1.2.10

KEKEMASAN DIRI ( berkhitan, istihdad, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak )

Iaitu kekemasan diri yang menjadi sunnah Nabi s.a.w., antaranya yang disebut beliau dalam sabdanya; “Fitrah itu ada lima; iaitu Berkhitan, Istihdad (mencukur bulu ari-ari), Menggunting misai, Memotong kuku dan Mencabut bulu ketiak” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Maksud fitrah di dalam hadis di atas menurut Imam al-Khatthabi ialah as-Sunnah, yakni lima perkara yang tergolong dalam sunnah Nabi. Ada ulamak berkata; yang dimaksudkan ialah sunnah-sunnah para Nabi. Ada juga yang berpandangan; yang dimaksudkan ialah agama, yakni; lima perkara dari suruhan agama.[1]


Apa maksud berkhitan? Dan apa hukum berkhitan?


Hukum berkhitan adalah wajib mengikut pandangan Imam Syafi’ie dan ramai ulamak yang lain.
Bagi Imam Syafi’ie; wajib berkhitan adalah atas kedua-dua golongan lelaki dan wanita.

Majoriti ulamak (antaranya Imam Malik) berpandangan; ia sunat sahaja.



Apa maksud Istihdad? Apa hukumnya?

Istihdad bermaksud mencukur bulu di kawasan ari-ari ( العانة ) iaitu kawasan di atas alat kelamin dan di sekitarnya sama ada lelaki atau wanita. Hukumnya adalah sunat. Tujuannya ialah untuk membersihkan kawasan tersebut. Yang terbaik ialah dengan mencukur. Namun harus dengan menggunting atau mencabutnya.

Menurut al-‘Abbas bin Suraij; termasuk dalam pengertian bulu ari-ari ialah bulu yang tumbuh di sekitar lubang dubur. Jadi dengan mengambil kira pandangan beliau, maka disunatkan kita mencukur keseluruhan bulu yang tumbuh di kemaluan depan dan dubur serta di kawasan sekitar keduanya.[2]


Apa hukum memotong kuku? Bagaimana cara yang disunatkan?

Memotong kuku hukumnya adalah sunat. Sunat memotong di tangan terlebih dahulu, berikutnya baru kaki. Sunat dimulai dengan tangan kanan iaitu bermula dari jari telunjuk, kemudian jari tengah, kemudian jari manis, kemudian jari kelingking dan seterusnya ibu jari. Setelah itu pergi pula ke tangan kiri dengan bermula dari jari kelingking, kemudian jari manis dan berikutnya hinggalah ke ibu jari. Berikutnya pergi pula ke jari-jari kaki dengan bermula dari jari kelingking kaki kanan dan tamat di jari kelingking kaki kiri.[3]


Apa hukum mencabut bulu ketiak? Haruskah mencukurnya?

Hukumnya sunat. Yang terbaik ialah dengan mencabut bagi sesiapa yang mampu. Jika tidak, memadai dengan mencukurnya. Sunat dimulai dengan ketiak kanan, kemudian baru ketiak kiri.[4]


Apa hukum menggunting misai? Adakah harus dilakukan oleh orang lain untuk kita?

Hukumnya adalah sunat. Sunat dimulai dengan misai sebelah kanan. Harus sama ada kita menggunting sendiri atau menyuruh orang lain melakukannya untuk kita. Adapun mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari tadi tidak harus dilakukan oleh orang lain kerana ia merosakkan maruah dan kehormatan.[5]



Pada had manakah misai perlu digunting? Adakah sunat mencukurnya?

Para ulamak berbeza pandangan;[6]

a) Pandangan pertama; menurut ulamak-ulamak mazhab Hanafi dan Hanbali; yang terbaik ialah mencukurnya (yakni membuang habis). Mereka berdalilkan beberapa sabda Nabi s.a.w. antaranya;

جُزُّوا الشَّوَارِبَ، وَأَرْخُوا اللِّحَى، خَالِفُوا الْمَجُوسَ
“Potonglah misai (hingga nampak kulit) dan biarkanlah janggut. Hendaklah kamu berbeza dengan orang Majusi”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut ulamak, perkataan al-jazz dalam hadis di atas memberi makna menggunting misai dan bulu hingga sampai ke kulit.

Di dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. bersabda;

خالفوا المشركين: وفروا اللحى، وأحفوا الشوارب
“Hendaklah kamu berbeza dengan orang-orang Musyrikin; kerana itu biarkanlah janggut dan buanglah misai”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Berkata Imam Ibnu Hajar; perkataan al-Jazz dan al-Ihfa’ menunjukkan kepada tuntutan agar bersungguh-sungguh dalam membuang misai. Al-Jazz bermaksud; menggunting hingga ke kulit. Al-Ihfa’ pula bermaksud; membuang habis. Kerana itu Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad mensunatkan dibuang habis misai dengan mencukurnya.[7]

b) Pandangan kedua; menurut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki; yang disunatkan hanyalah mengguntingnya sahaja sehingga kelihatan bibir mulut (yakni menggunting bahagian yang memanjang ke atas bibir mulut). Adapun mencukurnya adalah dilarang, di mana hukumnya adalah makruh.[8]

c) Pandangan ketiga; menurut Imam Ibnu Jarir at-Tabari; harus kedua-duanya, yakni kita boleh memilih sama ada hendak mengguntingnya sahaja atau mencukurnya kerana kedua-duanya sabit di dalam hadis Nabi s.a.w..[9]



Bilakah masanya kita dituntut untuk mencukur bulu ari-ari, memotong kuku dan sebagainya tadi?

Iaitu pada bila-bila masa mengikut keperluan dan apabila ia panjang asalkan jangan membiarkannya melebihi empat puluh hari. Ini berdasarkan cerita Anas bin Malik r.a.;

وُقِّتَ لَنَا فِي قَصِّ الشَّارِبِ وَتَقْلِيمِ الْأَظْفَارِ وَنَتْفِ الْإِبِطِ وَحَلْقِ الْعَانَةِ أَنْ لَا نَتْرُكَ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
“Telah ditetapkan tempoh untuk kami bagi menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari iaitu kami tidak membiarkannya melebihi 40 hari”. (Riwayat Imam Muslim)[10]


Nota Kaki

[1] Syarah Soheh Muslim, 3/151.
[2] Syarah Soheh Muslim, 3/153.
[3] Syarah Soheh Muslim, 3/152.
[4] Syarah Soheh Muslim, 3/152.
[5] Syarah Soheh Muslim, 1/152.
[6] Syarah Soheh Muslim, 1/152-155, Faidhul-Qadier, hadis no. 3586 dan Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah (Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 276-280.
[7] Faidhul-Qadier, hadis no. 3586.
[8] Syarah Soheh Muslim, 3/152, Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah (Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 278 dan 280.
[9] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah (Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 280, Syarah Soheh Muslim, 1/155.
[10] Syarah Soheh Muslim, 3/152.


Tiada ulasan: