10.10.09

PERSOALAN MAHZAB II

Soalan : Mengapa umat Islam di Malaysia memilih mazhab Syafie, sedangkan dalam Islam ada empat mazhab yang semuanya harus diikuti. Bolehkah saya tukar mazhab saya dengan mazhab-mazhab selain Syafie atau saya terus mengikut al-Quran dan hadis tanpa terikat kepada mana-mana mazhab.

Jawapan: . Marilah kita berkongsi pendapat secara terbuka, walaupun mungkin tidak dapat memberi kata putus dalam persoalan ini. Ada beberapa pandangan yang perlu diambil perhatian:-

Pertama: Mazhab fikah dalam Islam tidak hanya terbatas kepada mazhab-mazhab Hanafi, Syafie, Hambali dan Maliki sahaja.

Banyak lagi mazhab yang tersebar luas pada suatu ketika terdahulu seperti Mazhab al-Layth Ibn Sa'd (94-175H.), Sufyan al-Thauri (97-161H.), al-Awza'i (88-157H.), Zaid Ibn Ali (80-122H.)dan lain-lain. Mereka terkenal sebagai pemimpin mazhab pada suatu ketika terdahulu, kemudian berlaku ketandusan pengikut bagi mazhab mereka.

Sebelum tokoh-tokoh yang disebutkan, ramai juga yang disebut-sebut sebagai ahli fikah tabi'i yang terdiri daripada tokoh-tokoh seperti Sa'id Ibn al-Musayyab (13-94H.), Tawwus (33-106H.), `Ata (27-114H.), Ikrimah (25-105H.), dan lain-lain yang pernah mendapat didikan daripada madrasah Al-Sahabah (sekolah sahabat nabi).

Mereka ini merupakan generasi yang menimba ilmu daripada sumber-sumber mata air yang jernih dan paling dekat dengan sumber wahyu, iaitu Nabi s.a.w. Bahkan sebelum tabi'in, nama-nama sahabat seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Aisyah dan lain-lain juga merupakan pemimpin mazhab yang tidak boleh dipandang remeh.

Kedua: Imam-imam Hanafi, Syafie, Hambali dan Maliki secara khusus, tidak pernah mengajak orang bertaklid kepada mazhab mereka, sebaliknya mengajak supaya kembali kepada al-Quran dan hadis sahih, mereka kerap mengingatkan orang yang berminat dengan pemikirannya supaya mengikuti hadis yang dijadikan dalil, iaitu apabila berlaku pertentangan antara hadis dan mazhab mereka.

Peringatan ini bermakna, mereka tidak pernah mendakwa pemikiran atau mazhab mereka sebagai kebal dan tidak mungkin berlaku silap, atau dengan kata lain mereka tidak pernah mendakwa sebagai ma'sum (terpelihara) daripada salah silap.

Sepanjang yang diketahui, mereka adalah mujtahid yang mencari kebenaran setakat termampu. Jika benar dapatan yang mereka cari, mereka dijanjikan dua pahala, sebaliknya jika salah, mereka akan diberi satu pahala. Justeru mereka sebagai mujtahid, mereka kerap menarik balik pendapatnya, apabila ternyata kelemahan atau didapati hadis-hadis sahih menyatakan sebaliknya. Demikianlah keikhlasan terhadap ilmu dan ijtihad kerana mencari kebenaran, bahkan semua pendapat tokoh-tokoh mazhab mengakui hakikat ini. Imam-imam dan ulama mujtahid lazimnya akur kepada hadis sahih yang ditunjuk kepada mereka,

Berkata al-Syafie: Jika sebuah hadis itu sahih, padahal ia bertentangan pendapat saya, maka buangkan pendapat saya ke tepi dinding. Sebaliknya jika hujah kelihatan jelas, ambillah hujah itu dan anggaplah hujah itu pendapat saya juga.

Para imam ada membuat pengakuan bagi mazhab masing-masing, kata mereka: Pendapat saya adalah kebenaran yang mungkin salah, pendapat orang lain pula kesalahan yang mungkin betul. Pengakuan ini menunjukkan tidak wajib kita mengikut mazhab-mazhab tertentu atau sesuatu mazhab itu istimewa daripada yang lain.

Ketiga: Sesetengah orang berpendapat, wajib bertaklid atau mengikut mana-mana imam daripada salah seorang imam antara empat imam itu. Barangkali pendapat ini tidak tepat, berdasarkan alasan-alasan berikut :-

a. Allah hanya mewajibkan taat kepada Allah dan rasul-Nya sahaja, tetapi tidak mewajibkan mereka mentaati orang tertentu selain nabi, termasuklah pemimpin mazhab. Ini kerana selain nabi, tiada yang dilindungi daripada dosa atau ma'sum (terpelihara).

b. Imam-imam atau pemimpin mazhab itu sendiri melarang orang mengikut atau bertaklid kepada mereka secara membuta tuli. Imam-imam mazhab sering mengingatkan orang ramai supaya belajar dan belajar sehingga dapat membezakan antara pendapat mana yang lemah dan mana yang kuat.

c. Bertaklid kepada mana-mana mazhab atau bertaksub kepadanya adalah suatu amalan yang bertentangan dengan yang pernah diamal oleh ulama salaf dalam beberapa abad pertama, mereka menerima atau menolak sesuatu pendapat berpandukan hujah dan alasan, sama ada hadis atau pendapat sahabat yang pernah menyaksi amalan Nabi s.a.w.,

Ini bermakna tidak ada sekatan mazhab dalam syariat ini, asalkan kita dapat merujuk dengan baik kepada al-Quran dan al-Sunah. Kita tidak menimbangkan kebenaran itu kerana tokoh, tetapi tokoh itu ditimbang kerana alasan dan kebenaran pada pihaknya. Pertimbangan dengan melihat tokoh, hanya berlaku setelah malapnya cita-cita memperkayakan diri dengan ilmu, dengan itu tumpuan kepada ilmu sudah begitu malap dan tidak lagi berwibawa.

Keempat: Menolak pendapat atau menyalahi pandangan umum bagi empat mazhab ini, tidak boleh dianggap suatu kecacatan berlaku dalam sesuatu pegangan mazhab, tidak pula menjatuhkan kedudukan mereka sebagai mujtahid. Jika Imam Malik pernah berkata bahawa para sahabat ada kemungkinan tersalah, maka apa lagi dengan mujtahid dan imam-imam selain sahabat.


Mazhab yang terdapat dibeberapa buah negara


1. Morocco bermadzhab maliki/ahlusunnah wal jama'ah.

2. Tunisia Libya Turki Iraq India Pakistan Sudan Nigeria Afhhanistan Lebanon
ber madzhab hanafi/ahlussunnah wal jama'ah.

3. Mesir bermadzhab hanafi dan syafi'i/ahlussunnah wal jama'ah.

4. Indonesia, Philipina, Thailand Malaysia. Somalia bermadzhab syafi'i/ ahlussunnah wal jama'ah.

5. Nedji bermadzhab hanbali/wahabiyah.

6. Yaman madzhab zaidiyah(syiah),sebahagian syafi'iyah/ahlusunnah wal jama'ah.

7. Iran bermadzhab syi'ah dua belas.

8. Seluruh daerah soviet 90% dari 24.000.000 muslim adalah bermahzab hanafi ahlusunnah
wal jama'ah. 10%syi'ah.

9. China bermahzab hanafi/ahlussunah wal jama'ah.

Ustazah : Tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh bertukar mazhab, jika kita mempunyai pengetahuan yang cukup tentang al-Quran dan hadis, kira-kira dapat menilai antara mazhab yang ada, mana yang kuat dan mana yang lemah berpandukan dalil dan pertimbangan yang ikhlas, malah kita boleh berijtihad sendiri dan mengamalkan hasil ijtihad kita. wallahu alam

Tiada ulasan: