17.2.10

Mengawal marah


tip-tip tertentu mengikut ajaran Islam yang boleh dijadikan panduan untuk mengawal perasaan marah


Jika dirujuk kepada hadis-hadis Rasulullah s.a.w., ada beberapa tips iaitu:

[1] Mengenal asal-usul marah, bahawa ia berasal dari sikap tinggi diri yang ada pada seseorang.


[2] Menyedari peranan syaitan yang suka membuat manusia marah. Syaitan menunggu ketika manusia dalam keadaan lemah seperti letih, tertekan, terburu-buru dan sebagainya. Dalam keadaan seperti ini syaitan mencelah dengan cucukan sikap marah.


[3] Rasulullah s.a.w. pernah menerangkan bahawa orang yang kuat bukanlah mereka yang memenangi pertarungan gusti tetapi yang berjaya mengawal kemarahannya. [Shahih Muslim, no: 2608] Orang yang mudah marah, dia sebenarnya orang yang lemah sekalipun dalam beberapa aspek lain dia orang yang berjaya. Maka jadilah orang yang kuat, yakni orang yang dapat mengawal kemarahannya.


[4] Jika sedang marah, duduklah, Jika sedang duduk, baringlah: “Jika salah seorang dari kalian marah dalam keadaan berdiri maka hendaklah dia duduk agar marah hilang darinya. Jika tidak hendaklah dia baring.” [Sunan Abu Daud, no: 4782]


[5] Jika sedang bercakap, maka diamlah: “Jika salah seorang dari kalian marah, hendaklah dia diam.” [Musnad Ahmad, 1/239]


[5] Mengambil wudhu’: “Sesungguhnya marah berasal dari syaitan dan syaitan berasal dari api. Sesungguhnya api itu dipadam dengan air. Oleh kerana itu jika salah seorang dari kalian marah, hendaklah dia berwudhu’.” [Sunan Abu Daud, no: 4784]


[6] Menginginkan balasan yang baik: “Seorang hamba tidak meneguk tegukan yang lebih baik di sisi Allah daripada tegukan marah yang dia tahan kerana mencari keredhaan Allah Azza wa Jalla.” [Sunan Ibn Majah, no: 4189]


Seseorang pernah bertanya: “Wahai Rasulullah! Tunjukkan aku perbuatan yang memasukkan aku ke syurga.” Rasulullah menjawab: “Engkau jangan marah.” [Majma az-Zawaid 8/70]


Tiada ulasan: