- Nafilah bermaksud tambahan dan dalam konteks sembahyang ialah sembahyang tambahan daripada apa yang difardhukan oleh Allah subhanahu wata‘ala.
- Sembahyang sunat terbahagi kepada dua bentuk iaitu:
1. Sembahyang yang tidak sunat dilakukan secara berjama‘ah.
2. Sembahyang yang sunat dilakukan secara berjama‘ah.
Sembahyang Yang Tidak Disunatkan Berjama‘ah
- Sembahyang yang tidak disunatkan secara berjama‘ah juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu sembahyang sunat yang mengiringi fardhu dan yang tidak mengiringi fardhu.
1. Sembahyang sunat yang mengiringi sembahyang fardhu. Ia terbahagi dua:
a) Sembahyang yang merupakan sunnah mu’akkadah, yang terdiri daripada:
i. Dua raka‘at sebelum sembahyang Subuh.
ii. Dua raka‘at sebelum dan selepas sembahyang Zuhur.
iii. Dua raka‘at selepas sembahyang Maghrib.
iv. Dua raka‘at selepas sembahyang ‘Isya’.
b) Sembahyang yang bukan sunnah mu’akkadah pula terdiri daripada:
i. Dua raka‘at sebelum sembahyang Zuhur, tambahan kepada dua raka‘at yang mu’akkadah.
ii. Dua raka‘at selepas sembahyang Zuhur, tambahan kepada dua raka‘at yang mu’akkadah.
iii. Empat raka‘at sebelum sembahyang ‘Asar.
iv. Dua raka‘at yang ringan sebelum sembahyang Maghrib. Maksud “ringan” ialah melakukan rukun-rukun sembahyang, sunat-sunat dan adab-adabnya seminimum yang mungkin.
v. Dua raka‘at yang ringan sebelum sembahyang ‘Isya’.
2. Sembahyang sunat yang tidak mengiringi sembahyang fardhu. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
a) Sembahyang sunat yang tiada nama dan waktu tertentu yang lebih dikenali sebagai sembahyang sunat mutlaq, dilakukan pada mana-mana waktu kecuali pada waktu tertentu yang dilarang melakukannya. Ia dilakukan dengan diberi salam pada setiap dua raka‘at.
b) Sembahyang sunat yang ada nama dan waktu tertentu, antaranya:
i. Sembahyang sunat tahiyyatul masjid, iaitu sembahyang dua raka‘at sebelum duduk setiap kali masuk masjid. Tahiyyatul masjid terhasil dengan sembahyang fardhu atau dengan mana-mana sembahyang sunat yang lain kerana maksud daripadanya ialah seseorang itu tidak segera duduk dalam masjid tanpa menunaikan sembahyang.
ii. Sembahyang sunat witir. Ia merupakan sunnah mu’akkadah. Dinamakan witir atau ganjil kerana ia disudahi dengan satu raka‘at berlainan dengan sembahyang yang lain. Waktu sembahyang witir ialah di antara sembahyang ‘Isya’ dan terbit fajar. Yang paling afdhal ialah dilewatkan sehingga ke akhir sembahyang malam. Sekurang-kurang witir ialah satu raka‘at, tetapi makruh jika hanya melakukan dengan bilangan tersebut dan sekurang-kurang bilangan raka‘at yang sempurna ialah tiga raka‘at. Didirikan dua raka‘at kemudian satu raka‘at. Jumlah yang paling sempurna ialah sebelas raka‘at.
iii. Qiyamullail. Ia dinamakan juga dengan tahajjud jika dilakukan selepas tidur. Qiyamullail merupakan sunat yang tidak mempunyai bilangan raka‘at yang tertentu. Ia ditunaikan selepas bangun tidur dan sebelum azan Subuh.
iv. Sembahyang sunat dhuha. Sekurang-kurang sembahyang sunat dhuha ialah dua raka‘at dan yang paling banyak dan sempurna ialah lapan raka‘at. Ia lebih afdhal jika dipisahkan pada setiap dua raka‘at dengan salam. Waktunya bermula dari naik matahari sehingga gelincir dan yang afdhalnya ialah setelah berlalu satu perempat siang hari.
v. Sembahyang sunat istikharah, iaitu sembahyang dua raka‘at yang didirikan bukan pada waktu yang dimakruhkan. Ia disunatkan kepada sesiapa yang ingin kepada sesuatu atau ingin melakukan sesuatu perkara yang diharuskan tetapi dia tidak mengetahui kebaikan yang ada padanya. Disunatkan membaca doa ma’thur yang datang daripada Rasulullah selepas selesai sembahyang. Jika selepas itu Allah membuka hatinya untuk melakukan perkara tersebut, maka dia boleh melakukannya.
SEMBAHYANG YANG DISUNATKAN SECARA BERJEMAAH
Sembahyang Dua Hari Raya
- Sembahyang hari raya iaitu hari raya puasa dan hari raya korban merupakan sunnah mu’akkadah. Ia dituntut supaya dilakukan secara berjama‘ah tetapi tetap sah jika dilakukan secara bersendirian. Waktunya bermula dari terbit matahari hingga gelincir matahari. Waktu yang lebih afdhal ialah ketika matahari naik sekadar panjang lembing (tinggi segalah).
- Sembahyang hari raya mempunyai dua raka`at. Ia dimulakan dengan takbiratul ihram kemudian membaca doa iftitah, kemudian bertakbir sebanyak tujuh kali seperti mana takbiratul ihram. Ketujuh-tujuh takbir tadi dipisahkan antara satu sama lain sekadar satu ayat yang sederhana dan disunatkan membaca tasbih. Kemudian membaca al-isti`azah dan membaca al-fatihah serta dibaca bersamanya satu surah atau beberapa ayat. Takbir untuk raka‘at yang kedua hanyalah sebanyak lima kali. Selain daripada itu disunatkan berkhutbah dengan dua khutbah setelah selesai sembahyang sama seperti khutbah jumaat, cuma ia dilakukan selepas sembahyang.
Sembahyang Tarawih
- Sembahyang tarawih disyari‘atkan khusus pada bulan Ramadhan dan sunat didirikan secara berjama‘ah serta sah jika didirikan secara individu. Waktunya di antara sembahyang ‘Isya’ dan sembahyang Subuh dan sebelum sembahyang witir. Ia boleh didirikan sebanyak lapan raka‘at dan boleh sebanyak dua puluh raka‘at dengan dilakukan setiap dua raka‘at satu salam.
Sembahyang Gerhana Matahari dan Bulan
- Al-Kusuf (gerhana matahari) pada bahasa digunakan ketika cahaya matahari atau bulan terlindung sama ada sebahagiannya atau kesemuanya. Kebiasaannya, al-kusuf digunakan bagi gerhana bulan. Hukumnya pula ialah sunnah mu’akkadah. Jika sembahyang gerhana itu adalah untuk matahari, maka bacaan hendaklah diperlahankan, manakala jika gerhana bulan, bacaan hendaklah dinyaring dan dikuatkan.
- Sembahyang gerhana mempunyai dua cara:
1. Dilakukan pada setiap raka‘at dengan dua kali berdiri, dua kali membaca (Al-Fatihah dan ayat) serta dua kali ruku‘ tanpa memanjangkannya (berdiri, membaca dan ruku‘, kemudian berdiri membaca dan ruku‘). Dan sah sembahyang gerhana jika didirikan dua raka‘at dengan dua kali berdiri dan dua kali ruku‘ seperti sembahyang Juma‘at.
2. Dilakukan pada setiap raka‘at dengan dua kali berdiri. Pada setiap kali berdiri dibaca bacaan yang panjang. Dibaca selepas Al-Fatihah, Surah Al- Baqarah atau surah-surah lain yang sama panjangnya pada berdiri kali pertama di raka‘at pertama. Untuk berdiri kali kedua pada raka‘at pertama, dibaca ayat yang menyamai 200 ayat. Manakala bacaan ketika berdiri kali pertama pada raka‘at kedua ialah sekadar 150 ayat. Dan bacaan ketika berdiri kali kedua pada raka‘at kedua ialah bacaan yang menyamai 100 ayat Surah Al-Baqarah.
Kemudian apabila ruku‘, maka dipanjangkannya sehingga menyamai lebih kurang dengan 100 ayat, ruku‘ kedua dipanjangkan sekadar 80 ayat, ruku‘ ketiga sekadar 70 ayat dan ruku‘ keempat sekadar 50 ayat. Cara yang kedua ini adalah yang lebih sempurna. Apabila sembahyang telah selesai, imam bangun berkhutbah dengan dua khutbah, sama seperti khutbah Juma‘at, cuma imam hendaklah mendorong orang ramai supaya bertaubat, melakukan kebaikan serta memberi ingatan agar tidak lalai.
Sembahyang Istisqa’ (Minta hujan)
- Makna sembahyang istisqa’ ialah sembahyang yang disyari‘atkan ketika hujan tidak turun dan mata air kekeringan. Ia disunatkan ketika berlaku sebabnya. Tuntutan melakukannya akan luput apabila sebab tersebut hilang seperti turunnya hujan atau mata air mula mengalir.
- Terdapat tiga cara untuk meminta hujan :
1. Cara paling minima, iaitu berdoa kepada Allah pada bila-bila waktu yang disukai.
2. Cara pertengahannya ialah dengan berdoa selepas bangun daripada ruku‘ pada raka‘at terakhir sembahyang yang diwajibkan, atau selepas selesai sembahyang.
3. Cara yang paling sempurna ialah dengan melakukan perkara-perkara berikut:
a) Pada peringkat permulaan, imam (ketua pemerintah) atau timbalannya hendaklah menyuruh orang ramai supaya bertaubat, bersedekah kepada fakir, meninggalkan segala bentuk kezaliman, dan berpuasa selama empat hari berturut-turut.
b) Imam yang sebaik-baiknya ketua pemerintah keluar bersama-sama orang ramai pada hari ke empat dalam keadaan berpuasa, memakai pakaian yang lama (lusuh), dalam keadaan khusyu‘ dan hina menuju ke padang yang luas melalui satu jalan tertentu dan pulangnya melalui jalan yang lain pula. Kemudian ketua atau timbalannya melakukan sembahyang bersama-sama orang ramai sebanyak dua raka‘at seperti sembahyang hari raya.
c) Apabila selesai sembahyang, imam (ketua pemerintah) hendaklah berkhutbah dengan dua khutbah seperti khutbah hari raya, kecuali kedua-duanya hendaklah dimulai dengan istighfar sembilan kali pada khutbah pertama dan tujuh kali pada khutbah kedua sebagai ganti kepada takbir. Apabila khutbah kedua bermula dan berlalu satu pertiga daripadanya, khatib hendaklah berpaling ke arah qiblat dengan membelakangkan orang ramai dengan mengubah kedudukan kain jubah atau selendang dengan dijadikan bahagian atas ke bawah, bahagian bawah ke atas, bahagian kanan ke kiri dan bahagian kiri ke kanan bagi menzahirkan perasaan kehinaan ke hadapan Allah subhanahu wata‘ala. Orang ramai juga disunatkan melakukan apa yang dilakukan oleh khatib.
Sembahyang Jenazah
- Syarat-syarat sah sembahyang jenazah ialah seperti berikut:
1. Sembahyang jenazah sama halnya dengan sembahyang yang lain, iaitu harus menutup ‘aurat, suci dari hadath besar dan kecil, suci badan, pakaian dan tempat serta menghadap ke arah qiblat.
2. Mayat sudah dimandikan dan dikafankan.
3. Mayat diletak sebelah qiblat mereka yang menyembahyangkannya kecuali jika sembahyang dilakukan di atas kubur (sembahyang ghaib).
- Cara melakukan sembahyang jenazah ialah dengan keadaan berdiri sahaja dengan tidak ruku‘, sujud, tasyahhud dan duduk. Sebelum dilakukannya juga tidak disertai dengan azan dan iqamah.
- Rukun-rukun dan cara menunaikannya adalah seperti berikut:
1. Bertakbir dengan takbiratul ihram dalam keadaan berniat sembahyang ke atas mayat.
2. Selepas bertakbir, dibaca Surah Al-Fatihah.
3. Bertakbir untuk kali kedua. Seterusnya membaca salawat dengan mana-mana lafaz salawat dan yang paling afdhal ialah salawat Ibrahimiyyah.
4. Kemudian bertakbir untuk kali ketiga dan berdoa untuk si mati selepas takbir tersebut.
5. Kemudian bertakbir untuk kali keempat dan berdoa selepasnya.
6. Kemudian memberi salam ke sebelah kanan dan kiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan