9.2.09

Hikmah pergolakan politik Perak

Hormatilah apa yang telah berlaku tentu ada hikmah disebaliknya

tulisan asal Oleh Mohd Sayuti Omar

DEMIKIANLAH adanya, hidup ini berbanding-banding. Suka duka, kalah menang. Setiap bermula akan berakhir juga. Allah s.a.w. juga Maha Adil dan Maha Bijaksana. Sesuatu yang dijadikan itu ada hikmah dan ada tujuannya tersendiri.

Pergolakan politik di Perak – usaha untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat telah pun berakhir. Segala usaha oleh Pakatan untuk mempertahankan kerajaannya berusia 11 bulan sia-sia sahaja.

Keadaan, kuasa dan pengadil tidak memihak kepada mereka. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memihak kepada mereka. Surut pengosongan dua Adun tidak dilayan sewajarnya. Istana juga telah memberi keadilan yang perlu diterima sebagai bijaksana.

Jadi semuanya sudah selesai dan berakhir. Yang ada kini hanya kesalan dan air mata sahaja di pihak Pakatan Rakyat. Kesal dengan apa yang berlaku harus diterima ia adalah kesilapan diri kita semua. Dan air mata yang berladum adalah banjir duka kerana musibah itu menimpa Pakatan.

Sekarang ini jangan ungkit jangan lagi persenda. Jangan kata apa-apa. Mahkota kerajaan yang dipegang itu kini akan bersalin tangan dan biarlah BN meletakkan di atas kepala mereka.

Pihak Pakatan rakyat, termasuk Mohamad Nizar Jamaluddin atau sesiapa harus memujuk diri sendiri. Bayangkan bagaimana kecewa, kesal dan marahnya Tajol Mohd Rosli Ghazali selepas 8 Mac tahun lalu apabila kerajaannya runtuh dan beliau terlepas menjadi MB Perak, maka begitulah apa yang ada kini.

Namun bagaimana Tajol Rosli dapat menerima hakikat itu maka begitulah juga harus diterima oleh Nizar dan pihak Pakatan.

Untuk Pakatan rakyat, Hormatilah apa yang telah diputus meskipun hati sakit dan remuk radam.

Selama sebelas bulan Pakatan memerintah macam-macam dakwaan dan tuduhan dilemparkan ke atas kerajaan Pakatan. Semoga segala kecacatan dan kepincangan itu diperbetulkan oleh kerajaan BN selepas. Adun Pakatan boleh menjadi pemantau kepada apa yang berlaku selepas ini.

Kesemua 28 Adun Pakatan jadilah wakil rakyat yang profesional dalam DUN Perak. Menjadi pembangkang yang berkualiti, membela rakyat dan menjadi penegur kerajaan baru yang konstruktif.



Analisa kejatuhan Pakatan: Kesan politik masa depan Umno

tulisan asal Oleh Mohd Sayuti Omar

DENGAN terlantiknya Menteri Besar baru di Perak semalam, Umno kini mendapat semula kuasanya yang hilang selama 11 bulan apabila rakyat menafikan kuasa itu pada pilihan raya umum lalu. Soal kuasa itu sah atau sebaliknya, hakikatnya Umnolah mengemudi kerajaan Perak selepas ini.

Kejayaan Umno kembali semula berkuasa menerusi apa yang disifatkan oleh pakatan sebagai satu rampas kuasa siang hari itu benar-benar mengembira dan melegakan Umno. Dengan apa yang berlaku bolehlah Umno menuntut dan mengatakan bahawa parti itu mendapat sokongan Melayu dan memulihkan semula kedudukan parti berkenaan.

Umno boleh mendabit dada kononnya parti itu sebenarnya yang diingini oleh orang Melayu Perak. Umno juga boleh berangan-angan mengatakan parti merekalah dipercayai rakyat seluruhnya. Atau Umno juga boleh mengakui partinya turut sama direstui istana apabila Sultan Azlan Shah bersetuju melantik MB dan tidak bersetuju membubarkan DUN Perak seperti mana diminta oleh Pakatan Rakayat.

Adat dan kepercayaan orang Melayu meletakkan apa juga yang dilakukan Sultan itu betul walaupun kesalahan dilakukan itu kadang-kadang terang benderang, atau kadang-kadang pada satu masa dulu kita sendari menetangnya dan menyokong balik atau menyetujui bila ia memberi keuntungan kepada kita.

Dari semangat Melayu pula, sesiapa pun gembira dengan terbentuknya kerajaan Perak yang dianggotai oleh Melayu total di Perak itu. Hanya bangsa yang tidak suka kepada bangsanya sendiri saja kalau tidak suka bangsanya menjadi kerajaan. Hanya Melayu yang hilang rupa diri dan akal budi saja tidak menyokong Melayu.

Dengan terlantiknya Adun Pangkor, Zambry Abdul Kadir itu orang Melayu Perak kini tidak perlu bimbang lagi mengenai keselamatan mereka. Hak-hak Melayu, kepentingan Islam pasti akan terbela dengan utuhnya. Soal tanah rezeb Melayu pasti akan terjaga dengan eloknya.

Projek atau kontrak kerajaan tidak akan jatuh ke tangan Cina lagi. Begitu juga dengan kawasan balak tidak lagi jatuh ke tangan Cina.

Semuanya akan dapat kepada Melayu kerana kerajaan MB yang ada kini bukan lagi menjadi boneka kepada mana-mana Cina. Mungkin dalam masa sesegeranya juga Zambry akan memansuhkan semula polisi kerajaan Pakatan yang memberi gerak tanah milik kekal kepada penduduk kampung baru seperti mana pantasnya tindakan Umno sebelum ini mempertikaikan pemberina itu.

Dari satu segi itulah yang dapat dilihat dan dirasai terhadap perubahan drastik yang berlaku di Perak itu.

Tetapi dari sudut lain kemelut politik yang membawa perubahan kepada kerajaan itu meninggalkan kesan yang menakutkan untuk masa depan medan politik negara ini dan inilah yang menjadi masalah baru kepada Umno dan Melayu.

Kejadian di Perak itu membuka kepada dimensi hubungan atau perpaduan politik negara ini tidak baik. Mungkin kerana terlalu gembira orang Melayu tidak sedar bahawa di sebalik kemeriah dan sorak sorai Melayu Umno itu ada pihak lain yang kecewa. Hakikatnya kejayaan Umno itu dirayakan oleh Umno saja tetapi tidak oleh kaum lain. Bagaiamana dengan kaum cina yang diwakili MCA dan gerakan.

Realiti ini jelas kerana tiada sebarang komen daripada pemimpin Cina dalam Gerakan atau MCA berhubung kejayaan Umno itu.

Apakah sikap senyap dan membisu mereka itu menandakan mereka marah. Mereka tidak setuju kerajaan Perak yang didominasi kaum Cina (DAP) dijatuhkan? Ini perkara yang sepatutnya diberi perhatian oleh Umno di sebalik sorak sorai itu.

Jelas apa yang berlaku dan dilakukan itu menyakiti orang Cina. Orang Cina berangapan seolah mereka tidak perlu diberikan peluang menjadi kerajaan menurut perlembagaan yang ada dan perlu ditumbangkan. Dalam hal ini mereka tidak mengira siapa Cina yang menguasi kerajaan Perak itu, MCA, Gerakan atau DAP? Tetapi orang Cina pasti merasa bangga kerana rakan mereka dalam DAP dapat menguasi sebuah kerajaan.

Apa yang dibayangkan Dr Mahathir Mohamad apa yang berlaku di Perak itu memberi kesulitan atau keburukan kepada BN – Umno pada pilihan raya ke 13 adalah tepat. Dapat diselami kata-kata Mahathir itu bahawa dengan apa yang berlaku orang Cina akan membenci Umno atau sokongan orang Cina kepada Umno – BN makin merosot.

Ini sangat bahaya bagi Umno. Politik rakus dan tidak menghormati hak orang lain dan mencerminkan ketamakan kuasa memberi kesan buruk dan kegembiraan sekejap saja. Dari segi politik jangka panjang apa yang dilakukan Umno itu tidak bijak. Dan kesan daripada tindakan ini ialah kepada Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Mohd Najib Razak. Kerakusan Najib itu akan dilihat sebagai itulah stail dan pendekatan Najib apabila beliau menjadi PM kelak.

Dalam hal ini Najib untung dalam mengambil hati orang Melayu untuk mendokong beliau sebagai PM tetapi pada masa sama beliau telah mengguriskan hati orang Cina dengan apa yang berlaku itu. Keadaan ini seharusnya tidak berlaku menjelang beliau ingin mengambil kuasa daripada Abdullah Badawi Mac depan.

Memerhati perkembangan yang berlaku hari ini ada kemungkinan dengan apa yang berlaku ini menyebabkan MCA dan Gerakan atau parti-parti Cina di Sabah dan Sarawak dan seluruh orang Cina sedang membuat homework baru dalam hubungan politik mereka dengan Umno. Tragedi rampas kuasa di Perak yang berlindung di istana itu boleh menyebabkan kaum Cina menyemak balik persefahaman politik mereka dengan Umno.

Di sini terlalu awal untuk mengatakan mereka akan membuat reform politik besar-besaran dengan memberi sokongan kepada PKR dan Pas bagi menyertai rakan mereka DAP dalam Pakatan Rakyat itu tetapi kemungkinan itu tidak mustahil.

Jadi Umno perlu insaf dan sedar hal ini kalau tidak kejayaan di Perak itu bukan memberi satu kegembiraan tetapi akan menganugerahkan kesedihan berpanjangan terutamanya kepada mereka yang bertanggungjawab di sebalik tragedi 6 Februari 2009 itu.


Tiada ulasan: