31.3.10

Bagaimana kedudukan tangan kita semasa Tahiyyat/Tasyahhud itu


Kedudukan tangan ketika membaca Tahiyyat/ tasyahhud


Ketika duduk tahiyyat, sunat kita meletakkan tangan kanan di atas paha kanan dalam keadaan jari hujung (yakni kelingking), jari manis dan jari tengah digenggam, sementara jari telunjuk dilepaskan dan diangkat serta diisyaratkan (menghala ke arah kiblat)
ketika menyebutkan (إلا الله) sambil meniatkan di dalam hati tauhid dan ikhlas di mana ia terus diluruskan tanpa meletak atau menjatuhkannya. Ibu jari diletakkan pada jari tengah. Adapun tangan kiri, hendaklah diletakkan di atas paha kiri.




Cara kedudukan tangan di atas adalah berdalilkan hadis-hadis berikut;

1. Hadis Ibnu ‘Umar r.a. yang menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila duduk di dalam solat, baginda meletakkan tapak tangannya yang kanan di atas paha kanannya dan baginda menggenggam semua jarinya dan memberi isyarat dengan jarinya bersebelahan ibu jari (yakni jari telunjuk). Adapun tapak tangan kirinya, baginda letakkan di atas paha kirinya”. (Riwayat Imam Muslim)


2. Dari Ali bin Abdirrahman al-Maghafiri yang menceritakan dari Abdullah bin ‘Umar r.a. yang melihat seorang lelaki mengerak-gerakkan batu dengan tangannya ketika ia sedang solat. Apabila lelaki selesai solat, Abdullah berkata kepadanya; “Jangan mengerak-gerakkan batu semasa kamu berada dalam solat kerana itu adalah dari Syaitan. Akan tetapi lakukanlah sebagaimana yang dilakukan Rasulullah s.a.w.. Lelaki itu bertanya; “Bagaimana yang dilakukan baginda?”. Abdullah menjelaskan kepadanya; “Baginda meletakkan tangannya yang kanan di atas paha kanannya, mengisyaratkan jarinya yang bersebelahan ibu jari ke arah kiblat dan melontarkan pandangan matanya ke arah jari tersebut. Begitulah yang aku lihat dilakukan Rasulullah s.a.w.”. (HR Imam an-Nasai).


3. Diriwayatkan dari Abdullah bin az-Zubair r.a. yang menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila duduk berdoa (semasa tasyahhud) baginda meletakkan tangannya yang kanan di atas pahanya yang kanan dan tangannya yang kiri di atas pahanya yang kiri. Baginda melakukan isyarat dengan jari telunjuknya, sementara ibu jari baginda letakkan pada jari tengahnya. Adapun tangan kiri, maka baginda meratakannya di atas lutut kirinya”. (Riwayat Imam Muslim)


4. Dalam hadis riwayat Abu Daud dan an-Nasai, seorang sahabat bernama Wail bin Hujrin r.a. tatkala menceritakan sifat solat Nabi s.a.w., beliau memberitahu; “…Semasa Tahiyyat, Rasulullah s.a.w. meletakkan tangan kanannya (bermula dari siku) di atas paha kanannya, kemudian baginda menggenggam dua jari dari jari-jari tangannya (iaitu jari kelingking dan jari hantu) dan membentuk gelungan (dengan jari tengah/telunjuk dan ibu jarinya), kemudian mengangkat jari (telunjuk)nya. Aku melihat beliau menggerak-gerakkan jari telunjuknya itu sambil berdoa dengannya” (HR Imam an-Nasai dan Abu Daud).

Di dalam hadis Abdullah bin az-Zubair tadi, diceritakan bahawa Nabi s.a.w. hanya meletakkan sahaja ibu jarinya pada jari tengahnya. Sedang di dalam hadis ini, baginda membentuk gelungan dengan dua jari tersebut.

Tiada ulasan: