13.3.10

Syariat dan ajaran dari Rasulullah adalah kesinambungan daripada ajaran-ajaran para Rasul yang terdahulu


MEMBAHAS Persoalan mengenai kewujudan 'Vedic Period' atau 'Era Veda' yang dibangkitkan oleh non muslim. mereka menyatakan semua agama didunia ini berasal dari 'Vedic Period' termasuk Islam. Malah dia juga mendakwa bahawa 'Vedic Religion' was the original Religion from 'Lord Vishnu'.


Islam bukan agama baru yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Syariat dan ajaran dari Rasulullah sallallahu alaihi wassalam adalah kesinambungan daripada ajaran -ajaran para Rasul yang terdahulu.


Firman Allah SWT di dalam Surah Syura ayat 13 yang bermaksud :


" Dia telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu : Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Amat berat bagi orang-orang Musyrik untuk menerima agama yang kamu seru mereka kepadanya. Allah memberi hidayah ke arah agama itu sesiapa yang dikehendakkinya dan memberi petunjuk kepada ( agama) -Nya bagi orang yang kembali ( kepadaNya).


Berdasarkan ayat ini jelaslah bahawa agama Islam itu telah pun dibawa oleh para Rasul dan Anbiya` sebelum era kedatangan Nabi SAW. bahkan para ulamak berpendapat ketika era Nabi Nuh AS baginda menyeru kaumnya selama lebih kurang 900 tahun ke arah mentauhidkan Allah SWT. Inilah buktinya Islam itu bermula sebelum era kedatangan Nabi Muhammad SAW. Seperti yang anda maklum, di dalam kitab-kitab samawi ( walaupun pada hari ini kitab tersebut bukan lagi merupakan kitab asal menurut pandangan Islam) masih terkandung unsur-unsur penyeruan terhadap tauhid oleh nabi-nabi sebelum Rasulullah SAW. Contohnya di dalam perjanjian lama kitab ulangan 6:4 menyebut tentang seruan Musa kepada Bani Israel agar mentauhidkan Allah SWT.


Begitu juga di dalam perjanjian baru, Markus 12:29 mengandungi seruan Isa kepada kaumnya agar mentauhidkan Allah SWT. kemudian seruan terhadap tauhid ini disempurnakan penyeruannya oleh nabi terakhir iaitu Rasulullah SAW menerusi al-Quran 112:1-4.


Dakwaan eternaltruth kononnya kesemua agama berasal daripada "Vedic Period" adalah tidak berasaskan kepada keilmuan. Ini adalah kerana doktrin agama Islam adalah berbeza sama sekali dengan doktrin agama-agama lain.


Berkenaan bahasa yang digunakan oleh Nabi-nabi sebelum kedatangan Rasulullah SAW, antaranya ialah I`bri ( Hebrew). Nabi-nabi yang menggunakan bahasa ini (termasuk dialek-dialek contohnya: Aramaic, Wallahhua`lam) ialah nabi-nabi Bani Israel.


Adapun bahasa-bahasa yang digunakan oleh Nabi-nabi sebelum Nabi-nabi Bani Israel hanya Allah SWT yang mengetahui bahasa-bahasa mereka. Ini bertepatan dengan Firman Allah yang menyatakan sesungguhnya nabi-nabi diutuskan kepada kaum mereka dengan menggunakan bahasa mereka sendiri.


Sekiranya terdapat dakwaan bahawa Nabi Ibrahim AS juga berbangsa yahudi (dakwaan ini dibuat untuk mengangkat martabat bangsa yahudi) maka Allah SWT telah menolak dakwaan ini sebagaimana dalam FirmanNya dalam Surah Al-Imran ayat 67 yang bermaksud:

"Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan pula seorang Nasrani tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri ( Muslim) dan tidak sekali-kali Ibrahim itu tergolong dalam golongan orang-orang Musyrik.


Wallahua`lam

Tiada ulasan: