18.12.09

Syirik antara sadar atau tidak

Syirik yang besar atau nyata ialah mempercayai ada sesuatu yang setara dan sebanding dengan Allah, yang ditujukan kepadanya doa permohonan, cara beribadat, dan ditakuti bala bencananya. Dengan syirik itu, akidah tauhid orang yang melakukannya berbelah bagi dan mereka adalah orang musyrik yang dijanjikan Allah dengan neraka.

Syirik yang kecil atau tersembunyi ialah kepercayaan, perkataan atau perbuatan yang menyebabkan berlakunya syirik terhadap kekuasaan atau undang-undang peraturan Allah.
Syirik tersembunyi ada banyak. Antaranya mempercayai sesuatu yang menjadi sebab dengan keadaan hakikatnya akan memberi kesan baik atau buruk.

Ini termasuk menaruh perasaan takut dan gerun kepada kekuatan sesuatu yang lain dari Allah, menumpukan harapan kepada sesuatu yang lain daripada Allah, bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada menyebut nama atau sifat Allah.

Begitu juga dengan mengatakan: “Kalaulah tidak kerana pertolongan Allah dan pertolongan si anu, tentulah aku tidak berjaya”, atau mengatakan: “Kalaulah tidak kerana ayam berkokok, polis meronda atau sebagainya, tentulah rumahku dimasuki pencuri”.

Lainnya ialah melakukan sesuatu ibadat atau daya usaha pengorbanan atau perjuangan bukan kerana menjunjung perintah Allah semata-mata, tetapi tujuan lain.

Nabi Muhammad menerangkan dalam beberapa hadis mengenai syirik yang tersembunyi.
Antaranya, daripada Mahmud Labid, katanya: “Rasulullah bersabda: ‘Sesungguhnya perkara yang sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang kecil.”

Sahabat bertanya: “Apa dia syirik kecil itu ya Rasulullah? ”Baginda menjawab: “(Syirik kecil itu) ialah riak. Allah Taala akan berfirman pada hari kiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing: “Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan riak di dunia dulu (untuk menunjukkan kepada mereka), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?” (Imam Ahmad).

Hadis lain, daripada Ibnu Umar, katanya: Rasulullah bersabda: “Sesiapa bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada nama atau sifat Allah, maka sesungguhnya dia melakukan syirik terhadap Allah.” (R. Tirmizi)

Daripada Ibnu Mas'ud, katanya: Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambatkan hati suami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik.” (Abu Daud dan Imam Ahmad)

Tiada ulasan: