1.3.10

Melayu kah aku?


Melayu itu orang yang bijaksana Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan Bila mengampu bijak beralas tangan


Melayu itu berani jika bersalah Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut Selalu pecah di mulut
Biar mati adat Jangan mati anak Dalam sejarahnya


Melayu itu pengembara lautan Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan Sayangnya kini segala kehilangan


Melayu itu kaya falsafahnya Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba Berbuahlah pisang tiga kali


Melayu itu masih bermimpi Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak


Watak Melayu menolak permusuhan Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing


Maruah dan agama dihina jangan Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut


Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan: “Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan Anak di pangkuan mati kebuluran”


Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan Jika percaya kepada keadilan


Jadilah bangsa yang bijaksana Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya Menjadi tuan di negara Merdeka


- Usman Awang

Tiada ulasan: