DIMENSI BARU TALQIN DI KUBUR
Apabila berlaku sesuatu kematian,empat perkara wajib dilaksanakan iaitu memandikan jenazah, mengkafankannya, solat jenazah dan menguburkannya. Amalan talqin bukanlah perkara wajib dalam pengurusan jenazah. Namun amalan masyarakat menunjukkan ia satu kewajipan. Di satu pihak yang lain pula berpendapat bahawa ia adalah perkara bidaah dan ia adalah sesat. Bagi menjernihkan suasana, tulisan ini cuba melihat alternatif kepada amalan talqin ini.
Adakah talqin di kubur satu kewajipan?
Talqin di kubur ialah dengan membaca beberapa potong ayat Quran, hadis, soalan-soalan yang akan disoal di dalam kubur dan doa kepada mayat agar diampuni dosanya dan dirahmati.
Sebenarnya ia bukanlah satu kewajipan. Maknanya tidak berdosa jika amalan talqin ditinggalkan. Namun mungkin ada segelintir masyarakat yang salah faham lalu menganggap bahawa talqin adalah wajib.
Kewajipan pengurusan jenazah ada empat perkara asas iaitu memandikan jenazah, mengkafannya, solat ke atas jenazah dan menguburkannya.
Apakah sandaran bagi amalan talqin?
Sebenarnya amalan talqin di kubur memang ada sandarannya. Antaranya hadis daripada Abi Umamah. Beliau berpesan agar diperlakukan kepada mayatnya sebagaimana yang Nabi s.a.w. perintahkan. Perintahnya ialah agar diseru nama jenazah tersebut dan diberi peringatan tentang syahadah, tentang Islam sebagai agama dan sebagainya. Hadis ini ada dalam riwayat Imam Tobrani. Namun hadis ini mungkin sedikit dipertikaikan. Ini bermakna kekuatan hadis ini untuk menjadi hujah amalan talqin tidak diterima oleh sebahagian para ulama.
Selain itu, amalan talqin di kubur juga pernah di buat oleh penduduk Syam. Amalan penduduk Syam bagi sebahagian orang adalah bukti amalan ini boleh diamalkan.
Kalau ada sandaran, kenapa sebahagian ulama mempertikaikannya?
Memang ada sandaran dalil tetapi ia tidak kuat untuk dijadikan hujah. Maknanya tidak ada amalan langsung daripada Nabi s.a.w. Juga nampaknya tidak ada amalan langsung daripada para sahabat Nabi sedangkan ratusan orang Islam meninggal dunia ketika itu.
Amalan ini nampak kecil tetapi sebenarnya ia mewakili satu contoh antara bidaah yang berlaku dalam masyarakat yang mesti dihapuskan menurut sebahagian ulama. Namun amalan ini cuba dipertahankan dengan dalil yang tertentu.
Ada juga hujah bahawa sebenarnya jenazah tidak boleh mendengar lagi suara manusia. Kalau mayat tidak boleh mendengar lagi, apa faedahnya diseru nama mayat beberapa kali. Firman Allah mafhumNya :
“Dan kamu tidaklah mampu memperdengarkan orang yang berada di dalam kubur”. (Surah Fatir : 22).
Namun hujah ini dijawab bahawa Allah berkuasa memperdengarkan sesiapa yang dikehendakinya. Ini ternyata dalam surah dan ayat yang sama. mafhumNya :
“Dan tidaklah sama orang yang hidup dan orang yang mati. Sesungguhnya Allah memberikan pendengaran kepada sesiapa yang Dia kehendaki”. (Surah Fatir : 22).
Bagi saya, hujah kedua-dua belah pihak telah lama berlaku. Ia tidak mudah untuk selesai. Masing-masing akan sentiasa berpegang dengan amalan dan dalil masing-masing.
Bagaimana pendapat para ulama muktabar dalam amalan talqin mayat di kubur?
Segi pendapat para ulama, dengan merujuk kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu karya Dr. Wahbah az-Zuhaily, disebut dua pendapat. Pendapat pertama ialah pendapat yang mengharuskan amalan talqin selepas tanam. Inilah pendapat ulama Syafiiyyah dan ulama Hanabilah. Imam Nawawi r.h. berkata bahawa walaupun hadis talqin selepas tanam itu dhoif, tetapi ia diperkuatkan dengan dalil-dalil sokongan daripada hadis sahih. Lagipun ia telah diamalkan sejak zaman awal.
Namun pandangan ulama Hanafiah dan ulama Malikiah tidak cenderung untuk talqin selepas tanam.
Walau bagaimanapun, Dr. Wahbah sendiri nampaknya tidak cenderung kepada amalan talqin.
Kalau begitu, apakah alternatif kepada amalan talqin?
Amalan talqin yang memang pasti dan diterima oleh semua pihak ialah talqin kepada orang yang hampir mati. Ertinya orang yang sedang nazak. Ini sabit dengan sabda Nabi s.a.w. maksudnya :
“Talqinkan mayat kamu akan kalimah La ilaha illa Allah”. (Riwayat Muslim dan Abu Daud).
Menurut Imam Nawawi, mayat dalam hadis ini ialah orang yang hampir mati. Oleh itu, amatlah elok jika seseorang yang makin kuat sakitnya sentiasa mengucap kalimah ini dan orang di sekelilingnya juga sentiasa mentalqinkan kalimah ini. Ini bertepatan dengan satu hadis yang lain maksudnya :
“Sesiapa yang akhir kalamnya La ilaha illa Allah nescaya dia masuk syurga”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud).
Itu ialah amalan talqin sebelum mati. Bagaimana amalan talqin selepas mati?
Sebenarnya ramai juga yang alpa dengan amalan talqin sebelum mati. Ramainya yang menangis, menggerakkan orang yang hampir mati, meraung dan sebagainya. Sepatutnya kita kembali kepada panduan Nabi s.a.w. agar mentalqinkan orang yang hampir mati.
Berbalik kepada talqin selepas mati di kubur, saya melihat ada titik pertemuan antara dua pendapat. Golongan yang menentang amalan talqin di kubur hanya menentang talqin kepada mayat, tetapi tidak menentang jika talqin kepada orang yang hidup. Oleh itu, apa salahnya jika talqin diubah daripada mayat seratus peratus kepada orang yang hidup.
Contohnya diperingatkan tentang kematian, azab kubur, soalan dalam kubur, wasiat yang wajib ditunaikan, hutang yang wajib dilunaskan dan sebagainya. Juga nasihat agar kubur tidak dibuat binaan seperti binaan konkrit. Dengan ini, kaum keluarga yang hadir dapat mengambil manfaat daripada talqin di kubur.
Amalan talqin kepada mayat sahaja seratus peratus menyebabkan kaum keluarga yang hadir tidak peduli. Sebahagian mereka leka berbual, menghisap rokok, mengumpat orang lain dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kalau nasihat kepada mereka di berikan ketika ini, semoga ia lebih memberi kesan. Biasanya ahli keluarga yang hadir akan diam, tenang dan suasana lebih khusyuk. Semoga nasihat ketika itu lebih berkesan dan doa lebih ikhlas.
Apa pula sandaran dalil kepada dimensi baru amalan talqin ini?
Sebenarnya memberi nasihat adalah baik dalam Islam. Dalam hadis riwayat Abu Daud,
Nabi s.a.w. sendiri apabila selesai menguburkan mayat maka baginda s.a.w. akan berdiri di kubur lalu bersabda mafhumnya :
“Mintalah ampun bagi saudara kamu dan pohonlah baginya ketetapan. Maka sesungguhnya dia (akan) disoal”.
Maka kita boleh berdoa kepada Allah agar mayat dirahmati dan diampunkan. Kita juga meminta agar mayat diberi ketetapan.
Diharap pendapat ini dapat menjadi satu kejernihan dalam masyarakat. Yang penting, segala kewajipan agama dipatuhi dengan baik. Segala kekaburan dapat diperjelaskan. Segala perselisihan pendapat para ulama muktabar sewajarnya dihormati dan berlapang dada.
sumber : Nidzam Kadir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan