Keibuan adalah rahmat yang berhubung erat dengan Nubuwwah.
Dan sifat ihsannya ialah sifat ihsan Nabi sendiri.
Kerana para ibu membentuk jalan yang bakal dilalui oleh lelaki.
Lebih matanglah. dengan rahmat keibuan, peribadi bangsa
Garis-garis kedut di kening ibu itu menentukan tingkat kita dalam hidup ini.
Dia yang kerananya Allah berfirman: "Jadilah kehidupan,''
Mengisytiharkan: syurga di bawah tapak kaki para ibu.
Di dalam memuliakan rahim jua, kehidupan ummat menjadi sejahtera .
Kalau tidak, kehidupan menjadi mentah dan kebinatangan.
Ambillah umpamanya mana-mana wanita desa, yang jahil,
lontok, gemok, hodoh, tak halus berbudi-bahasa,
buta huruf, rabun matanya, bersahaja, bisu;
Kesakitan menjadi ibu telah meluluhkan hatinya.
Lipatan-lipatan muram memilukan telah melingkung di bawah kelopak matanya.
Andaikata dari dadanya, Ummat ini menerima si Muslim yang
ghairah terhadap Agama,
Hamba Allah yang setia, segala kesakitan yang ditanggungnya
telah membentengkan wujud kita, dan fajar kita
menyingsing cemerlang dalam kemilau senjakalanya.
Ambillah pula:
tubuh yang lampai, berdada pipih, berbaju ketat,
Kerling matanya mempesonakan, Fikirannya gilang-gemilang dengan cahaya tamaddun Barat;
Zahirnya berupa wanita, batinnya bukan wanita!
la telah memusnahkan tali-tali ikatan yang memelihara
Ummat murni kita menjadi selamat sejahtera;
Kecantikannya yang suci telah terburai semua dan ditumpahkan.
Lancang matanya, kebebasannya membangkit kemarahan,
la sama-sekali tak tahu malu. 'llmunya tak cukup buat menanggung beban Keibuan
Dan di senjakala dan malam harinya, tak sebiji pun bintang bersinar
.... Lebih baiklah andainya kuntum mawar ini tak pernah tumbuh di tamansari kita.
Lebih baiklah perempuan jenisnya disapu bersih dari baju Ummat ini.
Kekayaan sesuatu kaum, tidaklah terletak pada linen halus
atau timbunan emas perak dalam khazanah;
Kekayaannya ialah putera-puteranya, yang bersih anggota dan
kuat tubuhnya, luas fikiran, berjihad ke arah usaha mulia.
Wahai para ibu pemelihara tanda Ukhuwwah
dan Kekuatan al-Kitab dan Ummat.
Wahai dikau yang kelumbungnya menjadi hijab yang memelihara kehormatan kami,
Suatu rahmat bagi kami, kekuatan Agama kami, asas Ummat kami,
Bibir putera-puteri kami menerima susu dari dadamu,
Sejak mulanya belajar menyebut: "L-a il-aha illa 'Llah ! "
Cintamulah yang mencorakkan pemikiran kami, kata-kata kami,
'amalan kami, Panahan kilat vang beradu dalam awanmu,
Berkemilau di gunung, menyapu tanah pamah.
Wahai Pemelihara ni'mat Syari'at Allah,
Kau yang dari nafasnya Agama Allah memperoleh api,
Pesolek dan pintarnya zaman ini, Kafilahnya perompak perintang jalan lengkap bersenjata
untuk merampas dan memusnahkan harta kekayaan Agama.
Butalah hatinya yang tiada langsung mengenal Allah.
Hinalah mereka yang menjadi tawanan rantainya yang membelit;
Peliharalah kesucian ibu negeri Ummat ini!
Usahlah bersungut memperhitungkan laba dan rugi,
Berpadalah dengan melalui jalan yang telah lama direntas
Leluhur kita melaluinya di zaman silam.
....... dan himpunlah anak-anakmu erat ke dadamu nan bidang
'Allamah Muhammad Iqbal
Ramuz-i-Bekhudi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan