6.12.09

Sebab-sebab Timbulnya Bidaah

Sebab-sebab Timbulnya Bidaah

Jahil
Bidaah amat mudah membiak dalam satu masyarakat yang jahil , pemimpin yang jahil dan ulama yang beku dan kaku . Masyarakat ada sebahagiannya yang gemar membicarakan masalah agama yang tidak difahaminya . Tindakan memperkatakan urusan-urusan agama tanpa ilmu adalah satu kesesatan dan menyesatkan orang .

Jahil dalam Bahasa Arab
Al-Quran , al-Hadis dan kitab-kitab yang muktabar adalah dalam bahasa Arab . Kejahilan dalam bahasa ini akan menyebabkan salah faham dan kesesatan .
Sebagai contohnya :
Allah berfirman :
و اعبد ربك حتى يأ تيك اليقين
Ertinya :
" Dan hendaklah kamu menyembah Tuhanmu sehingga datanglah keyakinan kepadamu ,"

Yang dimaksudkan dengan perkataan yakin di situ ialah mati , tetapi kerana kejahilan bahasa Arab , yakin disini dimaksudkan dengan keyakinan . Ayat itu diertikan sebagai : "Hendaklah kamu berabdi kepada Allah sehinggalah datang kepadamu keyakinan " , maka apabila sudah ada keyakinan tidaklah lagi wajib berabdi kepada Allah . Akhirnya tidak berzakat, tidak bersolat dan tidak menunaikan fardhu haji kerana mereka beralasan telah sampai ke martabat yakin .
Jahil Sunnah
Maksudnya ialah kejahilan tentang martabat hadis sama ada shahih , hassan, dhaif dan maudhu'. Hadis-hadis yang terlalu dhaif seperti hadis mungkar , matruk , batil dan maudhu'sama sekali tidak boleh digunakan . Sebagai contoh , bagi menggalakkan umat supaya mengadakan perayaan maulid Nabi SAW maka hadis ini digunakan :
من عظم مو لدى كنت شفيعا له يوم القيا مه
Ertinya :
"Barangsiapa yang membesarkan hari kelahirannku , maka akulah pemberi syafaat kepadanya pada hari qiamat ."
Jahil Konsep Ibadat
Sebahagian masyarakat Melayu hanya memahami bahawa ibadat itu hanyalah terbatas kepada ibadat-ibadat yang khusus sahaja seperti solat wajib atau sunat , puasa wajb atau sunat , zakat , haji , umrah , sedekah , wakaf , zikir , tahlil , takbir , tasbih , tahmid , istighfar , membaca al-Quran dan sebagainya . Apa yang mereka faham ialah perkara yang selain daripada itu , tidak termasuk ibadat . Akhirnya mereka merasakan bahawa ruang lingkup ibadat menjadi sempit walaupun mereka telah melakukan semua ibadat khusus tersebut . Justeru itu , mereka mencari amalan-amalan lain dengan membaca sesetengah kitab yang diajar oleh sesetengah guru seperti solat khas pada malam-malam tertentu dan puasa khas pada hari-hari tertentu .
Mengikut Hawa Nafsu
Oleh kerana mengikut hawa nafsu , masyarakat Melayu sanggup melakukan penyelewengan . Nafsulah yang mengajak orang ingin menjaga kemasyhuran , menjaga kepentingan diri , keluarga , suku dan ingin dipuji . Nafsu jugalah yang menyebabkan timbulnya puak-puak sesat . Mereka sanggup mengada-ada , membuat alasan dan dolak dalik yang keluar dari dasar dan roh Islam yang sebenarnya .
Allah berfirman di dalam al-Quran :
ان النفس لا مارة بالسوء الامارحم ربى

Ertinya :
" Sesungguhnya nafsu itu menyuruh berbuat jahat kecuali nafsu yang dirahmati oleh Tuhanku ."

Taqlid Buta Kepada Guru
Manusia selain Rasul , walaupun betapa tinggi martabat keilmuannya dan kesolehannya tidak terlepas daripada kesilapan dan kesalahan . Sikap bertaqlid buta akan menyebabkan matinya roh ijtihad . Apabila berlakunya pertembungan antara fatwa guru dengan al-Quran dan al-Sunnah , fatwa gurulah yang diutamakan kerana guru dianggap serba tahu , keramat dan maksum . Jika dikaji , tidak ada imam-imam mujtahidin yang mewajibkan orang bermazhab kepada mereka . Sikap bertaqlid buta kepada guru-guru dan kitab-kitab tertentu adalah menjadi penyakit kepada umat dan menjadi punca lahirnya bidaah .

Memperdaya Umat Islam
Sebahagian kaum Syiah dan sebahagian kaum Sufi mencipta bidaah dengan tujuan menghancurkan Islam dan menyesatkan kaum muslimin . Di dalam ilmu Tasauf , ada satu ajaran mengenai kasyaf . Kasyaf ialah sumber pengetahuan dalam ilmu tasawuf yang sama kedudukannya seperti akal dalam Ilmu Tauhid . Dengan kasyaf , orang boleh merombak sesuatu hukum yang telah ada atau mengadakan sesuatu cara ibadat yang belum atau tidak disyariatkan melalui lidah para rasul . Tidak hairanlah jika Agama Kristian di dunia sekarang ini ialah dari ajaran Paulus . Pengikutnya yakin bahawa beliau mendapat kasyaf berjumpa dengan Nabi Isa a.s sedangkan Nabi Isa sudah diangkat .

Menurut tafsiran kitab Tafsir al-Azhar , juzu' II , halaman 287 – 288 :
"Yang sangat merosak agama pula ialah yang ditimbulkan oleh golongan tasawwuf yang semacam itu ialah tentang adanya kasyaf . Kasyaf ertinya pembukaan rahsia yang tersembunyi . Menurut mereka , seseorang yang telah mencapai martabat wali itu boleh diberi Allah kelebihan dengan dikasyafkan kepadanya oleh Allah rahsia-rahsia yang tersembunyi , yang ghaib . Kadang-kadang mereka mengubah hukum agama yang tertulis di dalam al-Quran dan Hadis sebab tuan Syaikh telah mendapat kasyaf dari Allah baik di dalam suatu mimpi atau suatu ilham supaya dikerjakan begini atau begitu , yang tidak ada dari pokok syariat dari al-Quran dan Hadis itu ."

wallaualam..........

Tiada ulasan: