Takrif Solat
Solat dari segi bahasa ertinya doa.
Dari segi syarak pula ia bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat yang tertentu.
Firman Allah swt:
“Dan dirikanlah olehmu solat, kerana sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar”
(Al Ankabut: 45).
Solat fardhu yang wajib didirikan ialah solat lima waktu sehari semalam, iaitu
subuh, zuhur, asar, maghrib dan isya’.
Solat dari segi bahasa ertinya doa.
Dari segi syarak pula ia bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat yang tertentu.
Firman Allah swt:
“Dan dirikanlah olehmu solat, kerana sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar”
(Al Ankabut: 45).
Solat fardhu yang wajib didirikan ialah solat lima waktu sehari semalam, iaitu
subuh, zuhur, asar, maghrib dan isya’.
Waktu-waktu Solat Fardhu
Waktu-waktu yang telah ditetapkan untuk menunaikan solat ialah seperti berikut:
Solat Subuh
bermula daripada fajar menyinsing hinggalah terbit matahari. Masa yang diperuntukkan kira-kira 2 jam.
Solat Zuhur
bermula selepas matahari mulai condong daripada puncaknya sehingga bayang melebihi separuh panjangnya.
Solat Asar
bermula selepas berakhirnya waktu solat Zuhur sehinggalah matahari terbenam.
Solat Maghrib
bermula selepas matahari terbenam sehingga hilang mega merah di ufuk barat.
Solat Isya’
bermula selepas mega merah di ufuk timur hilang dan berterusan sehingga terbit fajar pada hari keesokannya
Waktu-waktu yang dimakruhkan solat tanpa sebab
Selepas solat subuh sehingga naik matahari.
Ketika naik matahari sehingga sekadar segalah.
Ketika matahari di tengah-tengah langit.
Selepas solat asar sehingga masuk matahari atau matahari terbenam.
Ketika masuk matahari.
Syarat wajib solat
1. Islam, 2. Baligh 3. Berakal
4. Suci daripada haid dan nifas bagi perempuan
Syarat sah solat
1. Suci badan dari dua hadas besar dan kecil.
2. Suci dari najis sama ada di badannya, di tempat solatnya, dan di pakaiannya.
3. Menutup aurat.
4. Menghadap qiblat (kecuali yang uzur dan tidak terdaya)
5. Yakin masuk waktu solat.
(nota: sekiranya sesudah tamat solat, lalu disedari perkara yang tersebut di atas terjadi - misalnya didapati ada najis di sejadah - maka perlulah diulangi solat itu kerana ia tidak menepati syarat sah solat)
Rukun Solat
Rukun solat ada 13:
1. Niat.
2. Takbiratul Ihram (Allahu Akhbar yang pertama).
3. Berdiri bagi yang mampu.
4. Membaca surah Al-fatihah.
5. Rukuk dengan tama'ninah (tama'ninah: tenang dan tertib, tidak terburu-buru).
6. Iktidal dengan tama'ninah.
7. Sujud dua kali, dengan tama'ninah.
8. Duduk di antara dua sujud, dengan tama'ninah.
9. Tasyahhud Akhir dengan membaca bacaan Tasyahhud.
10. Duduk dalam Tasyahhud akhir.
11. Selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam Tasyahhud Akhir.
12. Membaca salam.
13. Tertib.
Perkara Yang Membatalkan Solat
Solat seseorang boleh terbatal dengan salah satu daripada perkara-perkara berikut:
1- Terbatal toharah dengan kedatangan hadas semasa bersembahyang, samada hadas besar atau kecil, sekalipun tanpa sengaja.
2- Terkena najis yang tidak dimaafkan pada badan atau pakaian atau tempat sembahyang, kecuali segera dibuangkan.
3- Sengaja bercakap walau hanya dengan dua huruf atau satu huruf yang memberikan kefahaman.
4- Melakukan perbuatan (bukan sembahyang) yang banyak dan berturutan seperti menghayunkan tangan tiga kali, melangkah tiga langkah, melompat dan sebagainya. Perbuatan kecil yang berturutan tidaklah membatalkan sembahyang, seperti menggaru gatal dengan satu anak jari sahaja.
5- Ketawa.
6- Hilang akal
7- Meninggalkan menghadap kiblat, seperti berpusing atau berpaling dada dalam sembahyang.
8- Terbuka aurat dengan sengaja. Kalaulah ditiup oleh angin, lalu terbuka auratnya dan ditutup dengan segera, tidaklah batal sembahyangnya.
9- Meneruskan satu rukun daripada rukun-rukun sembahyang atau berlalu masa yang membolehkan dia melakukan satu rukun sembahyang, sedangkan dia dalam keadaan syak tentang niatnya (adakah berniat atau tidak?), atau tentang syarat sah sembahyang (adakah sudah berwuduhuk atau belum?) atau tentang kaifiat niat (seperti adakah sembahyang zuhur yang aku niatkan atau asar?).
10- Menukar niat sembahyang kepada sembahyang yang lain. Tetapi jika dia menukarkan niat sembahyang fardhu kepada sunat mutlak untuk sembahyang fardhu secara berjemaah, sedangkan dia sembahyang bersendirian, maka ia tidaklah membatalkan sembahyang, bahkan ia disunatkan. Tetapi jika sembahyang fardhu yang dia sedang bersembahyang hanya tinggal satu rakaat sahaja lagi, maka ia tidak disunatkan menukar niat kepada sunat mutlak, cuma ia diharuskan sahaja.
11- Niat atau azam untuk memutuskan sembahyang.
12- Ragu-ragu samada ingin meneruskan sembahyang atau tidak.
13- Mengikat untuk memutuskan sembahyang dengan sesuatu, seperti kalau telefon berdering, aku akan batalkan sembahyang dan menjawab telefon.
14- Meninggalkan dengan sengaja mana-mana rukun sembahyang, sekalipun rukun qauli,
kerana ia menghilangkan peraturan sembahyang. Tetapi kalau ditinggalakn dengan terlupa, tidaklah batal, bahkan hendaklah dilakukannya.
15- Mengulangi dengan sengaja mana-mana rukun fi’li (rukun perbuatan).
16- Mendahulukan dengan sengaja satu rukun fi’li (perbuatan) di atas rukun fi’li yang lain, kerana ia menghilangkan tertib sembahyang.
17- Mengikut imam orang yang tidak boleh menjadi imam seperti si kafir atau lelaki mengikut perempuan.
18- Terlalu memanjangkan rukun pendek, seperti memanjangkan iktidal melebihi kadar bacaan surah al-Fatihah, atau memanjangkan duduk antara dua sujud melebihi kadar bacaan tasyahhud (tahiyyat).
19- Makmum mendahului imam dengan dua rukun fi’li (perbuatan).
20- Makmum terlewat dua rukun fi’li (perbuatan) daripada imam tanpa keuzuran.
21- Sengaja turun untuk duduk tahiyyat awal setelah tertinggal (terlupa) dan sudahpun qiam untuk rakaat ketiga.
22- Mengulangi takbiratul ihram untuk kali kedua dengan niat memulakan sembahyang
23. Murtad
Perkara-perkara makruh semasa solat
Berpaling ke kiri atau ke kanan (kecuali ketika Salam).
Memandang ke atas (mendongak).
Berdiri menggunakan sebelah kaki sahaja.
Berludah ke hadapan atau ke belah kanan.
Berlebih-lebihan membongkok dan menundukkan kepala ketika rukuk.
Bercekak pinggang.
Menyinsingkan kain atau baju.
Bersembahyang ketika hadir makanan (makanan dihidangkan).
Bersembahyang ketika berasa hendak qadha' hajat (membuang air).
Ada juga yang mengatakan adalalah makruh ketika solat sambil menutup mata.
Perkara-perkara sunat semasa solat
1. Sunat Hai'ah
2. Sunat Ab'adh
Sunat Hai’ah ada 15 perkara:
1. Mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram, ketika rukuk, ketika iktidal dan ketika bangun pada rakaat kedua. (nota: bangun darirakaat pertama dan ketiga tidak diperlukan mengangkat tangan).
2. Meletakkan perut tangan kanan di atas tangan kiri dan memegangnya dan meletakkannya di bawah dada atau di atas pusat.
3. Membaca doa tawujud/iftitah. Doa iftitah ialah:
“Allah Maha Besar sebesar-besarnya. Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya. Dan Maha Suci Allah siang dan malam. Kuhadapkan mukaku, kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah, dan bukanlah aku dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku kuserahkan hanya kepada Allah seru sekalian alam. Sekali-kali tidaklah aku menyekutukan-Nya. Dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Islam.”
4. Membaca A’uzubillah.
5. Membaca Al-fatihah dan surah dengan suara yang kuat ( jahar ) pada masa-masa yang ditentukan.
6. Membaca amin selepas fatihah.
7. Membaca surah al-Quran di rakaat pertama dan kedua selepas bacaan al-Fatihah.
8. Membaca tasbih ketika rukuk.
9. Membaca tasbih ketika rukuk.
10. Membaca tasbih ketika sujud.
11. Membaca tasbih ketika bangkit dari rukuk.
12. Meletakkan kedua tangan di atas peha dengan melepaskan jari kesemuanya.
13. Duduk iftirasy pada semua duduk iaitu duduk di atas buku lali kaki kiri.
14.Salam yang kedua.
Sunat Ab’adh ada 7 perkara:
1. Tahiyat awal.
Doa tahiyat awal ialah:
“Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.”
2. Selawat didalam Tahiyat awal.
3. Duduk Tahiyat.
4. Doa qunut waktu subuh dan pada solat witir.
Doa qunut ialah:
“Ya Allah, tunjukkanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau tunjukkan.
Sejahterakanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau sejahterakan.
Pimpinlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau pimpinkan.
Berkatlah hendaknya untuk apa-apa yang telah Engkau berikan kepadaku. Jauhkan aku dari segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.
Sesungguhnya hanya Engkau sajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.
Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperoleh pimpinanMu.
Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi, telah memberi berkat Engkau, oh Tuhan, dan Maha Tinggi Engkau. Maka hanya untuk Engkau tetapkan.
Aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dirahmati Allah jugalah kiranya Muhammad, Nabi yang buta-huruf, dan keluarganya dan sahabat-sahabatnya, dan diberiNya kesejahteraan”.
5. Selawat di dalam qunut.
6. Berdiri semasa qunut.
7. Membaca selawat Nabi
Sekiranya tertinggal sunat Ab’adh, maka disunatkan ia sujud sahwi; manakala tertinggal sunat hai’ah tidak diperlukan sujud sahwi.
PENGAGIHAN RUKUN SOLAT
1. Rukun qalbi
(ﻗﻠﺒﻲ - iaitu berasal daripada perkataan ﻗﻠﺐ - qalb bermaksud hati)
adalah rukun yang berasaskan kepada hati.
2. Rukun fi'li
(ﻓﻌﻠﻲ - iaitu berasal daripada perkataan ﻓﻌﻞ - fi'l bermaksud perlakuan)
adalah rukun yang berasaskan kepada perbuatan anggota badan. Pergerakan anggota badan atau tindakan tubuh itu memerihalkan rukun tersebut.
3. Rukun qauli
(ﻗﻮﻟﻲ - iaitu berasal daripada perkataan ﻗﻮﻝ - qaul bermaksud kata-kata)
adalah rukun yang berasaskan kepada sebutan dan bacaan.
Pengagihan rukun solat mengikut rukun qalbi, qauli dan fe'li
Jumlah pengagihan rukun :
Rukun Qalbi = 2
Rukun Fe’li = 6
Rukun Qauli = 5
1. Niat - rukun Qalbi
2. Berdiri Betul (sekiranya mampu) - rukun Fi'li
3. Takbiratul Ihram (+ niat dalam hati) - rukun Qauli
4. Membaca Al-Fatihah - rukun Qauli
5. Rukuk(+ Tama'ninah) - rukun Fi'li
6. I'tidal (+ Tama'ninah) - rukun Fi'li
7. Sujud(+ Tama'ninah) - rukun Fi'li
8. Duduk antara dua sujud - rukun Fi'li
9. Bacaan tahiyat Akhir - rukun Qauli
10. Duduk tahiyat akhir - rukun Fi'li
11. Selawat ke atas nabi dalam tahiyat akhir - rukun Qauli
12. Lafaz salam yang pertama - rukun Qauli
13. Tertib - rukun Qalbi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan