9.4.12

Cara duduk antara dua sujud yang dibenarkan



Duduk antara dua sujud merupakan salah satu rukun fi‘li (perbuatan) yang pendek. Menurut jumhur ulama duduk antara dua sujud adalah wajib dan tidak sah sembahyang jika ditinggalkan dengan sengaja. (Al-Majmuk: 3/367)

Menurut ashhab mazhab Syafi‘e dan jumhur ulama wajib thuma’ninah ketika ruku‘, sujud, i‘tidal (bangkit daripada ruku‘) dan duduk antara dua sujud, berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud :

"Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Apabila engkau berdiri untuk menunaikan sembahyang hendaklah bertakbir, kemudian bacalah yang mudah olehmu daripada ayat Al-Quran. Kemudian ruku‘ dengan thuma’ninah, kemudian bangkit sehingga berdiri tegak (i‘tidal), kemudian sujud dengan tuma’ninah, kemudian bangkitlah daripadanya dengan thuma’ninah, dan lakukanlah yang sedemikian itu dalam setiap sembahyangmu". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Maka perbincangan ini akan menjelaskan kaifiyat atau cara duduk antara dua sujud.

Imam An-Nawawi (Al-Majmuk:3/397-403) menjelaskan kaifiyat atau cara duduk antara dua sujud itu ada tiga cara:

Cara pertama
Punggung didudukkan di atas tapak kaki kiri, sementara itu didirikan tapak kaki kanan dengan melipatkan anak-anak jari kaki kanan menghala ke kiblat. Inilah kaifiyat duduk antara dua sujud yang dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Humaid As-Sa‘idiy yang bermaksud :

"Telah berkata Abu Humaid As-Sa‘idiy: "Aku adalah orang yang paling hafal (mengetahui) akan shalatnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Aku melihat ketika Baginda bertakbir, Baginda mengangkatkan tangan Baginda sejajar dengan dua bahunya. Apabila ruku‘, Baginda letakkan kedua tangannya pada kedua lutut. Kemudian Baginda membungkukkan punggung. Apabila Baginda mengangkat kepala (dari ruku‘) Baginda tegak sehingga setiap tulang belakangnya kembali ke tempatnya. Apabila sujud Baginda letakkan kedua tangan Baginda dengan tidak mencengkam dan tidak pula menggenggam, dan Baginda hadapkan hujung jari-jari Baginda ke arah kiblat. Apabila Baginda duduk pada raka‘at ke dua, Baginda duduk di atas kaki kiri dan menegakkan kaki kanan. Apabila Baginda duduk pada raka‘at akhir maka Baginda julurkan kaki kiri dan ditegakkannya kaki kanan dan Baginda duduk di atas tempat duduk Baginda (tikarnya)". (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Cara kedua - duduk Iqa'a
Cara duduk ini juga diamalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah duduk iq‘a iaitu dengan punggung didudukkan di atas kedua-dua tapak kaki dan tumit, sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: "Abu Zubair mendengar daripada Thawus mengatakan: "Kami bertanya kepada Ibnu ‘Abbas mengenai duduk (dengan cara iq‘a) di atas dua kaki. Ibnu ‘Abbas menjawab: "Itu adalah sunat". Lalu kami berkata kepadanya: "Kami melihat (cara duduk sedemikian) menyusahkan orang tersebut". Ibnu abbas menjawab: "Itulah sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam". (Hadis riwayat Muslim)

Cara ketiga
menurut riwayat daripada Ibnu ‘Umar dan Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum ialah dengan duduk di atas dua tumit dan jari kaki, adalah juga termasuk duduk antara dua sujud. (Al-Majmuk: 3/399) Perkara ini disebutkan dalam satu riwayat daripada Az-Zubair yang maksudnya :

"Sesungguhnya dia (Az-Zubair) melihat ‘Abdullah bin ‘Umar apabila sujud, kemudian beliau mengangkat kepalanya daripada sujud yang pertama (lalu) duduk di atas jari-jari kakinya dan beliau berkata: "Sesungguhnya (duduk seperti ini) adalah sunnah". (Riwayat Al-Baihaqi)

Cara duduk Iqa'a yang dimakruhkan

Menurut An-Nawawi, ulama‘ berselisih pendapat pada hukum duduk dan kaifiyat dalam duduk al-iq‘a. Sebenarnya cara duduk iq‘a itu dua macam:

1. Meletakkan kedua punggungnya di bumi, menegakkan kedua kakinya dan meletakkan kedua tangannya di atas bumi seperti duduknya seekor anjing. Inilah cara duduk yang dimakruhkan sebagaimana yang dimaksudkan dalam larangan hadis.

2. Menjadikan kedua punggungnya atas tumitnya ketika melakukan duduk di antara dua sujud. Inilah cara duduk yang disunatkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Dalam perkara 2 di atas, Imam As-Syafi‘e menyatakan adalah sunat melakukan duduk Iq‘a ketika duduk antara dua sujud sebagaimana disebutkan dalam kitabnya Al-Buwaithi dan Al-Imla’.

Walau bagaimanapun dalam nash (kitab) yang lain, beliau menyatakan duduk yang masyhur dan disunatkan ialah duduk iftirash.

Cara duduk antara dua sujud yang afdal

Oleh yang demikian, duduk yang afdhal menurut mazhab Syafi‘e ialah dengan cara duduk iftirash sama ada ketika melakukan duduk tasyahhud awal, duduk antara dua sujud mahupun ketika duduk istirahah (duduk sebelum bangkit bagi raka‘at seterusnya).

Manakala duduk ketika tasyahhud akhir sunat dilakukan dengan duduk tawarruk (sebagaimana duduk yang biasa kita buat pada raka‘at terakhir sebelum salam). (Shahih Muslim Syarh An-Nawawi: 2/169-170)

Kedudukan tangan dan jari ketika duduk antara dua sujud

Disunatkan dalam duduk antara dua sujud itu, meletakkan tangan kanan di atas paha kanan dan tangan kiri di atas paha kiri dengan jari-jari diletakkan sejajar di atas kepala lutut sambil menghadap kiblat. Maka tidaklah mengapa jika jari-jari tersebut melimpasi lutut berkenaan. (Al-Majmu‘: 3/398)

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum. syukran atas penerangannya..sedikit sebanyak sngt membantu dlm memperbetulkan solat sy.syukran kak ^___^

Tanpa Nama berkata...

Kalau duduk bersila? Boley terima ke doa kita?

Unknown berkata...

Terima kasih... penerangan yg byk membantu... alhamdulillah

Unknown berkata...

Terima kasih... penerangan yg byk membantu... alhamdulillah

Unknown berkata...

TQ tuan