16.1.10

larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam

Larangan penggunaan kalimah Allah oleh non muslim
Sumber Berita : Berita online

Selepas Selangor dan Pahang, lapan negeri mengesahkan sudah dan sedang dalam usaha untuk menguatkuasakan larangan penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam melalui penguatkuasaan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di negeri masing-masing.

Lima negeri termasuk Kedah, Johor, Melaka, Terengganu dan Negeri Sembilan sudah menguatkuasakan enakmen itu sementara Kelantan, Perak dan Perlis yang mempunyai enakmen berkenaan kini sedang dalam proses untuk diwartakan.


Empat negeri lagi iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal undang-undang berkenaan.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Uzir Baharom, berkata enakmen berkenaan diwarta dan dikuatkuasakan di negeri itu sejak 1988 dan ia menjadi larangan kepada bukan Islam untuk menggunakan 24 perkataan berunsur Islam termasuk kalimah Allah dalam sebarang terbitan dan ucapan yang dikaitkan dengan agama lain.

"Kita sudah lama warta dan kuat kuasa enakmen berkenaan. Perkataan yang dilarang penggunaannya oleh bukan Islam juga jelas," katanya ketika dihubungi Berita Harian.



Isnin lalu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pihaknya supaya teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam bagi memelihara akidah umat Islam dan keharmonian beragama.

Selain itu, Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang turut tidak membenarkan 25 perkataan bersumber Islam digunakan untuk agama lain.

Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin, turut mengesahkan negeri itu sudah mewarta dan menguatkuasakan enakmen berkenaan sejak 2007.

"Sesiapa yang melanggar enakmen ini boleh dikenakan tindakan kerana dianggap menghina kesucian agama Islam," katanya.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata enakmen berkenaan sudah dikuatkuasakan di negeri itu pada 1980 yang melarang lebih daripada 10 perkataan.

Di Negeri Sembilan, sebanyak 36 perkataan bersumber Islam dilarang penggunaannya oleh agama lain melalui Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam) (Negeri Sembilan) 1991.

Tiada ulasan: