Syaaban membawa maksud berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Apabila Rasulullah s.a.w diangkat sebagai pesuruh-Nya, baginda mengekalkan nama itu kekal sehinggalah sekarang. Rasulullah s.a.w telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadis baginda.
Di antara hadis yang paling masyhur ialah Rasulullah s.a.w bertanya kepada sahabat-sahabat baginda. “Tahukah kamu sekalian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?”
Para sahabat menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”
Sabda Rasulullah s.a.w, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang amat banyak.”
Bulan Syaaban adalah bulan mulia, iaitu bulan yang terletak di antara bulan Rejab dan bulan Ramadhan.
Ketiga-tiga bulan tersebut saling dihubungkait secara rapat – orang yang menyucikan badannya pada bulan Rejab, maka ia akan menyucikan hatinya pada bulan Syaaban dan orang yang menyucikan hatinya pada bulan Syaaban akan menyucikan rohnya pada bulan Ramadan.
Sesungguhnya bulan Rejab untuk memohon keampunan daripada segala dosa, dan bulan Syaaban pula untuk memperbaiki hati daripada segala cacat cela, manakala bulan Ramadan untuk memberi cahaya penerangan kepada hati, sedang malam Lailatul Qadar adalah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan