IBADAH KORBAN
Berkorban hukumnya sunat muakkadah, iaitu sunat yang dituntut ke atas mereka yang mengerjakan haji, juga mereka yang tidak mengerjakan haji. Hukum ini menjadi wajib sekiranya seseorang itu bernazar untuk berbuat demikian. Ketika itu haram baginya memakan daging korban yang dinazarkan itu.
Waktu menyembelih korban ialah dengan terbitnya matahari pagi Hari Raya Haji (korban) sehingga akhir hari Tasyriq, iaitu pada hari yang kesebelas, dua belas dan tiga belas Zulhijjah.
Binatang yang boleh dijadikan korban ialah unta, lembu, kerbau, kibas atau kambing biasa. Binatang yang paling utama untuk dibuat korban ialah unta. Sekiranya seseorang itu tidak berupaya untuk mengeluarkan belanja membelinya, ia boleh berkorban menyembelih lembu, kemudian baru kambing, kibas atau kambing biasa.
Berkorban tujuh ekor kibas adalah lebih utama daripada menyembelih seekor unta. Seekor unta, kerbau atau lembu boleh dikongsi oleh tujuh orang, biarpun niat mereka yang berkongsi itu berbeza, seperti untuk berkorban, untuk akikah anak yang baru dilahirkan atau semata-mata untuk memakan dagingnya.
Walaupun demikian, seekor kibas atau kambing biasa hanya boleh dikorbankan oleh seorang sahaja. Korban seekor kambing itu adalah lebih utama daripada berkorban seekor unta yang dikongsi tujuh orang.
Dalam sebuah hadis, daripada Jabir r.a, ia berkata, bahawa kami pernah melakukan korban bersama Rasulullah s.a.w. pada tahun Hudaibiah dengan seekor unta untuk tujuh orang dan seekor sapi untuk tujuh orang.
Binatang yang hendak dikorbankan itu mesti berumur lima tahun masuk ke enam tahun, manakala lembu dan kerbau mesti berumur dua tahun masuk ke tiga tahun. Kambing dan kibas pula mesti berumur setahun atau telah tanggal dua batang gigi hadapannya, biarpun ia mungkin berumur belum sampai setahun, tetapi gigi yang tanggal dan berganti dengan gigi yang baru itu mesti berlaku ketika binatang itu telah berumur enam bulan.
Binatang korban mesti sempurna dan tidak cacat, tidak bertelinga misalnya, ataupun terpotong sebahagian daripada telinganya, biarpun sedikit. Tidak terpotong ekor atau lidahnya, tidak gila atau binatang yang tidak makan rumput yang menyebabkan ia kurus dan kurang dagingnya atau yang berkudis biarpun sedikit, kerana ini boleh merosakkan dagingnya, ataupun yang baru beranak, yang buta, biarpun hanya sebelah matanya bukan terdiri daripada binatang yang jelas sakit, yang tempang teruk biarpun tempang itu terjadi ketika dibaringkan untuk disembelih.
Dalam sebuah hadis daripada al-Barra’ bin Azib r.a, daripada nabi, baginda ada bersabda yang bermaksud: Empat cacat pada binatang yang tidak sempurna untuk dijadikan korban, iaitu buta sebelah yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, pincang yang nampak rusuknya dan kurus yang tidak gemuk.
Sesetengah ulama menyatakan bahawa binatang bunting tidak boleh disembelih untuk korban kerana kurang dagingnya. Perlu dijelaskan bahawa kecacatan boleh menyebabkan binatang berkenaan tidak sempurna untuk dijadikan binatang korban. Walaupun sekiranya seseorang itu bernazar dan melibatkan binatang yang mempunyai kecacatan yang dijelaskan atau binatang yang masih belum cukup umur, maka korban itu boleh dilakukan, malah wajib menyembelihnya.
Adalah memadai menyembelih binatang korban yang tidak bertanduk, yang patah tanduknya, yang terbelah telinga, yang berlubang sekiranya hal tersebut tidak menyebabkan kehilangan sesuatu daripada bahagian anggota tersebut, yang tidak berekor, tidak bergigi, patah gigi, juga binatang yang tidak mempunyai zakar, yang dikasikan.
Ada lima perkara disunatkan ketika hendak menyembelih, iaitu menyebut Bismillah, membaca selawat nabi, menghadap Kiblat, membaca takbir, berdoa semoga Allah s.w.t. menerima korban yang dilakukan.
Dalam sebuah hadis daripada Aishah dan Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah menyembelih korban dua ekor kibas yang gemuk-gemuk dan besar, putih dan bertanduk yang dikasikan, lantas Rasulullah menyembelih seekor daripadanya lalu bersabda: Ya Allah, daripada Muhammad dan umatnya dan orang yang menyaksikan keesaan-Mu dan menyaksikan tablighku (penyampaianku).
Daging binatang korban
Haram memakan daging korban yang dinazarkan, begitu juga hukumnya ke atas tanggungan orang yang berkenaan. Dagingnya wajib disedekah dalam keadaan mentah, termasuk kulit dan tanduk. Andainya orang yang berkenaan memakan sebahagian daripada daging binatang yang dinazarkan, ia wajib menggantikannya.
Tetapi Sunat memakan daging korban biasa ( bukan nazar). Dan yang paling utama, ia hendaklah memakan hatinya. Menurut pendapat ulama yang asah, orang yang berkorban hendaklah bersedekah dengan daging yang masih mentah kepada fakir miskin
Adalah memadai bersedekah biarpun hanya kepada orang miskin, yang melibatkan daging yang sedikit. Paling utama ialah bersedekah semua daging kepada fakir miskin, kecuali mengambil sebahagian kecil daripadanya untuk keberkatan.
Pembahagian juga boleh dilakukan dengan membahaginya kepada tiga bahagian, satu pertiga untuk diri dan keluarganya, satu pertiga lagi untuk orang-orang kaya, manakala satu bahagian lain pula untuk fakir miskin.
Daging korban tidak boleh disedekahkan kepada fakir miskin kafir zimmi. Begitu juga orang Islam yang menerima sedekah daging korban atau orang kaya yang menerima hadiah daging korban, tidak boleh (haram) memberi daging tersebut kepada kafir zimmi.
Adalah haram menjual binatang korban yang disembelih seperti daging, bulu atau kulit, ataupun dijadikan upah bagi orang yang menyembelih binatang berkenaan, tetapi tidak haram sekiranya ia diberi kepada orang yang menyembelih atas nama sedekah.
Mingguan Malaysia online 6 Ogos 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan