Perkataan khurafat ini berasal dari bahasa arab : kharafa-yakhrifu-kharfan khurafatan. Dari pandangan bahasa Inggerisnya merujuk kepada "superstition". Dari segi bahasa khurafat didefinisikan sebagai sebaris kata yang membawa erti kepercayaan yang karut, dongeng dan tahyul.
Ramai di antara umat Islam terlepas pandang atau tidak mengambil berat akan perkara ini, namun hakikatnya gejala ini telah menular di dalam agama Islam dalam pelbagai sudut, aspek dan bentuk sehingga ia telah meliputi konsep ibadah dan kehidupan masyarakat Islam sendiri.
BERTAPAKNYA AMALAN KHURAFAT
Lipatan sejarah telah memaparkan bahawa manusia yang menduduki rantau ini memulakan keagamaan mereka dengan fahaman dinaisme - animisme. Fahaman dinamisme ialah satu faham yang merujuk suatu kepercayaan yang meyakini adanya tenaga atau kuasa ghaib yang tidak berperibadi pada tumbuh tumbuhan, benda-benda, haiwan ataupun manusia sendiri. Contohnya ia pretasi luar biasa yang dimilik seperti pokok yang lebih besar atau banyak buahnya dipercayai mempunyai kuasa yang lebih banyak daripada lainnya.
Manakala fahaman animisme pula merupakan kepercayaan akan adanya jiwa dan roh yang dapat mempengaruhi kepercayan akan kewujudan jiwa dan roh yang dapat mempengaruhi alam manusia. Seperti yang dapat kita lihat, animisme biasanya akan menonjolkan sesuatu praktis seperti pemujaan dan perhambaan diri kepada sesuatu kuasa ghaib yang berperibadi, dengan mengharapkan perlindungan atau pertolongan bagi daripada kuasa tersebut di mana pertolongan makhluk halus berkenaan sebenarnya adalah jin.
Pengaruh Hinduisme – Buddhaisme
Sebelum kedatangan Islam, Hinduisme dan Buddhaisme telah terlebih dahulu tersebar di rantau ini. Disebabkan kedua-dua agama ini membawa unsur dinaisme dan anamisme yang tersendiri maka ini telah menyuburkankan lagi fahaman anisme dalam kalangan masyarakat.
Kedatangan Islam
Walaupun Islam agama yang cukup ketat dan tegas amalan tauhidnya, namun cara dan pendekatan yang digunakan oleh mubaligh dari arab dalam proses penyebaran agama tauhid ini ialah dalam bentuk penuh toleransi, At-tadarruj atau beransur-ansur dan tidak mengubah, bahkan menyesuaikan sebahagian. Hal ini bagi memudahkan masyarakat untuk menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Dengan itu terwarislah elemen-elemen fahaman animisme dan Hindu-Buddha yang terdapat di dalam adat masyarakat kita lantas bercampur-aduk dengan ajaran Islam sehingga ke hari ini dan tidak dihapuskan. Contohnya persembahan dan jamuan kepada roh diubah kepada kenduri tahlil dan makan bersama, adat membakar kemenyan dan becaan mentera kepada roh-roh selepas mati diubah kepada upacara tahlil serta dia dengan nada yang panjang dan sedih.
Pengekalan tradisi campur-aduk seumpama inilah yang menjadikan ajaran Islam yang dihayati dan diamalkan oleh sebahagian umat Islam di seluruh dunia, termasuk di negara kita, menjadi tercemar dan tidak murni. Perlu diingatkan bahawa satu sikap yang amat terlarang menurut hukum Islam ialah sikap meminta-minta pelbagai jenis hajat daripada makhluk jin walaupun yang diseru itu datangnya daripada golongan jin Islam yang sahih.
Perkara ini dilihat sebagai bermasalah dari segi pandangan Islam yang murni kerana ia memesongkan akidah yang menyeru pemusatan kepada Allah s.w.t. Lebih-lebih lagi jika makhluk tersebut dari golongan jin kafir.
Firman Allah :
"Dan bahawa sesungguhnya adalah ( amat salah perbuatan ) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat."
( Surah Al-Jin : Ayat 6 )
AMALAN KHURAFAT MASIH BERTERUSAN
Dalam kalangan masyarakat sekarang, terdapat banyak gejala khurafat, ia adalah hasil budaya orang kita yang terlalu percayakan hal-hal yang bawa oleh orang terdahulu daripada mereka tanpa merujuknnya secara mendalam di dalam Al-Quran dan As-Sunnah serta para alim ulama kerana iman yang kurang mantap termasuk sikap masyarakat yang inginkan jalan mudah dalam mencari kesenangan dan kebahagiaan hidup serta sikap orang kita yang amat kuat berpegang kepada adat. Buktinya peribahasa yang berbunyi “Biar mati anak, jangan mati adat.”
Gejala khurafat ini terdidik dari kecil, contohnya di dalam budaya masyarakat kita adalah menjadi kebiasaan kanak-kanak sering ditakutkan dengan hantu pada malam jumaat sedangkan pada malam tersebut Allah s.w.t menurunkan rahmat untuk semua hamba-Nya pada malam tersebut. Bahkan ada lagi satu situasi di mana kanak-kanak takutkan dengan hantu apabila tidak mendengar ibu bapa, kenapa sahaja tidak katakan kepada anak tersebut bahawa Tuhan akan marah? Rasanya itu lebih baik dan akan memupuk semangat takut akan Maha Pencipta.
Walau bagaimanpun khurafat juga boleh berlaku secara tidak sengaja oleh pelakunya atau sebaliknya. Hal ini boleh berlaku terhadap sesuatu individu, kelompok dan istitusi masyarkat masa kini kerana lemahnya mereka yang bersangkutan untuk menolak godaan khurafat atau ada maksud-maksud tertentu. Mungkin tanggungjawab terhadap Allah s.w.t jauh lebih berat dan besar dibandingkan dengan pelanggaranpelanggaran lainya yang dilakukan dengan sengaja.
Khurafat secara tidak sengaja lazimnya berlaku disebabkan oleh kejahilan pelakunya bahawa hal berkenaan tidak dibenarkan oleh Islam dan terpesong dari landasan yang benar. Namun, bagi mereka yang melakukan perbuatan khurafat ini dengan sengaja ataupun tidak, pintu taubat masih terbuka untuk mereka asalkan mereka mahu bertaubat.
BENTUK KHURAFAT
Khurafat masih wujud di dalam masyarkat Islam sekarang, bahkan ia juga telah muncul dalam bentuk-bentuk yang berbagai-bagai samada dalam bentuk perbuatan tertentu, ungkapan tertentu, cerita atau kisah tertentu, bilangan tertentu, serta konsep, prinsip atau mazhab tertentu. Amalan mengunjungi kubur yang dianggap keramat mempercayai binatang seperti burung boleh membawa tuah atau sial membuang ancak bagi menghalau hantu adalah sebahagian bentuk gejala khurafat.
SMS Atau Surat Berantai
Tercetus daripada kemajuaan teknologi yang dikecapi oleh masyarakat masa kini. Mungkin ramai dalam kalangan kita yang tidak perasan, terlepas pandang dan tidak mengambil berat perkara ini bahawa bentuk amalan ini mempunyai unsur-unsur khurafat yang amat halus.
Jika kita selidiki setiap surat berantai atau SMS berantai pastinya dimulakan dengan cerita-cerita yang menginsafkan dan mengingatkan kembali seseorang akan tuntutan Islam namun sebaliknya pula di akhir helaian atau pun SMS. Contoh pengakhiran suatu SMS atau surat berantai lebih kurang begini :
“Barang siapa yang tidak menyebarkan SMS kepada sepuluh orang ini atau mengabaikannya, maka dia akan ditimpah kesusahan selama tujuh hari. Manakala siapa yang mereka menyebarkannya pasti ada akan dilimpahi kesenangan daripada Allah s.w.t selama tujuh minggu.”
Justeru, orang yang menerima SMS atau surat tersebut pun terpedaya dan menyebarkannnya kepada sepuluh orang kerana takut dengan kesusahan yang diperkatakan itu sama ada secara terpaksa atau tidak. Namun itu bukanlah persoalannya utamanya, persoalannya di sini mereka
yang mempercayai perkara ini telah dipesongkan akidahnya. Sama ada percaya atau tidak, mereka yang termakan dengan ayat seperti di atas sebenar telah meletakkan kekuasaan untuk menentukan takdir hidup mereka pada SMS atau helaian berkenaan bukannya Allah s.w.t. Susunan ayat seperti di atas telah mengalihkan keyakinan mereka daripada Maha Pencipta secara halus. Kemungkinan gejala terbaru ini adalah sebahagian rancangan musuh-musuh Islam tidak boleh diambil ringan.
AKIBAT MEMPERCAYAI ATAU MENGAMALKAN PERBUATAN KHURAFAT
Gejala khurafat boleh menyeleweng akidah seorang invidu muslim dengan mengalihkan pergantungan manusia daripada Khalik (Pencipta/Allah) kepada makhluk (yang dicipta). Hal ini ditegaskan boleh menjatuhkan kepada seorang individu muslim kepada syirik kerana apabila kita merujuk kepada Al-Quran terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan kepada Allah s.w.t dan menolak kepercayaan terhadap yang selainnya sama ada bagi mendapat kebaikan atau menolak keburukan. Yang memberikan kenikmatan dan keyakinan hanya Allah s.w.t. kepada- Nya seluruh makhluk bergantung.
Firman Allah :
“Katakanlah apakah kamu tidak melihat kepada apa yang kamu memohon kepadanya selain daripada Allah bahawa jika sekiranya Allah mengkehnedaki ke atas kamu sesuatu kemudaratan adakah mereka itu boleh menghindari dari kemudaratan itu. Atau jika Allah mengkehendaki sesuatu rahmat itu dianugerahkan kepada ku adakah mereka itu boleh menahan rahmat itu. Katakanlah adalah memadai Allah itu bagiku untuk segala-galanya. Kepada-Nya bertawakkal semua orang yang bertawakal.”
( Surah Al-Zumar : Ayat 38 )
Khurafat boleh membatalkan iman seorang muslim dan menggugurkan syahadah yang telah diucapkannya disamping membazir masa, tenaga dan harta dengan perkara sia-sia serta menyekat akal berfikir secara logik dan sistematik disamping boleh menjatuhkan seorang muslim kepada syirik.
Hadis Nabi :
“Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara dalam agama kami, yang tidak termasuk dalam ajaran Islam yang suci, maka apa yang diamalkan itu tertolak (tidak diterima amalan berkenaan oleh Allah dan tidak diberikan pahala)”
( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )
Masyarakat yang mengamalkan amalan khurafat akan mengalami banyak krisis kemunduran terutama sekali amalan akhlak. Situasi ini boleh kita lihat apabila merenung bagaimana keadaan masyarakat jahiliah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Pelbagai perkara telah disempitkan oleh gejala khurafat. Fikiran pun kolot. Oleh yang demikian tidak beruntunglah sesuatu bangsa suatu umat selagi mana amalan khurafat ini masih bertapak di dalam kelompok mereka walaupun mereka dapat mengecapi nikmat dunia.
KESIMPULAN
Pada hari ini usaha untuk membendung amalan khurafat merupakan suatu usaha yang mencabar. Memang benar masyarakat kita pada hari ini sudah lebih matang berbanding dulu, tapi lebih kepada hal keduniaan, kalau tidak masakan gejala maksiat boleh berleluasa.
Usaha-usaha untuk membasmi dan membanteras gejala khurafat boleh dilakukan melalui kerjasama di antara masyarakat dengan majlis agama bagi menangani semua perkara yang boleh menggugat keteguhan akidah umat Islam.
Diantara langkah yang perlu diambil ialah menanamkan keyakinan kepada masyarakat kita agar tidak mudah mempercayai benda-benda tahyul, mendalami ilmu agama dan jangan mudah terpengaruh dengan kelebihan seseorang atau sesuatu benda
Manakala jalan penyelesiannya ialah setiap umat Islam hendaklah mendalami ilmu agama sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis nabi S.A.W yang bermaksud : " Aku telah tinggalkan kamu 2 perkara selama mana kamu berpegang teguh dengannya, tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan sunnahku"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan