SOLAT SUNAT DHUHA
Menurut Imam Syafie dan Imam ahmad hukum solat sunat dhuha adalah sunat muakkad iaitu solat sunat yang dituntut. 3 solat yang Rasulullah tak pernah tinggal daripada melakukannya ialah solat dhuha, solat tahajjud dan solat sunat sebelum subuh
Ruang waktu dan waktu afdal
Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu batang lembing yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami bahawa batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang.
Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).
Justeru, waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat tersebut, apatah lagi pada saat itu badan memerlukan ‘rehat sebentar’ setelah penat bekerja. Maka disarankan juga sekiranya masa tersebut diisi sekadar empat hingga lima minit dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah atau di tempat kerja dengan syarat tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.
Cara melaksanakannya
Banyak bahan media cetak yang boleh dirujuk bagi mengetahui cara melakukan solat sunat Dhuha ini merangkumi bacaan-bacaan dalam solat hinggalah dalam sujud dan doa setelah selesai ibadat tersebut.
Cuma secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, solat sunat Dhuha ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang dianjurkan Baginda s.a.w. selepas al-Fatihah, menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)
Namun begitu, perkara (bacaan dalam solat) ini adalah sesuatu yang subjektif dan tidak statik. Maka tidak perlulah hanya terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat tersebutdiniatkan dengan betul, syarat-syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya. Begitu jugalah dengan doa selepas solat tersebut.
FADILAT DHUHA
Banyak hadis-hadis yang mengalakkan solat Dhuha dan menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat katanya:
2. Selain itu, solat ini juga adalah tanda kesyukuran seorang hamba yang dikurniakan lengkap sendi tulangnya sebanyak 360 batang pada setiap pagi yang dilaluinya. Justeru, dhuha atau pagi yang penuh nikmat Ilahi itu disyukuri dengan menyembah Allah, simbolik kepada terima kasih seorang hamba kepada Penciptanya.
3 “Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan” (Abu Hurairah :Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
4. Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”
5. Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi).
6. Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas” (Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Bilangan rakaat :
Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat.
Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu
Bacaan dan surah :
Dari segi pembacaan di dalam solat sunat dhuha tiada wajib membaca surah-surah tertentu di dalam rakaat tersebut. Cuma kebiasaan yang dilakukan oleh para ulama iaitu :-
Rakaat pertama dibaca surah Fatihah dan surah Wasy-Syamsi Manakala rakaat kedua dibaca Al-Fatihah dan surah Ad-Dhuha .
Atau pun boleh di baca seperti berikut :-.`
Pada rakaat pertama bacalah ayat kursi kerana ayat kursi terlalu banyak keistimewaannya, semasa surah itu diturunkan beribu-ribu malaikat sebagai perantaranya. Didalamnya juga terkandung KURSI (kerajaan) ALLAH yang sangat besar meliputi 7 lapisan langit dan bumi.
Rakaat kedua bacalah surah Al-Ikhlas sebab surah Al-Ikhlas merupakan 1/3 dari Al-Quran. Surah yang cukup besar maknanya sebab mengandungi sifat-sifat Allah yang Esa dan siapa Allah yang sebenar iaitu yang tidak beranak juga tidak diperanakkan dan tidak ada yang serupa denganNYA. Dua surah ini sudah cukup bagi yang tidak menghafal surah yang disarankan.
" WAHABLI YA WAHAB ILMAW WAHIKMAH WARZUKNI YA RAZZAK KUNLI MUSAHHALAN"
MAKSUDNYA: Kurniakanlah aku ilmu dan hikmah Wahai Maha Pemberian Kurnia.Kurniakanlah aku rezeki Wahai Maha Pemberi Rezeki dan permudahkanlah yang demikian itu untukku.
Ada juga para ulama yang berpendapat semasa sujud terakhir eloklah dibaca zikir 'YA WAHHAB (Allah Maha Pemberi) sebanyak 41 kali.
Selepas salam seeloknya bacalah doa :
Doa selepas solat sunat dhuha
“ Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu, keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu, kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan