10.4.09

Renung sejenak..

Hina Islam Atau ‘Muslim’?


“Dia sudah melampau. Mana boleh si kafir membaca ayat al-Quran dan memperalatkannya?” bentak ‘pencinta’ Islam di dalam kenyataan akhbar dan laporan polisnya.


KES NGA KOR MING

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat ihsan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya” [al-Nahl 16:90]

Apabila Ahli Parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis daripada DAP dan beragama Kristian memetik firman Allah daripada al-Quran di atas untuk memberitahu hadirin tentang kedudukan KEADILAN dan BERLAKU IHSAN dari perspektif al-Quran, apakah ini suatu penghinaan terhadap Islam?

Nga Kor Ming salah menyebutnya? Betulkanlah sebutannya.

Bukankah kita kaya dengan guru tajwid di sana sini?

Betul sangatkah sebutan-sebutan ayat al-Quran oleh perwakilan-perwakilan parti yang Melayu dan Muslim itu? Betul sangatkah ucapan Datin-datin dan Puan Sri semasa menyebut ayat al-Quran dalam ucapan-ucapan perasmian mereka? Sepatutnya salah sebutan itu diiringi oleh usaha membetulkan sebutan, bukannya berbondong ke Balai Polis membuat laporan!

Sikap inilah yang menghairankan saya.

Terlalu defensif.

Masjid dikurung, Quran dibendung, yang lulus untuk kegunaan non Muslim hanyalah rumah-rumah terbuka pada hari perayaan Islam! Kemudian layakkah kita tertanya-tanya tentang punca Islam menjadi mandul di negara kita?

Sila tanggalkan kasut anda di sini, dan ketahuilah di sini juga kawasan pencuri kasut! Banyak betul benda pelik di masjid-masjid kita

HINA ISLAM ATAU MUSLIM?

Soalan tadi belum berjawab. Apakah ketika seorang Ahli Parlimen beragama Kristian memetik ayat al-Quran tentang ADIL dan IHSAN sebagai asas seruannya untuk semua Muslim dan non-Muslim menolak KEZALIMAN, adalah suatu penghinaan terhadap Islam?

Saya yakin, jawapannya mudah.

Ia bukan penghinaan terhadap Islam.

Ia adalah PENGHINAAN terhadap MUSLIM. Iaitu Muslim yang mengaku Islam tetapi tidak beramal dengan Islam. Muslim yang sensitif dengan salah baca al-Quran, tetapi tidak sensitif dengan pembekuan al-Quran dari asas pemerintahan.

Nga Kor Ming ‘memang patut didakwa’.

Tetapi bukan dengan dakwaan menghina Islam.

Sebaliknya Nga Kor Ming patut didakwa kerana menghina ‘Muslim’. Muslim yang bermain-main dengan Islam. Permainan yang menjadi punca terhinanya Muslim itu sendiri, siang dan malam.

“… Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian al-Kitab dan mengingkari sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari Qiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” [al-Baqarah 2: 85]

Jangan sampai Muslim di Malaysia jadi seperti kaum Abbasiyyin di Baghdad pada tahun 1253. Setelah nasihat-nasihat ulama’ Muslim tidak diendahkan, dan lekanya mereka dengan maksiat, akhirnya Hulagu Khan yang kafir itu ber’tazkirah’ di pintu kota Baghdad bersama bala tenteranya, “Aku adalah bencana yang dihantar oleh Tuhan kamu atas dosa yang kamu lakukan!”

Tatkala Muslim ditempelak oleh seorang kafir tentang agamanya sendiri, itulah saat-saat kehancuran mereka. Mahukah kamu beringat-ingat?


APA KATA DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan


Surat Kepada YB Nga Kor Ming ADUN Pantai Remis Perak





YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera

Yang Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universi ti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.

* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *
(TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS



Copy dan paste dari blog CINAISLAM.. thanks..

pesan saya hanyalah:

tak guna ada mata kalau tak boleh melihat
tak guna ada hati kalau tak boleh mendengar







Tiada ulasan: