais kerana bahasa dan intonasi suaranya. Ucapannya juga boleh memukau sehinggakan yang benar jadi salah, yang salah jadi benar.
























Itulah kehebatan dan modal besar yang ada kepada Rais. Disamping beliau tidak memijak kepala orang Makanya ampuisme adalah antara model penting yang harus ada kepada ahli politik yang ingin berjaya!

11.4.09

MISTERI : Kenapa AZILAH Dan SIRUL Bertopeng..?


















MISTERI pembunuhan model Altantuya Sharibuu…mengenali dua pembunuh utama yang disyaki dan mengapa mereka sentiasa bertopeng.

Siapa Cif Inspektor Azilah bin Hadri?

Setakat ini, tidak banyak butiran peribadi tentangnya yang diketahui umum. Beliau lahir pada 28 Mac 1976 di Sarikei, Sarawak memegang kad pengenalan 760328-13-6051. Ibunya bernama Latiffah Abdullah (55). Anak sulung daripada 12 adik-beradik.

Mendapat pendidikan hingga tahap Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Sarikei. Oleh kerana dia berasal dari keluarga miskin, dia terpaksa membawa ibu bapanya yang sudah tua dan tidak bekerja tinggal di Sepang , Selangor berdekatan Balai Polis Sepang, tempat beliau bertugas.

Azilah masih bujang tetapi mempunyai seorang anak angkat lelaki 4 tahun bernama Muhammad Azizul Azilah Hadri. Azizul memanggil Nor Azila sebagai mummy manakala Azilah pula sebagai abah. Azilah sudah bertunang dengan Norazila Baharudin (29). Sebelum ditangkap , Azilah tinggal di mes bujang Bukit Aman.

Yang menariknya, DSP Zainudin memberitahu mahkamah bahawa Azilah bertugas sebagai pengawal pengiring Perdana Menteri Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Azilah telah memberitahunya bahawa dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan tugasnya mengiring PM dan TPM. Malah berasa seronok kerana kerap dapat ke luar negara.

Siapa Koperal Sirul Azhar Umar?

Sirul Azhar dilahirkan pada 1972, telah berkahwin namun telah bercerai secara aman dengan isterinya pada tahun 2004. Rakan karibnya, Sarjan Rosli Ibarahim menyatakan yang anak sulung Sirul, perempuan kini dijaga oleh keluarga angkat Sirul Azhar di Muadzam Pahang. Sementara anak kedua lelaki dijaga oleh ibunya di Changkat Jering.

Tugasan terakhir Sirul Azhar ialah menjadi pegawai keselamatan UTK Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Islamabad, Pakistan. ASP Zulkarnain Samsudin menyatakan pada 6 Nov 2006, Sirul Azhar telah menunjukkan bukit di mana wanita itu diletupkan. Rekod Celcom menunjukkan Azilah berada di Puncak Alam (tempat kejadian) dan telah berkomunikasi dengan Sirul dan Abdul Razak Baginda menggunakan telefon pada pukul 10.43 malam dan 11.16 malam pada 19 Oktober 2007.

Kenapa Azilah dan Sirul sentiasa memakai topeng khas?

Ibrahim Baba menulis, suatu persoalan yang sememangnya bermain di fikiran semua orang yang membaca atau menonton laporan kes pembunuhan Altantuya ialah kenapa wajah Azilah Hadri dan Sirul Azhar tidak pernah disiarkan oleh mana-mana akhbar mahupun mana-mana laporan berita TV.

Apa yang kita dapat lihat hanyalah sekadar dua manusia yang bertopeng lengkap hinggakan tidak dapat langsung kita agak bagaimana rupa wajah kedua-dua supek pembunuhan wanita Mongolia tersebut. Yang menghairankan ialah tidak ada langsung mana-mana akhbar yang berani menyiarkan gambar mereka ini dari mana-mana sumber lain.

Adalah mustahil untuk pihak media tidak dapat mencari gambar-gambar dari arkib mereka atau mencari kenalan kedua-kedua suspek tersebut bagi mendapat gambar-gambar lama mereka. Langsung tidak munasabah ini tidak dapat diusahakan oleh pihak media cetak mahupun media elektronik. Jadi persoalan lain ialah, apa istimewanya kedua-dua mereka ini hingga dilindungi supaya wajah sebenar mereka ini tidak diketahui umum?

Apakah mereka berdua ini memang sebenarnya “kambing hitam” untuk dijatuhkan hukuman bagi menyelematkan suasana yang lebih gempar dari berlaku? Apakah ini tujuan wajah-wajah mereka ini perlu dilindungi dari awal lagi?

Isu ini juga telah dibincangkan di beberapa buah blog lain. Namun, perbincangan tersebut gagal mengungkap misteri di sebalik wajah yang bertopeng itu. Sehingga kini, tiada juga foto ahli keluarga mereka ataupun ulasan yang berkaitan tentang diri sebenar Azilah dan Sirul yang saya temui di internet. Tidak seperti foto keluarga Razak Baginda yang selalu disiarkan oleh akhbar dan televisyen.

http://nuraflah.blogspot.com

6.2.09

Renung sejenak... politik semasa


Rakyat sedang menunggu satu permainan psikologi yang menarik.
suatu masa dulu...
Kita telah melihat bagaimana Anwar berjaya memperdayakan BN dengan 16 Septembernya sehingga menyebabkan MP BN sekoyong-koyong terpaksa memperbodohkan diri melawat Taiwan dengan merekacipta 'Lawatan Sambil Belajar tentang Pertanian'.


Kini mungkin giliran PR pula cuba dipermainkan oleh BN
Tapi taktiknya sama.. kotor! Penuh dengan ugutan, suapan dan apa-apa sahaja yang mungkin tak terfikir oleh benak yang waras.
Sekarang kita tunggu apakah langkah pihak PR untuk menangani kemelut ini.


Dalam Pilihanraya Ke-11 yang lalu
Dr Zambry mendapat 8,349 undi dengan majoriti 5,669 undi.
Lawan beliau Suwardi Sapuan (Keadilan) dan Mohd Ishak Mohd Som (Bebas) masing-masing mendapat 2,680 dan 117 undi.



Dr Zambri adalah bekas orang kuat Anwar satu ketika dahulu. Beliau dan Dr Zahid Hamidi pernah di tahan dibawah ISA sewaktu tragedi 1998 dahulu.

Dr Zambri belajar di UIA dan ramai mengenalinya sebagai seorang yang bersih, tenang dan baik tingkah lakunya. Kemungkinan nanti dia akan mencipta sejarah sebagai menteri besar Perak yang boleh menjadi imam, menyampaikan khutbah, memberi tazkirah dan berceramah agama.


Tahniah Dr Zamry, MB ke 11 Negeri Perak. Tapi yang pasti Banyak cabarannya.
Bukan mudah. Antara cabarannya :

1. Dr. Zamry kena akur bahawa kerajaan beliau adalah kerajaan yang rapuh. Majoriti yang sangat nipis. Kalau 2 Adun melompat maka tumbanglah MB Perak yang ke 11 ni. Kerajaan boneka Nizar hanya sempat bertahan selama 11 bulan. Kerajaan Dr Zamry boleh bertahan berapa lama?

2. Pakatan Rakyat tidak akan berdiam diri. Mereka akan cari kesalahan kerajaan baru ini walau sebesar zarah. Mereka akan mengerakkan massa mereka untuk pastikan kerajaan ini juga tak kekal lama. Demostrasi jalanan akan hidup di Ipoh. Balai Polis dan SPRM Perak akan sesak dengan pelbagai laporan Polis mengenai salah guna kuasa.

3. Politik UMNO Perak tak pernah aman mulai sekarang, sampai bila?.akan banyak bahagian, banyak kumpulan, banyak klik. Politik UMNO Perak memang sentiasa panas. Cabaran Dr Zamry adalah dari luar parti dan dalam parti.

4. Adun pembangkang Perak ni sekarang DAP, PAS dan PKR bukan calang-calang. Ngah dan Ngeh adalah mastermind kerajaan Nizar. Mereka ada 'standing' yang tersendiri. Ramai kalangan mereka adalah bekas Exco walaupun hanya sempat bertahan kurang setahun. Mereka sudah tahu selok belok pentadbiran kerajaan negeri. Mereka mampu membuat 'check and balance' yang ketat.

5. kita tengok lahhh...


aNWAR vs nAJIB

Najib mendahului tetapi belum menang.

Anwar terpukul tetapi belum tewas.


Di dalam pertarungan politik, KEKUATAN stamina adalah penting.

sO Siapa yang punya stamina yang lebih panjang Najib atau Anwar?

Najib mempunyai sumber ekonomi dan kekuasaan . tApI Najib x punya ramai rakyat yang menyokongnya, adapun yang menyokong perlu dibeli dengan wang ringgit ( betul ke ? )

Anwar xpunya kuasa dan xde sumber ekonomi yang kukuh. tetapi Anwar ada rakyat. Malah Anwar punya rakyat yang hardcore menyokongnya. Penyokong hardcore Anwar ini tidak perlu dibeli, tidak perlu dibayar. Mereka ini mati-mati (walaupun Anwar buat salah) akan tetap menyokong Anwar. Jumlah mereka pula bukan sedikit.

dari segi ujian pula :

Anwar memang sudah teruji staminanya. Pernah dipenjarakan di bawah ISA di masa mudanya. Melawan waktu di zaman mahasiswa. Dipecat dari UMNO dan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Dipukul, dibelasah, dihina, dimalukan dan dipenjarakan selama 6 tahun. Tetapi bangun kembali untuk menerajui gerakan rakyat menentang establishment melalui Pakatan Rakyat sehingga berjaya menang di 5 negeri. Musa Hitam dan Ku Li tewas ditangan Mahathir tetapi tidak Anwar. Pendidikan politik yang dilalui oleh Anwar memang lasak dan getir. Anwar memang figur yang sudah teruji.

Najib belum teruji sepenuhnya. Ini adalah kerana Najib bermula dari dalam establisment sendiri. Dia lahir dari keluarga elit politik pemerintah. Ayahnya Tun Abdul Razak adalah Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Najib menjadi anggota Parlimen di dalam usia yang cukup muda iaitu 21 tahun. Najib adalah anggota Parlimen yang termuda yang pernah dilahirkan oleh Malaysia. Jadi, pengalamannya di dalam politik dan politiking juga cukup hebat.


Jadi, antara Anwar dan Najib,

siapa yang akan menang.

Pertarungan ini memang akan berlangsung panjang.

kite tengok je lee