28.2.09

Bolehkah Seseorang Wanita (Muslimah) Memperlihatkan auratnya Kepada Wanita Kafir?

Sebahagian Ulama berpendapat bahawa seseorang wanita muslimah tidak boleh memperlihatkan auratnya (tidak boleh membuka tudungnya) kepada wanita kafir. Perkara ini dilarang adalah kerana ditakuti wanita kafir tersebut akan menceritakan berkenaan wanita muslimah tersebut kepada kaum lelaki yang lain.


Pendapat Yang Melarang:

Dalam persoalan ini wanita membuka aurat di hadapan wanita kafir imam Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan,

“Firman Allah, “أَوْ نِسَائِهِنَّ” (bermaksud atau wanita-wanita Islam) ... (daripada ayat asalnya:

“Hendaklah mereka (wanita yang beriman) menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka memperlihatkan aurat, melainkan yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan (melabuhkan) kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan auratnya melainkan kepada suami mereka, atau ayah mereka (dan seterusnya)... atau wanita Islam (“أَوْ نِسَائِهِنَّ”), atau hamba-hamba yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak memiliki keinginan terhadap wanita.” (Surah an-Nuur, 24: 31)
ayat ini menunjukkan mereka yang boleh melihat aurat tidak pula disebutkan termasuk wanita bukan islam


Pendapat Yang Membolehkan:

Manakala terdapat sebahagian pandangan daripada kalangan ulama yang lain bahawa perkara tersebut dibolehkan. Mereka menjelaskan bahawa:

Tidak ada perbezaan di antara wanita muslimah dan kafir dalam persoalan ini (melihat aurat wanita lainnya). Mereka berhujjah dengan dalil bahawa kaum wanita dari kalangan Yahudi datang kepada isteri-isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam, dan mereka sama sekali tidak memakai hijab (bertudung atau menutup aurat sepenuhnya) juga tidak ada perintah untuk memakainya. Begitu juga pernah datang seorang wanita Yahudi kepada ‘Aisyah bertanyakan persoalan tentang siksa kubur... (dan seterusnya). (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1372, dan Muslim, no. 903)

Asma’ binti Abu Bakar berkata, “Ibuku datang kepadaku dan dia enggan untuk masuk Islam. Lalu aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa Salam, “Adakah aku boleh menjalinkan silaturrahmi dengannya?” Beliau menjawab, “Ya”. (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2620)

Diwajibkan berhijab bagi wanita di hadapan kaum lelaki (yang bukan mahram) adalah kerana atas adanya alasan tertentu yang sangat penting. Maka, dengan sebab itulah mengapa wanita diwajibkan menutup aurat di hadapan lelaki yang bukan mahram. Namun, tidak pula terdapat alasan untuk turut berhijab di hadapan wanita kafir Dzimmi (kaum kafir yang menetap di dalam wilayah/negara Islam dan membayar jizyah). Begitu juga kepada lelaki muslim tidak diwajibkan untuk menutup aurat di hadapan lelaki kafir Dzimmi. Begitu juga tidak adanya sebab supaya untuk menutupi aurat (berhijab) bagi seseorang wanita muslimah di hadapan wanita muslimah yang lainnya.


Hukum Seorang Lelaki Dan Seorang Wanita Berdua-duaan

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda (maksudnya),

“Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan bersama melainkan jika ditemani oleh mahramnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 3006)

Juga melalui hadis berikut (maksudnya),

“Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan bersama kerana Syaitan akan hadir sebagai orang ketiga.” (Hadis Riwayat Ahmad, al-Musnad, 1/18)

Adalah dibolehkan sekiranya sekumpulan (lebih dari seorang) lelaki (yang baik) yang dikenali dan tidak mungkin melakukan perkara yang buruk untuk menemui seseorang wanita.

Pernah suatu ketika sekelompok orang dari Bani Hasyim masuk (ke rumah) Asma’ binti ‘Umais, lalu Abu Bakar ash-ShiddiQ datang (di mana Asma’ adalah isterinya), ia membencinya lalu menceritakan perkara tersebut kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam dan kemudiannya Abu Bakar menjelaskan, “Aku tidak melihat melainkan kebaikan”. Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda (maksudnya),

“Sesungguhnya Allah telah membebaskannya.” Seterusnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam berdiri di atas mimbar lalu bersabda,

“Janganlah selepas hari ini (walau) seorang pun laki-laki masuk ke dalam (rumah) seorang wanita di ketika suaminya tiada melainkan jika ia bermasa seorang atau dua orang yang lain.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2174)
Siapakah Mahram Bagi Wanita

Definisi mahram (bagi wanita)

Mahram bagi wanita adalah mereka yang boleh memandangnya, berdua dengannya, melakukan safar (perjalanan) bersama, diharamkan bernikah dengannya untuk selamanya dengan sebab fitrah yang menjadikannya mahram.

Siapakah Mahram?

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Maksudnya: “Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan (menjaga) pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan (memanjangkan) kain tudung (khimar) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera (anak-anak lelaki) mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung”.” (Surah an-Nuur, 24: 31)


Daripada ayat tersebut, Allah Subhanahu wa Ta’ala memulakannya berdasarkan turutan berikut:

1 – Suami.

2 – Bapa, termasuk datuk. Termasuk datuk dari pihak ibu.

3 – Bapa suami (bapa mertua).

4 – Anak-anak mereka dan anak-anak suami mereka. Termasuklah cucu dan seterusnya.

5 – Saudara secara mutlak, sama ada saudara kandung (adik-beradik), saudara se-bapa, saudara se-ibu, dan seterusnya ke bawah.

6 – Anak-anak saudara lelaki (anak saudara) dan anak-anak saudara perempuan.

7 – Pak cik dari pihak ayah atau dari pihak ibu. Mereka termasuk di dalam cakupan mahram, walaupun tidak termasuk di dalam ayat tersebut.

Terdapat sebahagian ulama menyatakan bahawa pak cik dari pihak ayah atau dari pihak ibu tidak termasuk mahram yang dibolehkan untuk tidak menutup aurat. Ini adalah berdasarkan daripada atsar yang diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir dari ‘Ikrimah ketika menafsirkan ayat 31 dari surah an-Nuur, “Ia (‘Ikrimah) berkata, “Pada ayat ini Allah tidak menyebutkan pak cik dari pihak bapa atau pak cik dari pihak ibu. Kerana hukum pak cik dari pihak bapa atau pak cik dari pihak ibu mengikuti putera-putera pak cik mereka (sepupu). Dengan demikian, mereka tidak boleh melepaskan khimar (tudung) ketika berhadapan dengan pak cik dari pihak bapa atau pak cik dari pihak ibu.” (Ibnu Abi Syaibah, al-Mushannaf, 4/338. Lihat: Tafsir Ibnu Katsir)


Mahram Yang Diharamkan Berkahwin Dengannya

Allah Subahanhu wa Ta’ala berfirman:

Maksudnya: “Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapakmu yang perempuan; saudara-saudara ibumu yang perempuan; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan; ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara perempuan sepersusuan; ibu-ibu isterimu (mertua); anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengawininya; (dan diharamkan bagimu) isteri-isteri anak kandungmu (menantu); dan menghimpunkan (dalam perkawinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. dan (diharamkan juga kamu mengawini) wanita yang bersuami, kecuali budak-budak yang kamu miliki (Allah telah menetapkan hukum itu) sebagai ketetapan-Nya atas kamu. Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (yaitu) mencari isteri-isteri dengan hartamu untuk dikawini bukan untuk berzina. Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban; dan tiadalah mengapa bagi kamu terhadap sesuatu yang kamu tela saling merelakannya, sesudah menentukan mahar itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah an-Nisaa’, 4: 23-24)

Batasan Aurat Yang Boleh dilihat Oleh Mahram

Mahram boleh melihat sesuatu yang biasa nampak dari aurat seseorang wanita seperti anggota-anggota wudhu’. (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 6/554)

Daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anha, ia berkata:

“Dahulu kaum lelaki dan wanita pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam melaksanakan wudhu’ secara bersama-sama.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 193)

Dapat difahami daripada peristiwa ini ia adalah khusus bagi para isteri dan mahram. (Ibhu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 1/465)

Menurut Ibnul Jauzi rahimahullah:

“Di dalam hadis tersebut terdapat suatu penjelasan yang menunjukkan bahawa seseorang lelaki boleh melihat anggota-anggota wudhu’ bagi mahramnya, demikian juga sebaliknya.” (Ibnul Jauzi, Jami’ Ahkam an-Nisaa’, 4/195)



Doa Buat Wanita


اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي
فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ الْكَافِرَ


DLM SEBUTAN RUMI:

ALLAHUMMA IN KUNTA TA'LAMU INNI AAMANTU BIKA, WA BIRASULIKA WA AHSONTU FARJI ILLA 'ALA ZAWJI FALA TUSALLIT 'ALAYYA AL-KAFIR WA AZ-ZALI

Ertinya: Ya Allah,jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada Mu dan Rasul Mu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim"


Tiada ulasan: