Boikot barang rEJIM iSRAEL - satu perbahasan yang hebat diperkatakan sekarang
Saya membuat kajian untuk menjawab persoalan ini, dan akhirnya artikel ini, yang saya ambil dan edit dari pelbagai sumber ini mungkin boleh membantu :-
Dalil keutamaan ini antaranya adalah
جَاهِدُوا الْمُشْرِكِينَ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ وَأَلْسِنَتِكُم
Ertinya : "Berjihadlah kamu menentang orang musryikin itu dengan harta kamu, dan diri kamu serta lidah kamu"
(Riwayat Abu Daud, no 2504, 3/10 ; Albani : Sohih )
Apa hukum nya berjual beli dengan barangan yahudi
Hukum asal urusniaga dengan Non-Muslim termasuk Yahudi dan semua syarikatnya adalah halal ataupun harus selagi transaksi yang dibuat menurut syarat jual beli Islam dengan syarat:-
1) Produk dan urusniaga mereka bertepatan dengan islam dan disahkan bersih dan halal oleh mereka yang berwajib dalam sesebuah negara
2) Tiada sebarang perintah oleh kerajaan atau mereka yang berwajib untuk memboikot barangan
3) Tiada sebarang bukti secara bertulis dan penghebahan rasmi syarikat bahawa mereka membantu dan menyumbang khas kepada serangan ke atas Islam, yang mana ia dibuat atas nama syarikat dan bukan salah seorang individu dalam syarikat sahaja.
4) Hukum harus ini hanya bertukar kepada haram jikaberurusniaga atau wajib memboikot mereka jika Pemerintah Islam tertinggi mengarahkan boikot demi mencapai maslahat tertentu untuk Islam.
Asas Hukum berjual beli dengan orang Yahudi
1) Allah SWT menghalalkan umat Islam memakan sembelihan ahli kitab yang di antara mereka adalah Yahudi. Ini bermakna berurusan dengan Yahudi dan barangan yang dihasilkannya selagi menepati kehendak Allah adalah diharuskan.
2) Allah SWT juga menghalalkan lelaki Islam untuk berkahwin dengan wanita Ahli Kitab yang suci dan baik dengan syarat ia bertujuan kebaikan kepada wanita tersebut. Perihal halal berkahwin dan makan sembelihan ahli Kitab termasuk Yahudi ini disebut dengan jelas dalam ayat berikut : -
الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلُّ لَّهُمْ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ إِذَا آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلاَ مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ
Ertinya : "Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal pula bagi mereka. (Dan dihalalkan mengawini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar maskawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik.."
(Al-Maidah : 5 )
Tidak dinafikan sama sekali bahawa umat Islam perlu melakukan sesuatu jika rEJIM iSRAEL melakukan suatu jenayah dan kebiadapan terhadap Islam.
Umat Islam perlu bersatu padu dan bergabung kekuatan bagi memberikan pengajaran kepada mana-mana pihak yang memulakan kejahatan terhadap Islam.
Boikot seperti ini adalah untuk memberikan tekanan kepada pengusaha dan peniaga yang seangkatan dengan para penyerang agar mereka sendiri mendesak kerajaan mereka kepada keamanan selain mereka akan membenci tindakan kerajaan dan rakan seagama mereka yang melakukan kejahatan terhadap Islam.
Tapi kita perlu tahu antara hukum dan keutamaan. Jangan nanti jika ada di antara kita yang melihat rakan terlibat dengan mana-mana syarikat tadi menuduhnya kafir, munafiq dan lain-lain.
Selagi tiada edaran khusus, specifik dan rasmi oleh syarikat terbabit yang menyatakan mereka menyokong dan membantu serangan atas nama syarikat, selagi itu hukum asal iaitu harus berurusniaga dengan syarikat itu akan tetap terpakai.
Sekadar salah seorang pemegang saham bertindak sendirian membantu pembinaan kuil, atau membantu serangan oleh rEJIM iSRAEL juga belum cukup kuat untuk mengubah hukum harus tadi kepada haram. Ini kerana ia adalah tindakan peribadi salah seorang pemegang saham sahaja dan bukannya polisi sebuah syarikat itu.
Siapa dan apa yang perlu kita boikot
Insyaallah di lain artikel saya akan membuat kajian berkenaan syarikat yang perlu kita boikot dengan bukti bahawa mereka terlibat secara rasmi ataupun mereka mendedahkan secara terus terang dengan hebahan rasmi bahawa mereka memperuntukkan keuntungan mereka bagi menyokong serangan rEJIM iSRAEL ke atas negara umat Islam seperti yang dilakukan oleh Starbuck dan lain-lain.
Dan jika pendedahan dan bukti itu jelas dan bukannya khabar angin maka tatkala itu ia sudah termasuk dalam hukum sebagai wajib melakukan pemboikotan.
Semoga allah memberikan petunjuk dan hidayahNya. Wallahualam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan