Memaparkan catatan dengan label syirik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label syirik. Papar semua catatan

13.3.10

Pengertian syirik


Syirik
adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah.

Menyekutukan Allah jelas dianggap syirik apatah lagi perbuatan mengaku diri sebagai tuhan. Lebih mengundang bahaya apabila golongan ini ada di dalam masyarakat sama ada diketuai orang Islam atau bukan Islam.


Firman Allah yang bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka” – (Surah al-Ma’idah, ayat 72)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” – (Surah an-Nisa’, ayat 48)

Dalam surah yang sama, ayat 116, Allah mengulangi kembali dosa besar syirik melalui firman-Nya yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.”

Dalam surah Luqman, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar.” – (Surah Luqman, ayat 13)

Penegasan bahaya syirik tidak terhenti setakat itu saja, malah ditegaskan lagi melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidakkah pernah aku nyatakan kepada kamu mengenai dosa yang paling besar? Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. Sahabat menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah. Sabda baginda: Syirik kepada Allah dan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Ketika itu Baginda bersandar dan kemudian baginda duduk. Sabda Baginda lagi: Perkataan yang palsu dan penyaksian yang palsu.”

Seorang sahabat bernama Abdullah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah? Jawab Baginda: “Engkau menjadi suatu yang lain sekutu bagi Allah sedangkan Dialah yang menjadikan kamu. Aku (Abdullah) berkata: Sesungguhnya ini suatu yang berat. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi dosa yang besar? Baginda menjawab: “Engkau membunuh anak kamu sendiri kerana takut fakir. Aku bertanya, kemudian apa lagi? Baginda menjawab: “Engkau berzina dengan isteri jiranmu sendiri.” – (Hadis riwayat Muslim)

Daripada Anas menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda mengenai dosa besar iaitu mensyirikkan Allah, menderhaka kedua ibu bapa, membunuh nyawa dan memberi penyaksian palsu. – (Hadis riwayat Muslim)

Hadis lain, daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW telah menasihatkan sahabat dan orang Islam supaya menjauhi tujuh perkara yang membinasakan hidup seseorang iaitu mensyirikkan Allah, melakukan perbuatan sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari daripada medan peperangan dan menuduh perempuan Mukmin suci melakukan zina. – (Hadis riwayat Muslim)


Jenis syirik

Syirik dibahagikan kepada dua iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata).


Syirik jali ialah syirik yang terang, nyata dan besar yang boleh menyebabkan seseorang itu dianggap jatuh ke tahap kufur. Syirik ini boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu:

  1. Menerusi i’tiqad seperti meragui atau menafikan kewujudan Allah. Justeru, mana-mana fahaman yang meragui dan menafikan kewujudan Allah seperti fahaman komunis dan ateis adalah jelas syirik.
  2. Menerusi perbuatan atau amalan tertentu seperti menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu. Perbuatan memuja nasib dan meminta nombor ekor di kubur tertentu atas dakwaan kubur itu keramat juga adalah unsur syirik. Bahkan ulama menjelaskan perbuatan terlalu memuja dan mendewakan orang atau pemimpin tertentu juga adalah perbuatan syirik.
  3. Menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram dan mengaku keluar daripada agama Islam. Termasuk dalam kategori ini ialah perkataan yang boleh menyebabkan terbatal syahadah seseorang Muslim


Syirik khafi ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik itu banyak berkaitan dengan perbuatan riak di dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Perkara itu jelas disebut dalam al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadatnya.” – (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Maksud syirik di dalam beramal seperti dalam ayat itu ialah menunjuk-nunjuk ketika beramal atau riak di dalam beramal.

Rasulullah SAW dalam sabdanya pernah menasihatkan sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya oleh sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Maka Rasulullah menjawab, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riak dalam beramal.

Allah menjelaskan bahaya syirik khafi dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi.” – (Surah az-Zumar, ayat 65)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Barang siapa yang mempersekutukan sesuatu dengan Allah (tidak ikhlas kepada-Nya dalam beramal), maka adalah dia seolah-olah telah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.” – (Surah al-Hajj, ayat 31)

Melihat kepada situasi hari ini, ternyata amalan mensyirikkan Allah sama ada syirik jali atau khafi berlaku secara sedar atau tidak. Walaupun daripada kalangan orang Islam tidak menyembah berhala, tetapi mereka terdedah kepada perbuatan syirik.

Kepercayaan kepada tempat keramat, keyakinan secara membuta tuli terhadap bomoh atau dukun, penggunaan tangkal dan azimat, menyembah kemewahan dunia dan material, keyakinan rezeki seperti gaji dan upah datang daripada manusia dan bermacam lagi adalah antara amalan yang menjurus kepada syirik.

Gejala syirik khafi tidak kurang hebatnya dengan berleluasanya gejala riak, beramal untuk manusia, perasaan dengki, mengharap reda manusia, bermuka-muka, tidak ikhlas, menandakan amalan syirik memang menguasai hidup umat Islam kini.

Langkah mesti dilakukan bagi mengelakkan ia daripada terus membarah di dalam hidup manusia. Langkah seperti penerangan mengenai bahaya syirik menerusi seminar, ceramah, bengkel dan seumpamanya. Anggota masyarakat mesti didedahkan dengan bahaya syirik supaya mereka dapat membezakan apakah pekerjaan dan perkataan mereka selama ini mengandungi unsur syirik atau sebaliknya.

Usaha VS Tawakal - tawakal yang menjadi syirik


Tawakal yang Sebenarnya

Sebahagian orang menganggap bahawa tawakal adalah sikap pasrah tanpa melakukan usaha sama sekali. Contohnya dapat kita lihat pada sebahagian pelajar yang keesokan harinya akan melaksanakan ujian. Pada malam harinya, sebahagian dari mereka tidak sibuk untuk menyiapkan diri untuk menghadapi ujian esok namun malah sibuk dengan main game atau hal yang tidak bermanfaat lainnya. Lalu mereka mengatakan, “Saya pasrah saja, paling esok ada keajaiban.”

Apakah semacam ini benar-benar disebut tawakal?! Semoga perbahasan kali ini dapat menjelaskan pada pembaca sekalian mengenai tawakal yang sebenarnya dan apa saja faedah dari tawakal tersebut.


Tawakal yang Sebenarnya

Ibnu Rajab rahimahullah dalam Jami’ul Ulum wal Hikam tatkala menjelaskan hadits no. 49 mengatakan, “Tawakal adalah benarnya penyandaran hati pada Allah ‘azza wa jalla untuk meraih berbagai kemaslahatan dan menghilangkan bahaya baik dalam urusan dunia maupun akhirat, menyerahkan semua urusan kepada-Nya serta meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa ‘tidak ada yang memberi, menghalangi, mendatangkan bahaya, dan mendatangkan manfaat kecuali Allah semata‘.”


Tawakal Bukan Hanya Pasrah

Perlu diketahui bahawa tawakal bukanlah hanya sikap bersandarnya hati kepada Allah semata, namun juga disertai dengan melakukan usaha.

Ibnu Rajab mengatakan bahawa menjalankan tawakal tidaklah bererti seseorang harus meninggalkan sebab atau sunnatullah yang telah ditetapkan dan ditakdirkan. Kerana Allah memerintahkan kita untuk melakukan usaha sekaligus juga memerintahkan kita untuk bertawakal. Oleh kerana itu, usaha dengan anggota badan untuk meraih sebab termasuk ketaatan kepada Allah, sedangkan tawakal dengan hati merupakan keimanan kepada-Nya.

Sebagaimana Allah Ta’ala telah berfirman (yang ertinya), “Hai orang-orang yang beriman, ambillah sikap waspada.” (QS. An Nisa (4): 71). Allah juga berfirman (yang ertinya), “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sigupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang.” (QS. Al Anfaal (8): 60).

Juga firman-Nya (yang ertinya), “Apabila telah ditunaikan shalat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kunia Allah” (QS. Al Jumu’ah (62): 10). Dalam ayat-ayat ini terlihat bahawa kita juga diperintahkan untuk melakukan usaha.

Sahl At Tusturi mengatakan, “Barang siapa mencela usaha (meninggalkan sebab) maka dia telah mencela sunnatullah (ketentuan yang Allah tetapkan -pen). Barang siapa mencela tawakal (tidak mau bersandar pada Allah, pen) maka dia telah meninggalkan keimanan. (Lihat Jami’ul Ulum wal Hikam)


Burung Saja Melakukan Usaha untuk Kenyang

Dari Umar bin Al Khaththab radhiyallahu ‘anhu berkata, bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Seandainya kalian betul-betul bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kalian rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki.

Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” (HR. Ahmad, Tirmidzi, dan Al Hakim. Dikatakan shahih oleh Syaikh Al Albani dalam Silsilah Ash Shohihah no. 310)

Imam Ahmad pernah ditanyakan mengenai seorang yang kerjaannya hanya duduk di rumah atau di masjid. Lelaki itu mengatakan, “Aku tidak mengerjakan apa-apa sehingga rezekiku datang kepadaku.” Lalu Imam Ahmad mengatakan, “Orang ini tidak tahu ilmu (bodoh). Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda, “Allah menjadikan rezekiku di bawah bayangan tombakku.” Dan beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda (sebagaimana hadits Umar di atas).

Disebutkan dalam hadits ini bahawa burung tersebut pergi pada waktu pagi dan kembali pada waktu petang dalam rangka mencari rezeki. (Lihat Umdatul Qori Syarh Shohih Al Bukhari, 23/68-69, Maktabah Syamilah)

Al Munawi juga mengatakan, “Burung itu pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali ketika petang dalam keadaan kenyang. Namun, usaha (sebab) itu bukanlah yang memberi rezeki, yang memberi rezeki adalah Allah ta’ala.

Hal ini menunjukkan bahawa tawakal tidak harus meninggalkan sebab, akan tetapi dengan melakukan berbagai sebab yang akan membawa pada hasil yang diinginkan. Kerana burung saja mendapatkan rezeki dengan usaha sehingga hal ini menuntut pada kita untuk mencari rezeki. (Lihat Tuhfatul Ahwadzi bisyarhi Jaami’ At Tirmidzi, 7/7-8, Maktabah Syamilah)


Tawakal yang Termasuk Syirik

Setelah kita mengetahui pentingnya melakukan usaha, hendaknya setiap hamba tidak bergantung pada sebab yang telah dilakukan. Kerana yang dapat mendatangkan rezeki, mendatangkan manfaat dan menolak bahaya bukanlah sebab tersebut tetapi Allah ta’ala semata.

Imam Ahmad mengatakan bahawa tawakal adalah amalan hati yaitu ibadah hati semata (Madarijus Salikin, Ibnul Qayyim, 2/96). Sedangkan setiap ibadah wajib ditujukan kepada Allah semata. Barang siapa yang menujukan satu ibadah saja kepada selain Allah maka bererti dia telah terjatuh dalam kesyirikan. Begitu juga apabila seseorang bertawakal dengan menyandarkan hati kepada selain Allah -yaitu sebab yang dilakukan-, maka hal ini juga termasuk kesyirikan.


Tawakal semacam ini boleh termasuk syirik akbar (syirik yang dapat mengeluarkan seseorang dari Islam), apabila dia bertawakal (bersandar) pada makhluk pada suatu perkara yang tidak mampu untuk melakukannya kecuali Allah ta’ala.

Seperti bersandar pada makhluk agar dosa-dosanya diampuni, atau untuk memperoleh kebaikan di akhirat, atau untuk segera memperoleh anak sebagaimana yang dilakukan oleh para penyembah kubur dan wali.

Mereka menyandarkan hal semacam ini dengan hati mereka, padahal tidak ada satu makhluk pun yang mampu mengabulkan hajat mereka kecuali Allah ta’ala. Apa yang mereka lakukan termasuk tawakal kepada selain Allah dalam hal yang tidak ada seorang makhluk pun memenuhinya. Perbuatan semacam ini termasuk syirik akbar. Na’udzu billah min dzalik.

Sedangkan apabila seseorang bersandar pada sebab yang sudah ditakdirkan (ditentukan) oleh Allah, namun dia menganggap bahawa sebab itu bukan hanya sekedar sebab (lebih dari sebab semata), seperti seseorang yang sangat bergantung pada majikannya dalam keberlangsungan hidupnya atau masalah rezekinya, semacam ini termasuk syirik ashgor (syirik kecil) kerana kuatnya rasa ketergantungan pada sebab tersebut.

Tetapi apabila dia bersandar pada sebab dan dia meyakini bahawa itu hanyalah sebab semata sedangkan Allah-lah yang menakdirkan dan menentukan hasilnya, hal ini tidaklah mengapa. (Lihat At Tamhiid lisyarhi Kitabit Tauhid, 375-376; Syarh Tsalatsatil Ushul, 38; Al Qoulul Mufid, 2/29)


Penutup

Ingatlah bahawa tawakal bukan hanya untuk meraih kepentingan dunia saja. Tawakal bukan hanya untuk meraih manfaat duniawi atau menolak bahaya dalam urusan dunia. Namun hendaklah seseorang juga bertawakal dalam urusan akhiratnya, untuk meraih apa yang Allah redhai dan cintai. Maka hendaklah seseorang juga bertawakal agar bagaimana boleh teguh dalam keimanan, dalam dakwah, dan jihad fii sabilillah.

Ibnul Qayyim dalam Al Fawa’id mengatakan bahawa tawakal yang paling agung adalah tawakal untuk mendapatkan hidayah, tetap teguh di atas tauhid dan tetap teguh dalam mencontoh/mengikuti Rasul shallallahu ‘alaihi wa sallam serta berjihad melawan ahli bathil (pejuang kebatilan). Dan beliau rahimahullah mengatakan bahawa inilah tawakal para rasul dan pengikut rasul yang utama.

Salah satu faedah tawakal. Perhatikanlah firman Allah Ta’ala (yang ertinya), “Barang siapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan memberikan jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” (QS. Ath Thalaaq (65): 2-3). Al Qurtubi dalam Al Jami’ Liahkamil Qur’an mengatakan, “Barang siapa menyerahkan urusannya sepenuhnya kepada Allah, maka Allah akan mencukupi keperluannya.”


Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah membaca ayat ini kepada Abu Dzar. Lalu beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepadanya, “Seandainya semua manusia mengambil nasihat ini, sungguh hal ini akan mencukupi mereka.” Yaitu seandainya manusia betul-betul bertakwa dan bertawakal, maka sungguh Allah akan mencukupi urusan dunia dan agama mereka. (Jami’ul Ulum wal Hikam, penjelasan hadits no. 49). Hanya Allah-lah yang mencukupi segala urusan kami, tidak ada ilah yang berhak disembah dengan hak kecuali Dia. Kepada Allah-lah kami bertawakal dan Dia-lah Rabb ‘Arsy yang agung.

7.3.10

bacaan Rukyah : KUASA MUTLAK adalah KEPUNYAAN ALLAH

KUASA MUTLAK adalah KEPUNYAAN ALLAH.


Ilmu ini adalah selari dengan apa yang dikatakan oleh Ibnu Qayyim iaitu “meletakkan keupayaan dan kekuatan kepada Allah”. Inilah apa yang selalu kita zikirkan iaitu selepas sembahyang;

“La hawla wa laa quwwata illa billahil ... adziem” Tidak ada daya kekuatan melainkan dari Allah (sahaja).


Konsep kekuatan dan kuasa hanya milik Allah ini sepatutnya dikuasai semua umat Islam sewaktu mempelajari Rububiah Allah iaitu:

“yakin berserta keimanan yang teguh , kukuh dan mantap (istiqamah) tanpa berbelah bagi dan waswas bahawa hanya Allah sahaja Tuhan yang mencipta segala-galanya. Allah yang maha pencipta (tiada pencipta lain kecuali Dia). Dia adalah Tuhan pemilik segalanya, tiada sekutu dan tiada penolongNya dalam mencipta segalanya. Hanya Allah sahaja yang benar-benar Tuhan yang Maha berkuasa di atas segala apa sahaja ciptaannya, memiliki dan memerintah mengikut kehendakNya, dan tiada kuasa atau perintah yang mutlak selain kuasa dan perintah yang ada padaNya”.

(Jumhur ulama)


Secara mudah, konsep rububiah Allah ini boleh dijelaskan sebagai “Allah sahaja yang berkuasa dalam mencipta dan mentadbir alam semesta ini”.


Berdasarkan konsep rububiah Allah ini, setiap makhluk / sesuatu tidak mempunyai kekuatan atau kuasa!. Maksudnya:


1. Manusia tidak mempunyai kuasa dan sebarang daya kekuatan

2. Angin tidak mempunyai kuasa seperti mencabut pokok

3. Elektrik tidak mempunyai kuasa

4. Cahaya tidak ada kuasa untuk menerangi

5. Al Quran tidak mempunyai kuasa merawat atau menyembuh penyakit

6. Makanan tidak mempunyai kuasa untuk mengenyangkan dan memberikan kesihatan

7. Minuman tiada kuasa menghilangkan dahaga

8. Ubat tidak ada kuasa untuk memulihkan penyakit


Berdasarkan fahaman sebenar berkaitan konsep rububiah ini, jadi mengapakah manusia boleh berkata-kata seandainya kita tidak mempunyai kuasa? Jawapannya ialah kerana Allahlah yang mentadbir dan mengurus lalu memberikan rahmatNya sehingga manusia mampu berkata-kata.


Melalui rahmat dari Allah inilah, manusia boleh berkata-kata serta melakukan pelbagai aktiviti lain. Itulah sebabnya seandainya kita mengaku bahawa kita mendapat keputusan SPM yang baik kerana kita adalah orang pandai dan dilahirkan pula dari gen ibu bapa yang pandai (kedua-dua mereka Profesor) maka akidah orang ini sudah rosak.


Melalui kefahaman yang lurus berdasarkan ilmu rububiah Allah, angin yang kuat mencabut pokok adalah kerana kuasa yang diberikan Allah, ubat tidak ada kuasa menyembuh penyakit kerana kesembuhan adalah sebenarnya milik Allah. Manusia boleh sembuh tanpa ubat atau pun orang sakit yang sudah banyak berubat akan tidak sembuh sekiranya tidak diberikan rahmat sembuh dari Allah.


Sekiranya kita beranggapan penyakit sembuh kerana makan ubat, ia adalah satu tanggapan yang salah dan membawa kesan besar iaitu kerosakan akidah. Sepatutnya, apabila seseorang sakit, Allah perintah agar manusia berusaha mencari ubatnya dan selepas memakan ubat ini bertawakkallah kepada Allah kerana Allah sahaja yang layak memberikan kesembuhan bukannya ubat. Apabila sembuh jangan pula puji ubat tetapi pujilah Allah SWT yang menurunkan ubat dan memberikan kesembuhan.


Begitulah juga Allah perintah bila lapar, makanlah dari rezeki yang baik yang dikurniakan Allah. Selepas makan bertawakkallah kepada Allah kerana hanya Allah yang akan memberikan rahmat kenyang, sihat dan sebagainya.

Begitulah, segala makhluk / sesuatu termasuk manusia, makanan, minuman, ubat, elektrik, Al-Quran dan enjin kereta tidak ada sebarang kekuatan atau kuasa sekiranya tidak diberikan oleh Allah.


Sekiranya kita beranggapan Al-Quran mempunyai kekuatannya sendiri dan mampu menghalau syaitan dan jin, maka ini adalah satu kerosakan akidah kerana Allah sesungguhnya tidak mempunyai sekutu atau rakan untuk mentadbir alam ini. Allah juga tidak memerlukan Al-Quran sama ada dalam bentuk tulisan atau bacaan untuk menghalau syaitan atau jin. Bila Allah berkehendak akan sesuatu perkara, maka berlakulah.


Itulah sebabnya ramai ustaz dan ustazah di Malaysia telah silap besar dengan mengajarkan bahawa apabila ayat Kursi dibacakan dengan makhrajnya dan waqafnya yang betul, ia akan dapat membakar syaitan / iblis atau menghalau syaitan / iblis. Fahaman seperti ini adalah satu kerosakan akidah yang sangat besar dan bercanggah sama sekali dengan konsep rububiah Allah Taala.


Seandainya seseorang membacakan ayat Kursi atau sebarang ayat Al-Quran lainya dengan beranggapan bahawa ayat-ayat tersebut mampu memberikan perlindungan atau menghalau syaitan, suatu kesilapan akidah yang besar sudah berlaku dan ini menimbulkan kemarahan Allah. Akibat dari kemurkaan Allah ini, orang yang membacakan ayat Kursi atau ayat Al-Quran lainnya akan mendapat bala musibah dari Allah dan bukannya mendapat rahmat dari Allah. Akibatnya ialah bacaan ayat Kursi ini akan mengakibatkan orang yang dibacakan jampi ini bukannya semakin sembuh namun apa yang kerap berlaku ialah seolah-olah orang yang diganggu ini seperti bara api disiram minyak maka tambah teruklah orang yang diganggu syaitan ini. Sebaliknya sekiranya jampi ini dilakukan dengan betul, rahmat Allah akan turun dan orang yang diganggu syaitan tersebut akan kembali pulih.


Selepas menjelaskan perkara asas tauhid ini, seorang pelajar wanita menceritakan pengalamannya. “Saya pernah diganggu kena tindih sewaktu tidur. Bila saya ingat ayat Kursi dan mula untuk membacanya, gangguan ini semakin teruk lagi. Pada masa lain gangguan kena tindih ini berulang lagi dan saya mengulangi mengingat dan membaca ayat Kursi dan hasilnya tetap sama iaitu gangguan semakin teruk sehingga saya naik bosan. Akhirnya pada suatu masa lain apabila saya diganggu gangguan yang sama, saya tidak mahu menggunakan lagi kaedah membaca ayat Kursi kerana akibatnya saya akan mendapat gangguan yang lebih berat, jadi saya hanya sekadar mengingati Allah. Alhamdulillah hanya dengan sekadar saya mengingati Allah, gangguan ini dapat diselesaikan”.


Begitulah pengalaman berharga seorang pelajar wanita saya yang wajar sekali dijadikan iktibar bagi semua umat Islam. Mengingati Allah adalah satu bentuk zikrullah. Hanya dengan mengingati Allah dapat menyelamatkan manusia dari gangguan syaitan dan sebaliknya bila mengingati dan membaca Al-Quran ayat Kursi dengan niat / iktikad ayat ini dapat menyelamatkan dan menghalau syaitan, kesannya adalah sebaliknya iaitu gangguan semakin parah. Ayat Kursi memang hakikatnya tidak mempunyai sebarang kuasa atau kekuatan apatah lagi menghalau dan menjauhkan syaitan kerana ini semua adalah bidang kuasa Allah yang Allahhuakbar. Mintalah kepadaNya.

Sebenarnya membaca Al-Quran dengan iktikad bahawa bacaan ini boleh menghalau hantu dan syaitan adalah menyalahi akidah Islam dan ini amat selari dengan hadis Nabi Muhammad SAW berikut:


Al Bayan: 584 - Hadis Sahl bin Hunaif r.a: Diriwayatkan daripada Yusair bin Amr katanya: Aku bertanya kepada Sahl bin Hunaif: Adakah engkau pernah mendengar Nabi s.a.w menceritakan tentang Khawarij? Sahl menjawab: Aku mendengarnya sambil menunjuk dengan tangannya ke arah timur. Suatu golongan membaca al-Quran dengan lidah mereka, tetapi tidak sampai ke otak mereka. Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan.

Memang amat sesuai hadis ini yang menceritakan orang membaca Al-Quran pun diberikan Allah balasan terkeluar dari Islam kerana hanya dengan membaca Al-Quran dengan iktikad bacaan ini mampu menghalau hantu dan syaitan, perbuatan ini telah merosakkan akidah lalu mensyirikkan Allah dan orang syirik sebenarnya telah terkeluar dari Islam sesuai dengan hadis di atas. Menghalau hantu syaitan hanya semata-mata kuasa dan bidang kerja Allah SWT dan bukannya kuasa kekuatan dari Ayat atau bacaan Al-Quran.


Jadi kalau Al-Quran tidak ada sebarang kuasa, mengapa Nabi Muhammad menggunakan ayat-ayat Al-Quran dalam hadisnya untuk menjampi (meruqyah)?? Jawapannya ialah kembali kepada asas pelajaran tauhid di atas iaitu manusia tiada kuasa kekuatan dan begitu juga ubat, makanan dan ayat atau bacaan dari Al-Quran.


Jadi bila lapar makan dan selepas itu kalau Allah memberikan rahmatNya, kita akan dapat nikmat kenyang. Sama juga dengan proses menjampi. Dalam kes-kes tertentu, Nabi atau sahabat Nabi menggunakan jampi dari bacaan ayat Al-Quran untuk mengubati. Namun apa yang perlu difahami di sini ialah Nabi dan sahabat semuanya mantap dengan asas akidah dengan iktikad bahawa ayat Al-Quran ini tidak ada sebarang kekuatan atau kuasa. Selepas melakukan bacaan jampi ini, ikutilah dengan doa kepada Allah minta disembuhkan masalah yang dihadapai oleh pesakit.

Apa yang sangat perlu difahami di sini ialah usaha / ikhtiar dan kuasa pemutus. Bila kita lapar Allah suruh makan adalah satu usaha atau ikhtiar. Kuasa pemutus menghilangkan lapar bukan bidang kuasa makanan yang dimakan. Kuasa pemutus menghilangkan lapar adalah kuasa pemutus yang mutlak kepunyaan Allah SWT. Dalam hal menjampi, Allah sudah mencontohkan melalui NabiNya bahawa dibolehkan menjampi.


Menjampi ini adalah sekadar usaha sebagaimana disunnahkan. Kuasa mutlak menyembuh adalah bukan dari perbuatan bacaan jampi tersebut tetapi kuasa mutlak dari Allah. Itulah sebabnya setengah orang apabila menjampi, Allah memberikan rahmatNya lalu memberikan kesembuhan manakala orang tertentu atau kebanyakan di Malaysia apabila menjampi mendatangkan kemarahan Allah dan mengakibatkan masalah pokok tidak selesai dan berkemungkinan masalah ini akan menjadi lebih besar sebagai azab dari Allah.

Sekiranya pembaca ingin membuat eksperimen berkaitan perkara ini, apabila berjumpa orang atau pelajar yang kerasukan atau histeria, panggillah beberapa orang lelaki lalu bacalah ayat Kursi dengan kuat sebanyak mungkin secara beramai-ramai yang mampu dengan iktikad bahawa bacaan dari ayat Kursi ini mampu menyembuhkan keadaan mangsa. Lihatlah apa tindak balas dari mangsa histeria ini. InsyaAllah mangsa ini semacam semakin marah serta agresif dan mungkin akan berkata beberapa perkataan yang menakutkan lagi. Itulah namanya azab tambahan dari Allah.

Sebagai ilmu, lain kali apabila menemui pelajar yang histeria, lakukan perkara berikut:

  1. Jauhkan sejauh-jauh mungkin pelajar lain yang tidak diganggu dan kalau boleh suruh balik dari sekolah.
  2. Jauhkan orang perempuan terutama sekali orang perempuan yang sedang haid.
  3. minta beberapa orang lelaki memantau sahaja mangsa histeria tersebut.
  4. Seorang yang benar-benar faham dan mantap asas tauhid, lakukanlah perkara berikut:
    1. Perawat mengambil air sembahyang.
    2. Ambil air semangkuk (Tidak melakukan perkara ini pun boleh kerana Nabi Muhamad SAW tidak menggunakan air pun)
    3. Letakkan mangkuk air ini dihadapan dan duduklah bersila menghadap kiblat.
    4. Berniatlah bahawa perbuatan anda ini adalah semata-mata untuk meminta bantuan dari Allah untuk membantu menyelesaikan masalah yang sedang dialami oleh mangsa histeria. Menolong kerana semata-mata Allah SWT.
    5. Bacalah jampi anda dengan dimulakan dengan ta’wuz di ikuti bismillah, Al Fatihah, permulaan surah Baqarah dalam 10 ayat dan diikuti dengan ayat Kursi dengan kyusuk dan suara yang lembut antara kedengaran dengan tidak. (Allah jauh sekali dari sifat pekak). Tidak perlulah dibacakan kalimah Allah ini dengan kasar dan kuat seolah-olah bacaan ayat inilah yang menghalau syaitan. Bacalah tiga ayat terakhir dari surah Al Baqarah. Nak sambung dengan mana ayat lain dalam Al-Quran pun boleh. Sudahilah jampi anda dengan bacaan ayat-ayat dari empat Kul iaitu Al Kafirun, Al Ikhlas, Al Falak dan An Nas
    6. Selepas selesai menjampi, satu langkah yang paling penting ialah berdoa mohon rahmat daripada Allah untuk memberikan rahmatNya kepada mangsa tersebut dan seterusnya minta Allah sembuhkan. Boleh menggunakan nama mangsa tersebut dalam doa ini. Ulangilah doa ini beberapa kali dengan bersungguh-sungguh.
    7. Sewaktu makukan solat 5 waktu, pada sujud rakaat terakhir, berdoalah dengan kesungguhan memohon rahmat dari Allah agar memberikan rahmat memulihkan mangsa dari gangguan syaitan tersebut. Selepas selesai solat, berdoalah dengan bersungguh-sungguh lagi kepada Allah.
    8. Ambil air dalam mangkuk ini dan mulalah untuk menyapu air ini ke muka mangsa dan bahagian atas kepala dengan diikuti bacaan mana-mana ayat dari Al-Quran dan diselang-selikan dengan doa memohon rahmat dari Allah semoga mangsa ini dipulihkan. (Tidak melakukan perkara ini pun boleh kerana Nabi Muhamad SAW tidak menggunakan air pun)
    9. Ulangi proses menyapu air jampi ini ke muka dan bahagian atas kepala sebanyak tiga kali. (Tidak melakukan perkara ini pun boleh kerana Nabi Muhamad SAW tidak menggunakan air pun)
    10. Perawat meninggalkan lokasi mangsa dengan terus berdoa lagi kepada Allah. Adalah penting sekali untuk perawat meninggalkan mangsa bagi mengelakkan perasaan megah dan riak kerana ini adalah dosa yang amat besar. Ia juga penting agar perawat terus berdoa memohon rahmat Allah semoga disembuhkan mangsa tersebut.
    11. Elakkan dari meminta balasan dan seboleh-bolehnya juga jangan menerima pemberian wang. Jangan pula perawat berniat untuk mendapatkan sebarang hadiah dan pujian dari usaha ini sekiranya Allah memakbulkan usaha perawat ini.
    12. Jangan bertanya kepada rakan yang menjaga mangsa sama ada mangsa telah pulih atau belum. Teruskan sahaja berdoa dan bertawakkal kepada Allah.
    13. Kalau ada mana-mana rakan yang memberitahu bahawa mangsa telah sembuh, terus hentikan perbualan dan lakukanlah sujud syukur.
    14. Elakkan sebarang perbincangan atau perbualan yang melibatkan nama anda sebagai perawat. Ini sangat bahaya kerana boleh menimbulkan riak

18.12.09

Syirik antara sadar atau tidak

Syirik yang besar atau nyata ialah mempercayai ada sesuatu yang setara dan sebanding dengan Allah, yang ditujukan kepadanya doa permohonan, cara beribadat, dan ditakuti bala bencananya. Dengan syirik itu, akidah tauhid orang yang melakukannya berbelah bagi dan mereka adalah orang musyrik yang dijanjikan Allah dengan neraka.

Syirik yang kecil atau tersembunyi ialah kepercayaan, perkataan atau perbuatan yang menyebabkan berlakunya syirik terhadap kekuasaan atau undang-undang peraturan Allah.
Syirik tersembunyi ada banyak. Antaranya mempercayai sesuatu yang menjadi sebab dengan keadaan hakikatnya akan memberi kesan baik atau buruk.

Ini termasuk menaruh perasaan takut dan gerun kepada kekuatan sesuatu yang lain dari Allah, menumpukan harapan kepada sesuatu yang lain daripada Allah, bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada menyebut nama atau sifat Allah.

Begitu juga dengan mengatakan: “Kalaulah tidak kerana pertolongan Allah dan pertolongan si anu, tentulah aku tidak berjaya”, atau mengatakan: “Kalaulah tidak kerana ayam berkokok, polis meronda atau sebagainya, tentulah rumahku dimasuki pencuri”.

Lainnya ialah melakukan sesuatu ibadat atau daya usaha pengorbanan atau perjuangan bukan kerana menjunjung perintah Allah semata-mata, tetapi tujuan lain.

Nabi Muhammad menerangkan dalam beberapa hadis mengenai syirik yang tersembunyi.
Antaranya, daripada Mahmud Labid, katanya: “Rasulullah bersabda: ‘Sesungguhnya perkara yang sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang kecil.”

Sahabat bertanya: “Apa dia syirik kecil itu ya Rasulullah? ”Baginda menjawab: “(Syirik kecil itu) ialah riak. Allah Taala akan berfirman pada hari kiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing: “Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan riak di dunia dulu (untuk menunjukkan kepada mereka), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?” (Imam Ahmad).

Hadis lain, daripada Ibnu Umar, katanya: Rasulullah bersabda: “Sesiapa bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada nama atau sifat Allah, maka sesungguhnya dia melakukan syirik terhadap Allah.” (R. Tirmizi)

Daripada Ibnu Mas'ud, katanya: Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambatkan hati suami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik.” (Abu Daud dan Imam Ahmad)

Berlakunya syirik

Syirik ialah mempersekutukan sesuatu dengan Allah Taala pada sifat ‘Uluhiyah’ atau sifat ‘Rububiyyah’.

Uluhiyah Allah ialah sifat-Nya berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintah-Nya, dipohon untuk mendapat segala kebaikan dan menolak sebarang perkara yang tidak diingini.

Rububiyyah ialah sifat mentadbir dan mengasuh serta mendidik alam yang dicipta iaitu dengan mengadakan segala keperluan, mengatur undang-undang dan menyatakan hukum halal haram untuk kebaikan jasmani dan kebahagiaan rohani.

Sesiapa yang menganggap mana-mana satu daripada sifat itu ada pada yang lain daripada Allah nescaya melakukan syirik walaupun dia pada masa itu masih beriman kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Meskipun kebanyakan mereka beriman kepada Allah, dalam pada itu mereka tidak sunyi dari perbuatan syirik.” (Surah Yusuf, ayat 106).

Dengan itu, amat buruk seseorang yang mendewakan sebarang makhluk dengan mengasihinya dan menurut perintahnya sebagaimana dia mencintai Allah. Begitu juga meminta dan mengharapkan hasil sesuatu hajat daripada sesuatu makhluk atau dengan sesuatu cara selepas diketahui ia tidak dilarang Allah.

Demikian juga salah menerima sebarang peraturan atau hukum-hakam yang diadakan oleh yang lain daripada Allah, kecuali sekadar peraturan, kenyataan atau pengajaran yang dibawa oleh Rasulullah.

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah bersabda: “Jauhkan dan singkirkan perkara yang membinasakan.” Sahabat bertanya: “Apakah dia perkara itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “(Salah satu yang terbesar di antaranya) ialah melakukan syirik terhadap Allah.” (Hadis Bukhari dan Muslim).

Elak Lakukan Syirik Tersembunyi

Elak Lakukan Syirik Tersembunyi

ISLAM adalah agama tauhid, yakni agama yang berasaskan iman kepada keesaan Allah Yang Maha Kuasa. Ukuran sempurna atau tidak Islam seseorang bergantung kepada kesempurnaan tauhid mereka.

Tauhid yang sempurna meresap ke dalam hati nurani dan melahirkan kesan kepada seluruh tingkah laku serta kehidupan. Ia memberi kesedaran untuk sentiasa berwaspada terhadap godaan syaitan dalam setiap amalan supaya tidak diselewengkan kepada yang lain daripada Allah.

Boleh dikatakan sebahagian besar orang yang mengaku beriman dan mengakui Allah mencipta mereka tetapi tauhid mereka tidak penuh kepada Allah kerana ketika mengerjakan ibadat, hati tidak bersih kepada Allah semata-mata.

Ada yang menumpukan taat setianya kepada Allah dengan menjalankan hukum syariat-Nya tetapi serentak itu, mengubah hukum syarak dengan menokok tambah atau menguranginya menurut hawa nafsu.

Perbuatan itu adalah syirik.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Marilah supaya aku bacakan apa yang diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Dia sesuatu pun ...' (Surah Al-An’am ayat 151).

Dalam surah lain Allah berfirman yang bermaksud: “... Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka ...” (Surah Al-Maidah, ayat 72).

Ayat lain bermaksud: “... Dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah, maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar rombongan burung (sehingga ia hancur berkecai), atau dihumbankan angin ke tempat yang jauh (yang membinasakannya).” (Surah Al-Hajj, ayat 31).

Maksud ayat dalam surah di atas ialah Allah mengharamkan manusia melakukan sebarang rupa syirik, sama ada yang nyata atau tersembunyi. Ayat itu turut menyatakan balasan buruk kepada orang yang melakukan syirik dan menggambarkan dahsyatnya keadaan serta balasan mereka.

Daripada Abdullah Mas'ud, katanya : Rasulullah bersabda: “Sesiapa mati dalam keadaan melakukan sebarang syirik terhadap Alah, masuklah dia ke dalam neraka.” (Hadis Bukhari dan Muslim).

Jenis Syirik

Syirik dibahagikan kepada dua iaitu

1. syirik khafi (tersembunyi)
2. syirik jali (terang dan nyata).

Syirik jali ialah syirik yang terang, nyata dan besar yang boleh menyebabkan seseorang itu dianggap jatuh ke tahap kufur.

Syirik ini boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu:

1. Menerusi i’tiqad seperti meragui atau menafikan kewujudan Allah. Justeru, mana-mana fahaman yang meragui dan menafikan kewujudan Allah seperti fahaman komunis dan ateis adalah jelas syirik.

2. Menerusi perbuatan atau amalan tertentu seperti menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu. Perbuatan memuja nasib dan meminta nombor ekor di kubur tertentu atas dakwaan kubur itu keramat juga adalah unsur syirik. Bahkan ulama menjelaskan perbuatan terlalu memuja dan mendewakan orang atau pemimpin tertentu juga adalah perbuatan syirik.

3. Menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram dan mengaku keluar daripada agama Islam. Termasuk dalam kategori ini ialah perkataan yang boleh menyebabkan terbatal syahadah seseorang Muslim.


Syirik khafi
Syirik khafi ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik itu banyak berkaitan dengan perbuatan riak di dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Perkara itu jelas disebut dalam al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadatnya.” – (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Maksud syirik di dalam beramal seperti dalam ayat itu ialah menunjuk-nunjuk ketika beramal atau riak di dalam beramal.

Rasulullah SAW dalam sabdanya pernah menasihatkan sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya oleh sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Maka Rasulullah menjawab, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riak dalam beramal.

Allah menjelaskan bahaya syirik khafi dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi.” – (Surah az-Zumar, ayat 65)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Barang siapa yang mempersekutukan sesuatu dengan Allah (tidak ikhlas kepada-Nya dalam beramal), maka adalah dia seolah-olah telah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.” – (Surah al-Hajj, ayat 31)

Melihat kepada situasi hari ini, ternyata amalan mensyirikkan Allah sama ada syirik jali atau khafi berlaku secara sedar atau tidak. Walaupun daripada kalangan orang Islam tidak menyembah berhala, tetapi mereka terdedah kepada perbuatan syirik.

Kepercayaan kepada tempat keramat, keyakinan secara membuta tuli terhadap bomoh atau dukun, penggunaan tangkal dan azimat, menyembah kemewahan dunia dan material, keyakinan rezeki seperti gaji dan upah datang daripada manusia dan bermacam lagi adalah antara amalan yang menjurus kepada syirik.

Gejala syirik khafi tidak kurang hebatnya dengan berleluasanya gejala riak, beramal untuk manusia, perasaan dengki, mengharap reda manusia, bermuka-muka, tidak ikhlas, menandakan amalan syirik memang menguasai hidup umat Islam kini.