18.4.09

apabila kita tahu org mengumpat diri kita

TAZKIRAH 2

apabila kita tahu org mengumpat diri kita


Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud, " Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim).

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah

"Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya".

Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui". Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.


TIP BERHENTI MENGUMPAT

1. Bersihkan hati dari rasa sakit hati yang melampau pada kelemahan orang lain.
Biasanya bila timbul sesuatu yang menyebabkan seseorang itu terasa hati, maka orang yang sedang sakit hati itu akan merasa puas bila dapat menyebut-nyebut keburukan orang yang menyakitinya.

2. Kawal hati dari rasa marah yang melampau. Dalam keadaan marah, tanpa disedari lidah akan menyebut perkara yang bukan-bukan mengenai orang sedang dimarahi.

3. Penyakit mengumpat juga biasanya datang dari hati yang merasa dirinya lebih dan tiada kekurangan. Justeru sebaik sahaja melihat kekurangan orang lain, hati terus menghina kelemahan yang ia nampak. Lintasan dalam hati yang memandang rendah orang lain itulah akan mendorong lidah untuk berkata-kata perkara yang tidak baik.

4. Bersihkan hati dari kotoran hasad dengki. Perasaan hasad ini mendorong seseorang menyebut keburukan orang yang sedang dipuji oleh orang lain di hadapannya. Hati yang dengki itu akan rasa tidak senang dengan sanjungan serta pujian orang ramai terhadap seseorang. Justeru dia menyebut keburukan individu yang dipuji agar orang ramai tidak lagi memuji dan menyanjungnya.

5. Mencari kawan-kawan yang sedang mengumpat juga salah satu punca seseorang mengumpat. Hal ini boleh berlaku bila kita suka berkumpul dengan rakan-rakan yang suka bercerita keburukan orang lain. Oleh kerana kita tidak mahu dipinggirkan oleh kumpulan tersebut, maka kita turut memperkatakan keburukan yang sedang dibualkan.

6. Jika ada lintasan negatif dalam hati, segera beristighfar dan memohon pertolongan Allah agar menyucikan hati kita. Lintasan negatif merupakan racun iblis untuk memusnahkan manusia.

7. Mengingati balasan azab Allah bagi pengumpat.

Surah al-Hujurat ayat 12 yang berbunyi

“Janganlah setengah kamu mengumpat orang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

Ibnu Abbas pernah berkata, “Andaikata kamu ingin menyebut keaiban sahabatmu, terlebih dahulu sebutkan keaiban dirimu sendiri.”

Pesan Nabi Muhammad s.a.w,
Bertuahlah orang yang sentiasa berkerja kuat untuk membetulkan diri sendiri, daripada menyebut-nyebut keaiban orang lain.”

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi yang bermaksud: “Dan sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam, nescaya Allah menutup keaibannya di dunia dan di akhirat.”

Tiada ulasan: