18.12.09

Berlakunya syirik

Syirik ialah mempersekutukan sesuatu dengan Allah Taala pada sifat ‘Uluhiyah’ atau sifat ‘Rububiyyah’.

Uluhiyah Allah ialah sifat-Nya berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintah-Nya, dipohon untuk mendapat segala kebaikan dan menolak sebarang perkara yang tidak diingini.

Rububiyyah ialah sifat mentadbir dan mengasuh serta mendidik alam yang dicipta iaitu dengan mengadakan segala keperluan, mengatur undang-undang dan menyatakan hukum halal haram untuk kebaikan jasmani dan kebahagiaan rohani.

Sesiapa yang menganggap mana-mana satu daripada sifat itu ada pada yang lain daripada Allah nescaya melakukan syirik walaupun dia pada masa itu masih beriman kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Meskipun kebanyakan mereka beriman kepada Allah, dalam pada itu mereka tidak sunyi dari perbuatan syirik.” (Surah Yusuf, ayat 106).

Dengan itu, amat buruk seseorang yang mendewakan sebarang makhluk dengan mengasihinya dan menurut perintahnya sebagaimana dia mencintai Allah. Begitu juga meminta dan mengharapkan hasil sesuatu hajat daripada sesuatu makhluk atau dengan sesuatu cara selepas diketahui ia tidak dilarang Allah.

Demikian juga salah menerima sebarang peraturan atau hukum-hakam yang diadakan oleh yang lain daripada Allah, kecuali sekadar peraturan, kenyataan atau pengajaran yang dibawa oleh Rasulullah.

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah bersabda: “Jauhkan dan singkirkan perkara yang membinasakan.” Sahabat bertanya: “Apakah dia perkara itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “(Salah satu yang terbesar di antaranya) ialah melakukan syirik terhadap Allah.” (Hadis Bukhari dan Muslim).

Tiada ulasan: