Ubat-Ubatan Yang Menegah Haid.
Diharuskan menggunakan ubat-ubatan yang menegah haid dengan dua syarat:
Tidak berlaku mudarat ke atas dirinya. Jika mengakibatkan mudarat maka ia diharamkan berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. [al-Baqarah 2:195]
Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. [al-Nisa’ 4:29]
Penggunaannya adalah dengan izin suami. Berikut adalah contoh dua kes yang memerlukan izin atau pengetahuan suami:
1. Seorang isteri yang diceraikan oleh suaminya lalu dia mengambil ubat penegah haid
supaya tempoh iddahnya berpanjangan. Dengan itu berpanjanganlah
tempoh pembayaran nafkah cerai oleh suaminya kepadanya.
2. Menegah haid untuk menegah kehamilan. Walaubagaimanapun yang
lebih utama (bagi suami isteri) ialah tidak melakukan hal ini kecuali untuk tujuan
yang baik. Ini kerana putaran haid yang fitrah (semula jadi) adalah penting demi
kesihatan yang normal.
Ubat-Ubatan Yang Mendatangkan Haid.
Diharuskan menggunakan ubat-ubatan yang mendatangkan haid dengan syarat:
Bukan sebagai helah untuk meninggalkan ibadah seperti tidak solat dan berbuka pada bulan Ramadhan.
Mendapat izin suami kerana sengaja mendatangkan haid akan menggugurkan hak suami dari dua sudut:
1. Menghalangnya daripada bersetubuh dengan isterinya.
2. Menghalangnya untuk merujuk semula dalam kes penceraian. Iaitu isteri sengaja
mendatangkan haid supaya tempoh iddah berlalu dengan cepat sehingga seandainya
suami ingin merujuk semula, dia tidak sempat untuk berbuat demikian.
Ubat-Ubatan Yang Menegah Kehamilan.
Terdapat dua jenis ubat-ubatan yang menegah kehamilan:
Ubat yang menegah kehamilan secara tetap dan berterusan. Ini tidak diharuskan kerana ia mengurangkan keturunan. Tindakan ini menyalahi tujuan Islam yang mengutamakan umat yang ramai. Lebih dari itu seandainya dia kehilangan anak yang sedia ada masa kini, dia akan tinggal berseorangan sehingga ke hari tua (tanpa penjagaan).
Ubat yang menegah kehamilan untuk sementara waktu. Ini diharuskan dengan syarat mendapat keizinan suami dan tidak memudaratkan kesihatan. Contoh penggunaannya ialah wanita yang kerap hamil dan dia ingin merancang kehamilannya pada kadar sekali dalam setiap dua tahun.
Dalil kebolehan ini tindakan para sahabat radhiallahu 'anhum di zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mempraktikkan al-‘Azal terhadap para isteri mereka supaya mereka (para isteri) tidak hamil. Tindakan ini tidak ditegah oleh Rasulullah. al-‘Azal ialah tindakan seorang suami yang apabila bersetubuh dengan isterinya, dia mengeluarkan alat kelaminnya dari faraj isterinya di saat hendak keluar air mani.
Ubat-Ubatan yang Menggugurkan Kandungan.
Menggugurkan kandungan memiliki dua tujuan:
bertujuan menghapuskan kandungan. Maka hukumnya terbahagi dua:
1. Jika sudah ditiup ruh pada kandungan maka tanpa ragu lagi hukumnya ialah haram untuk menggugurkannya. Ia termasuk dalam kategori membunuh tanpa hak yang diharamkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah serta kesepakatan umat Islam.
2. Jika belum ditiup ruh maka wujud perselisihan pendapat sama ada harus atau tidak untuk menggugurkan kandungan. Sebahagian mengharuskannya, sebahagian menegahnya. Sebahagian lain berkata: “Harus selagi mana belum terbentuk segumpal darah (sebelum 40 hari)” manakala sebahagian lagi berkata: “Harus selagi mana pada kandungan belum terbentuk apa yang berupa manusia.”
Pendapat yang dipilih ialah harus menggugurkan kandungan jika bersebab seperti sakit, tidak dapat menanggung kehamilan dan sebagainya. Akan tetapi jika pada kandungan sudah jelas terbentuk apa yang berupa manusia, maka ditegah daripada menggugurkannya. Allah yang lebih mengetahui.
Bertujuan mengeluarkan kandungan demi sesuatu manfaat.
Ini lazimnya berlaku setelah genap tempoh kehamilan atau menghampirinya. Ia diharuskan selagi mana tidak memudaratkan ibu dan anak serta tidak memerlukan pembedahan. Jika memerlukan pembedahan maka ia terbahagi kepada empat kes:
1. Ibu hidup, anak hidup. Pembedahan ditegah kecuali atas dasar darurat seperti
kesukaran ibu untuk melahirkan anak secara fitrah. Pembedahan ditegah
kerana “badan” adalah satu amanah kepada manusia yang tidak boleh
diapa-apakan kecuali atas pertimbangan untuk mencapai kemaslahatan yang lebih besar.
pembedahan hanya diharuskan dalam suasana darurat kerana betapa
banyak pembedahan yang pada awalnya disangka tiada mudarat tetapi
kemudian berakhir dengan mudarat CONTOHNyA":-
Ibu mati, anak mati. Tidak harus melakukan pembedahan kerana tidak ada apa-apa faedah.
Ibu hidup, anak mati. Harus melakukan pembedahan supaya anak dapat dikeluarkan demi memelihara ibu daripada apa-apa kemudaratan.
Ibu mati, anak hidup. Dalam kes ini diperhatikan: Jika tidak wujud kemungkinan untuk anak hidup maka tidak harus melakukan pembedahan. Jika wujud kemungkinan untuk anak hidup maka ia seterusnya terbahagi kepada dua :
I. Jika anak sudah keluar sebahagian maka diharuskan pembedahan untuk
mengeluarkan sebahagian yang tertinggal.
II. Jika anak belum keluar, maka di sini terdapat perselisihan pendapat.
Pendapat Pertama
menegah daripada melakukan pembedahan untuk mengeluarkan anak kerana ia
mencacatkan mayat (mayat ibu).
Pendapat Kedua
mengharuskan pembedahan untuk mengeluarkan anak.
Ini adalah pendapat Imam Ibn Hubairah rahimahullah dalam kitabnya al-Inshaf.
Saya berkata, yang benar adalah Pendapat Kedua kerana melakukan pembedahan di zaman kita sekarang ini bukanlah sesuatu yang mencacatkan mayat kerana kesan pembedahan dapat dijahit kembali. Yang penting, menyelamatkan orang yang hidup (anak dalam kandungan) adalah lebih utama daripada menghormati orang yang meninggal dunia (ibu yang mati). Bahkan menyelamatkan yang maksum daripada kemusnahan adalah wajib hukumnya. Anak yang masih hidup di dalam kandungan ibu yang meninggal dunia adalah insan yang maksum sehingga wajib menyelamatkannya. Allah yang lebih mengetahui.
Peringatan
Dalam keadaan-keadaan yang harus untuk menggugurkan kandungan sebagaimana yang dibahas dalam bab ini, ia terlebih dahulu wajib mendapat izin daripada pihak suami sebagai orang yang memiliki kandungan tersebut.
___________________________________________
Lebih lanjut tentang al-‘Azal, lihat buku penyunting yang berjudul Kaedah-Kaedah Memahami Hadis-Hadis yang Saling Bercanggah (Jahabersa, Johor Bahru 2002). Boleh juga dirujuk edisi “e-book” di www.al-firdaus.com
Kecuali jika atas nasihat para pakar perubatan bahawa meneruskan kehamilan akan membawa kemudaratan yang besar kepada ibu. Maka jika demikian kesnya, harus menggugurkan kandungan. Berikut beberapa sumber rujukan dalam bahasa Melayu:
1. Perubatan Moden Menurut Perspektif Islam oleh Basri Ibrahim (Darul Nu’man, K. Lumpur 1999).
2. Isu-Isu Bio Perubatan Menurut Islam oleh Abul Fadl Mohsin Ibrahim (edisi terjemahan oleh Yusof Ismail; A.S. Noordeen, K. Lumpur 1995).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan