Menyambut awal tahun baru Masihi bukanlah budaya orang-orang
Islam. Ia juga bukan salah satu dari hari-hari kebesaran Islam
sebagaimana orang-orang Islam menyambut awal Tahun Hijrah,
hari Maulud Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam, Isra’ dan Mi‘raj,
Puasa Ramadhan, Nuzul al-Qur‘an, Hari Raya ‘Idil Fitri dan Hari
Raya ‘Idil Adhha.
Awal tahun baru Masihi hanya perayaan yang sering dirayakan
oleh orang bukan Islam di negara-negara Barat. Ramai orang yang
meniru perayaan ini sehinggakan ia berleluasa hingga ke negaranegara
lain seluruh dunia. Perayaan ini turut menyelinap masuk ke
dalam masyarakat Islam samada secara mereka sedari atau tidak,
dan jika orang Islam kurang pengetahuan agama dan leka dengan
penyelinapan ini, maka sudah setentunya ia akan menjadi satu
budaya yang diamalkan oleh umat Islam sampai bila-bila. Malahan
jika perkara ini dilepas pandang, ia akan semakin berakar umbi
dalam masyarakat Islam.
Ia sudah menjadi kebiasaan menyambutnya di mana-mana tempat.
Secara besar-besaran pula. Bermacam-macam acara diadakan
untuk menghidup dan memeriahkan kedatangan tahun baru itu.
Pada malam 1 Januari, pelbagai pesta dibuat seperti pesta makan
minum, diiringi dengan nyanyian, tarian dan lain-lain acara,
sementara menanti acara kemuncak iaitu pengiraan detik tahun
baru melalui jarum saat dan jam yang menuju ke angka dua belas.
Apabila jarum jam sudah menunjukkan ke angka 12 tengah malam,
maka kedengaranlah teriakan dan sorak sorai orang ramai tanda
tahun baru sudah menjelma.
Dalam pesta yang diadakan itu, sudah setentunya banyak perkara
negatif berlaku, antaranya percampuran di antara lelaki dan
perempuan, terdapat bentuk hiburan yang dilarang oleh Islam dan
yang tidak secocok dengan akhlak Islam. Perkara-perkara yang
disebutkan itu sangatlah bertentangan dengan kemuliaan Islam.
Daripada penjelasan ini, nyatalah Islam dan umatnya tidak ada
kaitan langsung dengan sambutan dan perayaan seumpama itu,
untuk mengalu-alu dan membesar-besarkan kedatangan awal tahun
Masihi tersebut. Lebih-lebih lagi jika ia bercorak keagamaan lain
daripada Islam.
Oleh itu, orang Islam tidak boleh turut sama membesarkan awal
tahun Masihi seperti orang bukan Islam membesarkannya, kerana
yang demikian itu dikhuatiri akan membawa tasyabbuh
(penyerupaan) terhadap mereka yang beragama lain di dalam
budaya, tujuan dan akidah mereka. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu,
maka dia dianggap salah seorang dari (kalangan) mereka.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan