18.12.09

Elak Lakukan Syirik Tersembunyi

Elak Lakukan Syirik Tersembunyi

ISLAM adalah agama tauhid, yakni agama yang berasaskan iman kepada keesaan Allah Yang Maha Kuasa. Ukuran sempurna atau tidak Islam seseorang bergantung kepada kesempurnaan tauhid mereka.

Tauhid yang sempurna meresap ke dalam hati nurani dan melahirkan kesan kepada seluruh tingkah laku serta kehidupan. Ia memberi kesedaran untuk sentiasa berwaspada terhadap godaan syaitan dalam setiap amalan supaya tidak diselewengkan kepada yang lain daripada Allah.

Boleh dikatakan sebahagian besar orang yang mengaku beriman dan mengakui Allah mencipta mereka tetapi tauhid mereka tidak penuh kepada Allah kerana ketika mengerjakan ibadat, hati tidak bersih kepada Allah semata-mata.

Ada yang menumpukan taat setianya kepada Allah dengan menjalankan hukum syariat-Nya tetapi serentak itu, mengubah hukum syarak dengan menokok tambah atau menguranginya menurut hawa nafsu.

Perbuatan itu adalah syirik.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Marilah supaya aku bacakan apa yang diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Dia sesuatu pun ...' (Surah Al-An’am ayat 151).

Dalam surah lain Allah berfirman yang bermaksud: “... Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka ...” (Surah Al-Maidah, ayat 72).

Ayat lain bermaksud: “... Dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah, maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar rombongan burung (sehingga ia hancur berkecai), atau dihumbankan angin ke tempat yang jauh (yang membinasakannya).” (Surah Al-Hajj, ayat 31).

Maksud ayat dalam surah di atas ialah Allah mengharamkan manusia melakukan sebarang rupa syirik, sama ada yang nyata atau tersembunyi. Ayat itu turut menyatakan balasan buruk kepada orang yang melakukan syirik dan menggambarkan dahsyatnya keadaan serta balasan mereka.

Daripada Abdullah Mas'ud, katanya : Rasulullah bersabda: “Sesiapa mati dalam keadaan melakukan sebarang syirik terhadap Alah, masuklah dia ke dalam neraka.” (Hadis Bukhari dan Muslim).

Tiada ulasan: