Tahun Hijrah
Dalam soal ini ramai yang keliru seperti saudara kerana Nabi kita berhijrah bukan pada bulan Muharam sebagai yang disangka. Kita semua tahu bahawa peristiwa Hijrah tersebut berlaku pada bulan Rabiulawal pada tahun itu. Kerana Umar telah memilih tahun berlakunya peristiwa Hijrah itu untuk menetapkan tahun baru Islam dalam satu mesyuaratnya, sebagai titik tolak bermulanya tahun baru Islam.
Tahun Hijrah itu dikira mengikut perjalanan bulan bukan seperti tahun Masihi dan lain yang dikira menurut perjalanan matahari. Jadi tahun itu dikira bermula dari bulan Muharam bukan Rabiulawal sebagaimana tahun masihi dikira bermula dari bulan Januari bukan Mac atau lainnya . Jadi peristiwa Hijrah itu jatuh pada hari Isnin 12 Rabiulawal kerana Baginda selamat tiba di Madinah tepat pagi hari tersebut sebelum zuhur, bersamaan dengan bulan September tahun 622 Masihi.
Jadi bermula tahun itu dikira sebagai permulaan tahun dalam Islam dan dikenali sebagai tahun Hijrah sempena berlakunya pada tahun itulah satu peristiwa bersejarah dalam Islam iaitu penghijrahan Baginda ke Madinah al-Munawarah (Yathrib namanya pada masa itu) dan berlakunya perubahan besar dalam kemajuan dan perkembangan dakwah Islamiah dan juga tertegaknya sebuah kerajaan yang diredhai Allah di atas muka bumi-Nya ini.
Ringkasnya kalau kita kira awal tahun baru Islam mestilah bermula dari awal bulan Muharam dan kalau kita kira tarikh kelahiran Baginda ialah jatuh pada hari Isnin 12 Rabiulawal tahun gajah bersamaan dengan 20 Ogos 571 Masihi. Demikianlah menurut catatan sejarahnya yang masyhur. Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan