27.2.10

Makna Haid Dan Hikmahnya


Panduan : Syaikh al-Utsaimin rahimahullah

Makna Haid

Dari sudut bahasa, haid (الحيض) ialah: turun sesuatu secara mengalir.

Dari sudut syara’, haid ialah darah yang keluar dari wanita kerana fitrah kejadiannya tanpa sebarang sebab. Ia keluar pada waktu-waktu yang diketahui. Ia adalah darah fitrah yang keluar bukan kerana sakit, luka, keguguran atau kelahiran.


Hikmah Haid

Sesungguhnya janin yang berada di dalam perut ibunya tidak mungkin mendapat makanan seperti orang yang di luar. Ini kerana tidak mungkin bagi seorang ibu untuk menyampaikan makanan kepada anaknya dengan cara yang biasa.


Atas sebab ini Allah Ta’ala menjadikan makanan untuk janin dalam perut ibu daripada darah (ibunya). Ia tidak memerlu kepada pemakanan biasa (solid food) dan penghadaman. (Zat makanan yang berada di dalam darah ibu) sampai ke dalam badan janin melalui pusatnya dan lantas memasuki urat-urat sarafnya. Inilah cara janin mendapat makanan.


Maha Mulia Allah sebagai sebaik-baik pencipta. Inilah hikmah darah haid. Oleh itu apabila berlaku kehamilan, seorang wanita terputus haidnya. Amat jarang berlaku haid ketika hamil. Demikian juga bagi ibu-ibu yang menyusu, sangat sedikit di kalangan mereka yang datang haid terutamanya di awal masa menyusu.



Penerangan Syaikh al-Utsaimin rahimahullah di atas merujuk kepada kes setelah berlakunya persenyawaan dan wanita menjadi hamil. Jika tidak hamil, darah haid berperanan membersihkan sel-sel telur dalam sistem pembiakan wanita yang tidak disenyawakan. Lebih lanjut rujuk buku:

1. Hukum-hukum Wanita Hamil oleh Dr. Yahya ‘Abd al-Rahman (edisi terjemahan oleh Abu Wafa’; al-Izzah, Jakarta 2003).

2. Tuntutan Haidh, Nifas & Darah Penyakit: Tinjauan Fiqih dan Medis oleh Dr. ‘Abd al-Rahman Muhammad al-Rifa’i (edisi terjemahan oleh Mahfud Hidayat & Ahmad Muzayyin; Mustaqim, Jakarta 2003) (penyunting)

Tiada ulasan: