2.1.10

Hadis pilihan

Galakan Mengerjakan Ibadat Sunat
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Junjunganku (Nabi Muhammad SAW) telah berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan, mengerjakan dua rakaat sembahyang dhuha dan juga supaya aku mengerjakan sembahyang witir sebelum aku tidur.”

(Bukhari & Muslim)

Huraian
1. Jalan untuk mencapai tahap ihsan ialah dengan melalui proses menunaikan segala perkara yang difardhu atau diwajibkan. Lebih tinggi daripada itu ialah dengan melakukan amalan-amalan yang membawa taqarrub kepada Allah SWT iaitu amalam-amalan an-Nawafil (sunat).
2. Maka untuk melakukan amalan-amalan tersebut memerlukan jihad, kemampuan serta kerelaan hati, kesungguhan yang berterusan dan memusatkan segala kepentingan kepada Allah SWT semata-mata.
3. Antara amalan sunat yang digalakkan oleh Rasulullah SAW ialah seperti:
i. Sembahyang sunat Dhuha- iaitu sembahyang yang dikerjakan dengan sekurang-kurangnya dua rakaat dan afdhalnya ialah lapan rakaat. Masuk waktunya pula ialah apabila matahari meninggi kadar segalah
ii. Berpuasa sunat terutamanya tiga hari dalam sebulan iaitu di hari-hari putih (13, 14 dan 15 haribulan dari bulan Qamariah).
iii. Sembahyang witir iaitu sembahyang sunat yang paling utama setelah sembahyang wajib. Waktunya bermula selepas sembahyang Isyak hinggalah terbit fajar. Paling sedikit bilangan rakaatnya ialah 1 rakaat dan paling banyak ialah 11 rakaat. Ia dinamakan sembahyang Witir kerana ia dikerjakan dengan bilangan rakaat yang ganjil.
4. Dalam mengerjakan ibadat janganlah kita hanya mementingkan kuantiti amalan yang dilakukan tanpa memikirkan kualitinya kerana tiada gunanya amalan yang banyak sedangkan ianya tidak diterima oleh Allah SWT. Hal ini mungkin disebabkan ibadat tersebut dikerjakan tanpa khusyuk atau kerana timbulnya perasaan riya' dan ujub yang membinasakan pahala.

Tiada ulasan: