Artikel ini adalah  sebuah salinan secara ringkas dari perbahasan berkenaan sekitar persoalan adakah  menyapu muka ketika selepas salam (selepas solat) itu suatu yang disunnahkan,  juga turut mengupas apakah menyapu/mengusap muka sebaik sahaja selepas berdoa  itu memiliki contoh dari sunnah yang sahih atau tidak.
Berdasarkan fatwa Imam asy-Syafie rahimahullah. Beliau menentang  perbuatan tersebut (menyapu muka) sebagaimana dijelaskan oleh beliau  rahimahullah melalui hadis yang terdapat dalam kitab Al-Umm yang menjelaskan  supaya tangan kita adalah tetap di atas peha ketika semasa dan selepas salam  (membawa maksud tiada perbuatan menyapu muka):
عَنْ جَابِرِ  بْنِ سَمْرَة قَالَ : كُنَّا مَعَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  فَاِذَا سَلمَ قَالَ اَحَدُنَا بِيَدِهِ عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ : السلام  عليكم ، السلام عليكم . وَاَشَارَ بِيَدِهِ عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ .  فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا بَالَكُمْ تُومئونَ  بِاَيْدِيَكُمْ كَاَنَّهَا اَذْنَابُ خَيْلٍ شُمْسٍ اَوْ لاَيَكْفِى اَوْ اِنَّمَا  يَكْفِى اَحَدُكُمْ اَنْ يَضَعَ يَدهُ عَلَى فَخِذِهِ ثُمَّ يُسَلِّمُ عَنْ  يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ ، السَّلاَمُ  عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله
“Dari Jabir bin Samrah berkata: Semasa kami solat bersama  Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, maka ketika baginda memberi salam,  berkata salah seorang dari kami dengan tangannya ke kanannya dan ke kirinya dan  mengucapkan: As-salamu ‘alaikum, as-salamu ‘alaikum, dan mengisyaratkan dengan  tangannya ke kanan dan ke kiri. Maka Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:  Apa terjadi kepada kamu, mengisyaratkan dengan tangan kamu, tak ubah seperti  ekor kuda yang mabuk, tidakkah memadai atau sesungguhnya memadai seseorang kamu  meletakkan tangannya di atas pehanya semasa memberi salam ke kanannya dan ke  kirinya seraya mengucapkan: As-salamu ‘alaikum wa-rahmatullah, as-salamu  ‘alaikum wa-rahmatullah”. (Lihat: al-Umm. Jld. 1. Hlm. 122. Hadis ini  diriwayatkan oleh Riwayat Muslim)
Adapun yang ditegah oleh Rasulullah  sallallahu ‘alaihi wa-sallam pada hadis di atas ialah menggerakkan tangan  kanannya ke kanan ketika menoleh ke kanan dan menggerakkan tangan kirinya ke  kiri ketika menoleh ke kiri. Hal ini setelah dilihat oleh baginda, kemudian  baginda bertanya yang berupa larangan:
“Mengapa kamu menggerakkan tangan  kamu seperti gerakan ekor kuda yang lari terbirit-birit dikejar binatang buas?  Apabila seseorang antara kamu mengucapkan salam, hendaklah ia berpaling kepada  temannya dan tidak perlu menggerakkan tangannya. Maka ketika mereka solat  bersama Rasulullah, mereka tidak melakukannya lagi”. (Lihat: Sifat Solat Nabi.  Hlm. 236)
Pada riwayat yang lain baginda bersabda:
“Seseorang  antara kamu cukup meletakkan tangannya di atas pahanya, kemudian ia mengucapkan  salam dengan berpaling kepada saudaranya yang di sebelah kanan dan saudaranya  yang di sebelah kiri”. (Hadis Riwayat Muslim, Abu ‘Awanah, Siraj, Ibnu Khuzaimah  dan at-Thabrani)
Al-Mawarzi di dalam kitab al-Witr  (hal. 236) berkata, “Ahmad bin Hanbal (imam Ahmad (w. 248H)) menyatakan, dari  Abu Dawud, “Aku pernah mendengar bahawa Ahmad ditanya tentang seseorang mengusap  mukanya dengan kedua tangan jika telah selesai solat witr, ia berkata, “Aku  belum pernah mendengar sedikit pun berkenaan dengan hal itu, sedangkan aku  menyaksikan bahawa Ahmad tidak melakukan hal itu (mengusap muka selepas  solat).”
MENYAPU MUKA SETIAP KALI  SELESAI BERDOA
Salah satu amalan dan kebiasaannya dalam  masyarakat kita, ialah mengusap (menyapu) muka setiap kali selesai berdoa  sebagai penutup doa dan mungkin untuk mendapat berkat dari doa tersebut.  Sebenarnya perbuatan tersebut tidak mempunyai asas/landasan dari syara’ dan  tiada nas yang boleh dijadikan hujjah/sandaran, kerana semua hadis-hadis yang  menunjukkan menyapu muka setelah selesai berdoa keseluruhannya lemah/dhaif  belaka. Antara hadis-hadis tersebut ialah:
Kelompok Hadis pertama:
عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ  كَعَبِ الْقَرْظِيِّ عَنِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ  عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِذَا سَاَلْتُمْ بِاللهِ فَسَلُوْهُ بِبُطُوْنِ اَكُفِّكُمْ  ، وَلاَ تَسْاَلُوْهُ بِظُهُوْرِهَا ، وَامْسَحُوْا بِهَا  وُجُوْهَكُمْ
“Dari Muhammad bin Ka’ab al-Qurdzi dari Ibnu Abbas  berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Apabila kamu meminta  (berdoa) kepada Allah, maka mintalah dengan telapak tangan kamu, jangan  memintanya dengan belakangnya. Dan sapulah dengannya muka kamu”. (Hadis Riwayat  At-Thabrani dalam المعجم الكبير 10/10779. az-Zahabi dalam المستدرك 1/536.  Al-Baihaqi. السنن الكبرى2/212)
(1). عَنْ  صَالِحِ بْنِ حَسَّانَ اْلاَنْصَارِيِّ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ كَعَبِ الْقَرْظِيِّ  عَنِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  : اِذَا دَعَوْتَ اللهَ فَادْعُ بِبَاطِنِ كَفَّيْكَ ، وَلاَ تَدْعُ بِظُهُوْرِهَا  ، فَاِذَا فَرَغْتَ فَامْسَحْ بِهِمَا وَجَهَكَ.
(1). “Dari Soleh bin Hassan al-Ansari, dari Muhammad bin  Ka’ab al-Qardzi dari Ibn Abbas, beliau berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu  ‘alaihi wa-sallam: Jika engkau berdoa kepada Allah, maka berdoalah dengan  telapak tanganmu, janganlah berdoa dengan kedua-dua belakangnya. Maka setelah  selesai, sapulah wajahmu dengan kedua tanganmu”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah dalam  Sunan. 1/373. Hadis No. 1181)
Kedua-dua hadis di atas ini adalah  lemah kerana pada sanadnya terdapat perawi yang lemah sebagaimana dapat  diketahui dari penjelasan di bawah ini:
Dalam az-Zawaid dinyatakan: Isnad  hadis ini lemah. Ia dilemahkan kerana terdapat perawi bernama Soleh bin Hassan.  (Lihat: Sunan Ibn Majah. 1/373)
Menurut Imam Bukhari rahimahullah: Hadis  yang dari Soleh bin Hassan al-Ansari dari Muhammad bin Ka’ab al-Qurdzi adalah  hadis mungkar. Dan beliau berkata lagi: Setiap seseorang yang telah aku katakan  hadisnya mungkar, maka tidak halal untuk meriwayatkan hadis darinya. (Lihat:  ميزان الاعتدال 1/6. Az-Zahabi)
Menurut Ibnu Hibban: Semua hadis yang  diriwayatkan oleh (Soleh bin Hassan al-Ansari) adalah hadis-hadis palsu. (Lihat:  al-Irwa al-Ghalil. 2/180. al-Albani)
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar  rahimahullah: Soleh bin Hassan (متروك) “Ditinggalkan”. (Lihat: المعجم الكبير  10/319)
Tambahan وَامْسَحُوْا بِهَا وُجُوْهَكُمْ فَهِيَ زِيَادَةٌ  مُنْكَرَة “Dan sapulah muka kamu dengan telapak tangan kamu (setelah  selesai berdoa), maka ia adalah tambahan yang mungkar”. (Lihat: المعجم الكبير  10/319)
Berkata Abu Daud: Dia (soleh bin Hassan) seorang yang lemah.  (Lihat: المعجم الكبير 10/319)
Hadis  Kedua:
(2). حَدَّثَنَا  حَمَّادُ بْنُ عِيْسَى الْجُهَنِيُّ عَنْ حَنْظَلَةَ بْنَ اَبِيْ سُفْيَانَ  الْجُمَحِيِّ عَنْ سَالِمِ بْنِ عَبْدِ اللهِ عَنْ اَبِيْهِ عَنْ عُمَرَ بْنِ  الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ  عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ فِى الدُّعَاءِ لَمْ يَحُطُّهُمَا حَتَّى  يَمْسَحَ بِهَمَا وَجْهَهُ . قَالَ مَحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى فَى حَدَيْثِهِ :  لَمْ يَرُدُّهُمَا حَتَّى يَمْسَحَ بِهَمَا وَجْهَهُ
(2). “Berkata Hammad bin Isa al-Juhani dari Handhalah bin  Abi Sufyan al-Jumahi dari Salim bin Abdullah dari bapanya dari Umar bin  al-Khattab radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam  mengangkat tangannya dalam berdoa. Baginda tidak mengembalikan kedua tangannya  sehingga mengusap wajahnya. Berkata Muhammad bin al-Muthannah dalam hadisnya:  Baginda tidak mengembalikannya keduanya sehingga mengusap dengan kedua tangannya  wajahnya”. (Hadis Riwayat Tirmizi. 5/3386)
Hadis di atas ini adalah hadis  lemah kerana sanad hadis ini berasal dari Hammad bin Isa al-Juhani. Nama penuh  beliau ialah: Hammad bin Isa bin Ubaid bin at-Thufail al-Juhani al-Wasiti  al-Basri. Dia seorang perawi yang sangat lemah.
Berkata Sheikh Muhammad  Nashiruddin al-Albani rahimahullah: Perawi seperti dia adalah lemah sekali. Maka  hadisnya tidak boleh dihasankan, dengan demikian sama sekali tidak boleh  disahihkan. (Lihat: Irwa al-Ghalil fii Takhrij Ahadis Manaris Sabil.  2/433)
Menurut al-Hafiz az-Zahabi: Hammad bin Isa al-Juhani adalah perawi  yang lemah. (Lihat: سير اعلام النبلاء 16/67. Az-Zahabi)
Abu Zur’ah  ar-Razi rahimahullah berkata: Hadis (Hammad) ini adalah hadis mungkar yang  diyakini tidak ada asalnya. (Lihat: العلل 2/351. Ibnu Abi Hatim  ar-Razi)
Hadis di atas ini juga dilemahkan oleh para ulama hadis.  Antaranya ialah: Ibnu Hajar al-Asqalani, Imam Ahmad dan Abu Hatim ar-Razi.  Berkata Ibnu Makula: Para ulama hadis telah melemahkan hadis-hadis Hammad.  (Lihat: تهذيب التهذيب oleh Ibnu Hajar. Lihat:العلل المتنهية 2/841. Ibnu  al-Jauzi)
Hadis  Ketiga:
(3). عَنْ عَبْدِ  اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ :  لاَ تَسْتُرُوْا الْجُدُرَ مَنْ نَظَرَ فِى كَتَابِ اَخِيْهِ بِغَيْرِ اِذْنِهِ  فَاِنَّمَا يَنْظُرُ فِى النَّارِ ، سَلُوْ اللهَ بِبُطُوْنِ اَكُفِّكُمْ وَلاَ  تَسْاَلُوْهُ بِظُهُوْرِهَا ، فَاِذَا فَرَغْتُمْ فَامْسَحُوْا بِهَا  وُجُوْهَكُمْ
(3). “Dari Abdullah bin Abbas radiallahu ‘anhu,  sesungguhnya Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Janganlah kamu  menutupi dinding-dinding (dengan kain), sesiapa melihat kitab saudaranya tanpa  izinnya, maka sesungguhnya dia telah melihat dalam neraka. Mintalah kepada Allah  dengan telapak-telapak tangan kamu dan janganlah meminta dengan belakangnya.  Jika kamu telah selesai berdoa, maka usaplah wajah kamu dengan telapak tangan  kamu”. (Hadis Riwayat Ibn Majah dan Abu Daud)
Menurut para ulama hadis,  hadis ini sangat lemah kerana mempunyai beberapa illah  (penyakit) iaitu :
Berkata Abul Hasan bin al-Qatthan dan Al-Hafiz Iban  Hajar:
“Perawi hadis ini (Abdul Malik bin Muhammad bin Aiman al-Hijazi)  هو مجهول “Dia tidak diketahui/tidak dikenali”. (Lihat: تقريب التهذيب - Ibnu  Hajar)
Berkata Abu Daud:
روي هذا الحديث  من غير وجه عن محمد بن كعب كلها واهية وهذا الطريق امثلها وهو ضعيف  ايضا
“Hadis ini telah diriwayatkan dari berbagai jalan dari  Muhammad bin Ka’ab, yang semuanya sangat lemah. Walaupun sanad ini adalah yang  terbaik, namun hadis ini juga adalah lemah”. (Lihat: مختصر سنن ابي داود  2/1432)
Dengan penjelasan di atas, ternyata bahawa hadis-hadis tentang  menyapu muka setelah selesai berdoa tidak ada yang sahih, oleh itu ia adalah  sesuatu yang bid’ah, kerana perbuatan tersebut tidak pernah dilakukan dan tidak  ada contohnya dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, para sahabat, para  tabi’in, tabi’ut at-tabi’in dan dari para ulama Salaf as-Soleh yang mengikut  jejak mereka.
PANDANGAN ULAMA DALAM  HAL INI (MENYAPU MUKA SETELAH BERDOA):
1 – AL-Mawarzi di  dalam kitab al-Witr (hal. 236) berkata, “Imam Malik bin anas al-Ashbahi  Rahimahullah (w. 179H) ditanya tentang seseorang yang mengusap mukanya dengan  kedua telapak tangannya ketika berdoa, ia mengingkari hal itu dan berkata, “Aku  tidak mengetahuinya.”
2 – Dari apa yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi  (2/212), “Aku bertanya kepada Abdullah (Imam Abdullah Bin al-Mubarak  Rahimahullah (w. 181H)/Ibnul Mubarak) berkenaan dengan orang yang jika berdoa  mengusap mukanya, ia berkata, “Aku tidak menyaksikannya melakukan hal itu.” Ia  berkata, “Abdullah berdoa qunut setelah ruku’ di dalam solat witr dengan  mengangkat kedua tangannya.”
3 – al-Baihaqi (w.458H), penulis kitab  al-Sunan al-Kubra, di dalam kitabnya (2/212) ia berkata, “Berkenaan masalah  mengusap muka dengan dua telapak tangan selepas selesai berdoa adalah sesuatu  yang tidak ku hafal dari walau seseorang salaf (generasi awal) dalam hal doa  qunut, sekalipun diriwayatkan dari sebahagian mereka hal itu dalam doa di luar  solat. 
Telah diriwayatkan dari Nabi s.a.w. sebuah hadis yang di dalamnya  terdapat kelemahan yang menurut sebahagian mereka hadis itu diamalkan di luar  solat, sedangkan di dalam solat hal itu adalah amalan yang tidak berlaku. Maka,  yang lebih utama adalah tidak melakukannya dan membatasi diri dengan mengamalkan  apa yang diamalkan oleh para salaf Rahimahullah berupa mengangkat kedua tangan  (ketika berdoa) tanpa mengusap muka di dalam solat.
4 – Imam al-Nawawi  Rahimahullah (w. 676H) turut tidak memandub-kan (menyarankan/mengharuskan)  mengusap muka setelah berdoa, sekalipun di luar solat, sebagaimana yang  disebutkannya di dalam kitab al-Majmu’. Hal itu disebutkan pula oleh Ibnu ‘Alan  di dalam kitab Syarh al-Adzkar (2/311).
Di dalam kitab ar-Raudhah  (1/255), beliau Rahimahullah berkata, “Aku telah katakan bahawa tidak mustahab  secara mutlak mengusap walau selain muka sama sekali, bahkanjama’ah dari  kalangan para ahli ilmu berpendapat bahawa hal itu makruh hukumnya.
Ini  adalah cabang dari salah satu aspek menurut kalangan pengikut syafi’i berkenaan  dengan mengusap muka setelah berdoa.
5 - Menurut Sheikh al-Islam Ibnu  Taimiyah Rahimahullah (w. 728H) menyatakan di dalam al-Fatawa (22/519), dalam  persoalan ini: “Berkenaan dengan Nabi s.a.w. mengangkat tangan ketika berdoa  telah ada sejumlah hadis sahih berkenaan dengannya, sedangkan berkenaan dengan  mengusap muka dengan kedua tangan, tidak ada hadis berkenaan dalam hal itu,  melainkan satu atau dua buah hadis sahaja yang tidak boleh dijadikan hujjah  dengan keduanya. 
6 – Al-Fairuz Abadi Rahimahullah (w.  817H) di dalam kitab Safar as-Sa’adah ia berkata, “Mengenai masalah mengusap  muka dengan dua telapak tangan setelah berdoa tidak ada hadis yang sahih  berkenaan dengannya.” Maka, beliau juga turut menyatakan bahawa hal menyapu muka  selepas berdoa adalah tidak disunnahkan.
7 – Ibnu ‘Alan ash-Shadiqi (w.  1057H), di dalam kitab syarh al-Adzkar (2/311) menyatakan bahawa, “Terdapat  faktor yang memperkuat aspek pertama dari mazhab syafi’i bahawa ia menjadikan  mustahab (disarankan) mengangkat tangan (ketika berdoa), dan tidak mengusap.
Wallahu a’lam.
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan