Selamat berpuasa dan melakukan amalan amalan sunat di bulan yang dimuliakan ini.
Buat pelajar ATPN, masuk semula ke asrama kita akan sama sama bersahur, berpuasa, berbuka, bertadarus dan bersolat sunat tarawih. ustazah dah buatkan jadual bertadarus, dah paparkan dalam surau, tengoklah nanti...
begitu juga dengan solat sunat terawih, insyaAllah kita buat kat surau kita dan kat surau ATDI dan sesekali kat Masjid As-Syafie...
Sebelum ni marilah kita sama sama mengulangkaji ilmu berkenaan Solat Terawih.
Berkenaan keutamaan solat ini, Abu Hurairah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. menganjurkan pada malam Ramadhan dengan anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda: “Sesiapa beribadah pada malam Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.”
Hukum Solat Terawih.
Solat Terawih hukumnya sunat mu’akad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut. Rasulullah s.a.w. telah menganjurkannya dengan arahan yang tidak tegas, bererti hukumnya adalah sunat dan tidak wajib. Oleh kerana ia adalah amalan sunat, maka apabila bertembung antara Solat Terawih dengan sesuatu amalan lain yang wajib hukumnya, maka hendaklah diutamakan amalan yang wajib hukumnya.
Waktu Perlaksanaan Solat Terawih.
Rasulullah s.a.w. bersabda, sebagaimana hadis di atas: “Sesiapa beribadah pada malam Ramadhan…”. Berdasarkan hadis ini, tempoh perlaksanaan Solat Terawih ialah sesudah masuk waktu solat Isyak sehingga sebelum masuk waktu solat Subuh.
Jika keletihan pada malamnya, kita boleh tidur sebentar kemudian bangun untuk melaksanakan Solat Terawih. Waktu perlaksanaan Solat terawih tidak terbatas kepada selepas solat Isyak sahaja.
Cara Perlaksanaan Solat Terawih.
Solat Terawih boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian. Berjamaah adalah lebih afdal merujuk kepada anjuran Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Terawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 1604]
Namun jika menghadapi kesempitan untuk melaksanakannya secara berjamaah, maka dibolehkan melaksanakannya secara bersendirian. Rasulullah s.a.w. sendiri pada zaman baginda adakala melaksanakannya secara berjamaah dan adakala secara bersendirian. Ini bagi memberi kelapangan bagi umat, seandainya mereka menghadapi kesempitan masa atau tenaga.
Bilangan Rakaat Solat Terawih.
Solat Terawih boleh dilaksanakan dalam jumlah lapan atau dua puluh rakaat, diiikuti dengan Solat Sunat Witir. Kadangkala timbul persoalan berkenaan jumlah rakaat Solat Terawih yang sepatutnya dilaksanakan, lapan atau dua puluh rakaat? Sebenarnya lapan atau dua puluh, setiapnya memiliki dalil dan hujah di sebaliknya sehingga boleh diamalkan kedua-dua jumlah rakaat mengikut kecenderungan dan pilihan masing-masing.
Antara Kualiti dan Kuantiti.
Saya yakin para pembaca sekalian mengetahui bahawa kualiti adalah lebih penting daripada kuantiti. Maka terhadap Solat Terawih, pastikan ia dilaksanakan secara baik (kualiti) dan tidak sekadar mengejar rakaat yang banyak (kuantiti).
Antara aspek kualiti yang kadang kadang kita abaikan ialah:
1. Meninggalkan bacaan al-Qur’an secara tartil, iaitu sebutan kalimah-kalimah al-Qur’an secara jelas berdasarkan disiplin tajwid yang betul. Allah s.w.t. memerintah kita: “Dan bacalah al-Qur’an dengan tartil.” [Surah al-Muzammil, ayat 4]
2. Meninggalkan bacaan doa iftitah sebelum al-Fatihah dan bacaan surah-surah selepas al-Fatihah. Ini satu kerugian kerana bacaan-bacaan itu memberi ganjaran pahala yang amat besar.
3. Mengabaikan thama’ninah, iaitu kekal di dalam sesuatu posisi solat seperti rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud. Tempoh kekal di dalam sesuatu posisi ialah sehingga bacaan dalam posisi itu dapat dilengkapkan dengan betul dan sempurna jumlahnya. Pernah ada seorang lelaki yang bersolat tanpa thama’ninah pada zaman Rasulullah s.a.w.. Melihat cara solat lelaki itu, Rasulullah s.a.w. memerintahkan beliau untuk mengulanginya [Shahih al-Bukhari, no: 757]. Tindakan baginda menyuruh lelaki itu mengulangi solat menunjukkan thama’ninah ialah syarat sah solat. Sesiapa yang meninggalkannya bererti solatnya, sama ada Solat Terawih atau selainnya, adalah tidak sah.
Ustazah : dilaksanakan solat sunat tarawih berdasarkan kualiti dan bukannya kuantiti. tetapi kalau boleh kedua duanya itulah yang terbaik..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan