5.10.09

Niat Menuntut Ilmu

Kadang kala kita tertanya-tanya diri sendiri, sejauh mana keikhlasan kita dalam segala apa yang aku lakukan seharian. Benarkah setiap gerak geri dan lintasan fikiran kita hanya untuk Allah seperti mana yang disebutkan saban waktu dalam solat?
Jujurkah kita apabila mengatakan " hidup matiku hanya untuk Allah Tuhan Sekalian Alam?" Terasa diri ini begitu hipokrit dan tidak jujur dengan sendiri apabila mengkoreksi diri.

Antara amalan yang paling penting bagi seorang yang bergelar penuntut ilmu, adalah menuntut ilmu itu sendiri. Oleh itu, perkara yang paling penting untuk dititikberatkan oleh seorang penuntut adalah keikhlasannya dalam menuntut ilmu.

Ikhlas satu kalimah yang mudah ditutur, tetapi kadang kala amat payah dipraktikkan. Tuntutan nafsu, penghormatan, kekuasaan, dunia dan sebagainya seringkali mengaburi dan memesongkan niat kita. Apa yang paling kita risaukan apabila keikhlasan tiada dalam menuntut ilmu adalah, kita termasuk dalam golongan yang paling rugi, yang sesat jalannya di dunia, namun menyangka dirinya melakukan amalan yang terbaik

Al-Imam Al-Ghazali ada menyebutkan bahawa niat seorang penuntut ilmu itu dibahagikan kepada tiga golongan . Golongan-golongan tersebut adalah:

1) Niat belajar kerana Allah. Seseorang yang menuntut ilmu sebagai bekalannya di hari akhirat. Tiadalah tujuannya melainkan kerana Allah dan hari akhirat semata-mata. Maka dia termasuk dalam golongan yang berjaya.

2) Seseorang yang menutut ilmu untuk membantunya dalam kehidupan dunia yang sementara. Dia mengharapkan kemuliaan, pangkat dan harta, tetapi dalam masa yang sama mengetahui dan menyedari jauh di sudut hatinya keadan dirinya yang tidak elok, dan betapa buruk niatnya. Maka dia termasuk dalam golongan yang bahaya.

3) Seseorang yang diperdaya oleh syaitan, maka dijadikan ilmunya sebagai jalan untuk memperbanyakkan hartanya, bermegah-megah dengan pangkat, berasa mulia dengan ramainya pengikut. Ilmunya menjadi pintu bagi menunaikan segala harapan dunianya. Maka dia termasuk dalam golongan yang bodoh yang diperdaya. Maka dia termasuk dalam golongan yang binasa .

Seterusnya Al-Imam Al-Ghazali menyeru kita supaya termasuk dalam golongan yang pertama, dan tidak termasuk dalam golongan yang kedua. Ini kerana golongan kedua mempunyai sifat yang suka bertangguh, sedangkan berapa ramai kita lihat, mereka yang suka bertangguh dicepatkan ajalnya sebelum sempat bertaubat, maka merugilah dia.

Ustazah : tak salah niat belajar keraNA ALLAH DAN DISERTAKAN niat lulus peperiksaan dan mendapat jawatan yang baik untuk menyara keluarga dan membantu islam dalam banyak hal jika berkemampuan. bekerja juga adalah ibadah . Yang salahnya jika niat lulus peperiksaaan dan bekerja untuk mendapatkan kemewahan dunia hingga tidak boleh membezakan mana yang halal dan haram .

Semoga Allah memberi kita anugerah-Nya untuk termasuk dalam kategori niat belajar kerana Allah dan bekerja kerana mencari keredhaan Nya... Amiin.

Tiada ulasan: