4.12.08

Solat Dan Yoga

Dalam memperkatakan bab yoga, berhati hatilah, dikhuatiri kita termasuk dalam golongan orang yang melampaui batas. Amat menakutkan kalau tergelincir aqidah. Biarlah mereka yang arif sahaja memperkatakannya. Walaubagaimanapun kita perlu ada ilmu dalam memperkatakan perkara ini. Mungkin ini boleh membantu.

Dalam Journal of the Royal Society of Medicine YOGA ialah satu sistem pembangunan insan yang tertua yang merangkumi jasad, akal dan rohani.
Yoga mempunyai kedudukan serta gerak badan tertentu yang dikenali sebagai asanas.
Ketika mengamalkan yoga seseorang akan duduk pada kedudukan tertentu untuk jangka masa tertentu dengan melafazkan kalimat-kalimat mentera yang tertentu di samping bernafas secara teratur. Salah satu kedudukan yoga yang terpenting ialah Sirshasana (headstand). Ia dikenali juga sebagai Raja Yoga atau King of Yoga. Di kedudukan ini seorang pengamal yoga akan meletakkan kepalanya ke bumi dan di peringkat kemuncaknya akan meluruskan badan agar kakinya berada di atas.
Oleh kerana kesannya yang positif yoga menjadi amat popular pada hari ini. Doktor-doktor di Harvard sering kali menyuruh pesakit-pesakit mereka mengamalkan yoga bertujuan untuk menjaga kesihatan.

Ada orang mengatakan yoga seperti solat. Sebenarnya solat bukanlah senaman ataupun yoga.
Bagi orang-orang Islam solat adalah lebih agung dari sebarang senaman termasuk yoga. Solat ialah zikir yang paling mulia.


Dalam surah Al-Ankabut ayat 45 Allah berfirman,

“Dan zikrullah (iaitu solat) adalah lebih besar keutamaannya.”

Dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa, disebutkan,

“Berkata Imam Nasafi, solat adalah lebih besar dari segala ketaatan yang lain.”

Jika dilihat secara menyeluruh, memang terdapat beberapa unsur yoga di dalam solat. Solat merupakan ibadah yang merangkumi “jasad, roh dan akal.”
Ia mempunyai kedudukan serta gerak badan tertentu yang dikenali sebagai rukun fi’li.
Ia juga mementingkan gerak hati yang sentiasa ikhlas kepada Allah dan ini dikaitkan dengan rukun qalbi.
Ia juga mempunyai kalimat-kalimat tertentu yang perlu dilafazkan dan ini dikaitkan dengan rukun qauli serta zikir.
Salah satu kedudukan terpenting dalam solat ialah sujud. Di kedudukan ini seseorang akan meletakkan kepalanya di bumi dan di kedudukan itu darah dari jantungnya akan turun ke otak dengan mudah sekali. Berbeza dengan sirshasana, sujud dapat dilakukan oleh hampir semua orang.


Namun solat adalah lebih dari yoga kerana ia adalah ibadah yang berdasarkan wahyu. Ia adalah aktiviti penyembahan kepada Yang Maha Pencipta yang memerlukan disiplin kerana ia terikat dengan waktu.

Seseorang yang hendak bersolat wajib membersihkan jiwanya dari kesyirikan terlebih dahulu sebelum memasuki solat untuk mengesakan Allah. Pembersihan jasad dengan berwuduk adalah diwajibkan. Pemakaian seseorang juga perlu menjurus kepada pengabdian dengan menutup aurat.
Solat tidak hanya merupakan aktiviti individu, ia juga merupakan aktiviti kelompok.

Oleh itu berbanding dengan yoga, solat adalah lebih lengkap dan komprehensif dan kesan jangka panjangnya adalah lebih mendalam.



Faedah-Faedah Solat

Solat yang dilakukan akan menggugurkan dosa seseorang.
Imam Muslim meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat yang
lima menghilangkan dosa sebagaimana air menghilangkan daki.”

Dalam riwayat yang lain oleh Imam Muslim, nabi bersabda,
“Solat menghapuskan dosa yang berlaku di antara satu solat dengan satu yang lain melainkan dosa-dosa besar.”


Solat membina jati diri seseorang
Imam Abu Al-Aliyah berkata,
“Solat mempunyai tiga keistimewaan, dan jika tidak ada ketiga-tiga ini di dalam sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali. Keistimewaan-keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah. Ikhlas akan membawa seseorang kepada yang makruf, khusyuk akan mencegahnya dari perbuatan mungkar dan zikrullah akan membantunya melakukan yang makruf dan mencegahnya dari yang mungkar”.


Solat menguatkan jiwa
Di samping itu, solat menguatkan jiwa seseorang sehingga memampukannya meninggalkan kekejian dan kemungkaran.
Dalam surah Al-Ankabut ayat 45, Allah berfirman,
“Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.”
Apabila peribadi unggul seperti ini dapat dibentuk melalui solat, keluarga dan masyarakat akan menjadi aman dan selamat.


Solat mendidik umat Islam menjadi pengurus masa yang baik.
Dalam surah An-Nisak ayat 103, Allah berfirman,
“Sesungguhnya solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang-orang mukmin.”
Oleh kerana solat fardu yang
lima terikat dengan waktu, mereka yang bersolat perlu prihatin dan peka dengan waktu kerana solat yang dilakukan di luar waktu dengan sengaja dianggap sebagai tidak sah dan bakal mendatangkan dosa. Kepekaan kepada waktu ini jika diperkembangkan kepada seluruh kehidupan akan menjadikan umat Islam satu golongan yang menghargai masa. Golongan yang menghargai masa pasti akan cemerlang.

Solat membentuk disiplin
Solat juga membentuk disiplin. Di antara perkara yang wajib dilaksanakan sebelum bersolat ialah mengambil wuduk, dan wuduk tidak dianggap sah melainkan dengan tertib. Tertib bermaksud, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Demikian juga ketika bersolat, tertib wajib dipelihara Jika seseorang mendahulukan amalan yang sepatutnya dikemudiankan, sebagai contoh, melakukan sujud sebelum qiam dan takbiratul ihram, solatnya dianggap tidak sah. Latihan-latihan seperti ini mampu melahirkan insan yang celik prosedur lagi berdisiplin sekali gus menjadikannya efisien di dalam setiap pekerjaan.


Solat mendidik umat Islam agar mementingkan ilmu. Hal ini disebabkan ketika melaksanakan solat berjemaah, imam yang memimpin solat hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang berilmu.
Mengikut Imam Muslim dan Ahmad, nabi bersabda,
“Hendaklah yang mengimami sesuatu kaum itu mereka yang lebih tahu tentang Al-Quran. Jika kemampuan mereka sama di sudut ini, pilihlah dari kalangan yang lebih memahami sunnah..”
Makmum yang berada di belakang imam juga perlu menguasai ilmu kerana kadangkala imam terlupakan sesuatu di dalam solatnya. Justeru, Islam mengarahkan agar makmum yang berdiri hampir dengan imam adalah dari kalangan mereka yang berilmu.
Mengikut Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi, nabi bersabda,
“Hendaklah mereka yang pandai lagi baligh bersolat dekat denganku, kemudian mereka yang seumpama mereka, kemudian mereka yang seumpamanya..”


Solat menghilangkan stres

Tekanan jiwa atau stres sering melanda manusia dan solat mempunyai penawar yang mampu meredakannya. Hal ini disebabkan solat mengandungi zikir dan zikir jika dilakukan dengan khusyuk mampu mendamaikan hati.
Dalam surah Taha ayat 14 Allah berfirman,
“Dan tegakkanlah solat untuk berzikir kepadaKu.” Oleh kerana solat benar-benar mendamaikan hati nabi pernah berkata, “Bangunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat.”
Oleh itu, rugilah mereka yang tidak bersolat. Kerugian mereka amat besar sekali.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mmg btul dgn solat hati kita bole tenang n tenteram..yg bab yoga 2 bia la yg lbh arif handlekannye coz mereka lbih berilmu dan tau bab2 gini..yg kita plak jgn la mempertikaikannya..

orkedpurple berkata...

solat menjauhkan diri dr perkara2 mungkar..