Menurut hukum syarak, setiap solat fardhu yang ditinggalkan wajib diqadha' disebabkan perkara berikut:-
1. terlupa
2. tertidur
3. murtad yang kembali semula kepada Islam
Dari segi istilah fuqaha, qadha' ialah sesuatu (ibadah) yang dilakukan selepas berlalu waktu tunainya untuk mendapatkan sebagaimana yang sebelumnya dengan melakukannya secara qadha' atau mengerjakan semula ibadat-ibadat yang tidak sah, atau yang tertinggal atau senghaja ditinggalkan pada waktu-waktu yang lain.
Dalil Hadis
Dari Anas bin Malik Radhiallahu 'anhu , Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam bersabda:
Maksudnya : Jika tertidur seseorang daripada kamu sehingga tertinggal solatnya ataupun terlupa mengerjakannya, maka hendaklah dia mendirikan solat yang tertinggal itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman:"Dirikanlah solat untuk mengingati Aku". (Hadits riwayat Muslim)
Hukum harus mengqadha' solat itu bukanlah sebagai satu kelonggaran yang membolehkan seseorang itu meninggalkannya dengan senghaja sehingga luput waktunya walaupun berhasrat untuk mengqadha'nya pada waktu yang lain. Adapun anggapan bahawa meninggalkan solat dengan senghaja dan boleh menggantinya pada waktu yang lain asal saja kewajipan itu tidak terus ditinggalkan atau dilupakan adalah satu anggapan yang salah.
Meninggalkan solat Fardhu
Orang yang meninggalkan solat tetapi tidak ingkar akan kewajipannya kadang-kadang disebabkan keuzuran yang diiktiraf oleh syara'. Kadang-kadang pula disebabkan oleh alasan yang bukan syari'e dan inilah yang sering berlaku. Sebab-sebab meninggalkan solat itu boleh dibahagikan kepada dua bentuk yang masing-masing ada kaitan dengan hukum, iaitu:
- Pertama : Meninggalkan solat kerana keuzuran. Orang seperti ini tidaklah berdosa kerana terluput waktu solat bukan dengan kehendak atau kelalaiannya, akan tetapi wajib ke atasnya qadha' solat yang luput itu dan sunat disegerakan qadha'nya.
- Kedua : Meninggalkan solat tanpa ada keuzuran seperti malas atau melalai-lalaikan sehingga luput waktunya. Maka orang seperti ini berdosa tanpa diragukan lagi.
Contoh meninggalkan solat kerana keuzuran atau tanpa disenghajakan itu seperti tertidur, terlupa dan seumpamanya sehingga luput waktu. Namun apabila terbangun daripada tidur atau teringat daripada lupa, maka dia wajib melakukan solat tersebut kerana kewajiban solat masih lagi ditanggungnya.
Dalam sebuah hadits shahih , Abu Qatadah Radhiallahu 'anhu menceritakan mengenai dengan perjalanan mereka bersama Rasullullah Shallallahu 'alaihi wassalam . Dalam perjalanan itu mereka keletihan lantas tertidur.
Apabila mereka terbangun daripada tidur waktu solat sudah pun berlalu. Mereka bertanya sesama sendiri, apakah kaffarah yang mesti dibayar atas kelengahan mereka melakukan solat. Rasullullah Shallallahu 'alaihi wassalam mendengar bisikan mereka lantas bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya di dalam tidur tidak ada kelalaian. Sesungguhnya kelalaian itu ke atas seseorang yang tidak melakukan solat sampai habis waktunya.
Maka sesiapa yang melakukan demikian, segeralah dia solat ketika dia ingat akannya. Maka pada hari esoknya hendaklah ia menunaikan solat ketika waktunya. (Hadits riwayat Muslim)
Walaupun terdapat pengecualian dalam melaksanakan tanggungjawab solat bagi orang yang sedang tidur, ini bukanlah bermakna senghaja tidur atau ditidur-tidurkan untuk mengelak atau mencari helah daripada melakukan solat pada waktunya.
As-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani Rahimahullah dalam kitabnya Fath al-'Allam ketika bercakap mengenai tidur dan hubungannya dengan solat, beliau menyatakan adalah harus tetapi tidak digalakkan tidur selepas masuk waktu solat dan sebelum menunaikan solat, jika mengikut sangkaannya bahawa dia akan bangun dari tidurnya, sama ada bangun dengan sendirinya atau dikejutkan oleh orang lain, dan masih ada waktu untuk dia menunaikan solat.
Jika tidak, maka hukumnya adalah haram. Bahkan baginya dua dosa; dosa kerana meninggalkan solat dan dosa kerana tidur. Maka jika dia bangun dari tidur (sebelum tidur dia menyangka bahawa jika bangun dari tidur tidak ada waktu baginya untuk menunaikan solat) tetapi dia sempat mengerjakan solat, maka terangkat dosa meninggalkan solat. Manakala dosa yang wujud disebabkan dia tidur tidak akan terangkat kecuali dengan beristighfar.
Adapun meninggalkan solat tanpa uzur syari'e atau meninggalkannya dengan senghaja seperti melalaikannya sehingga masuk waktu yang lain adalah berdosa dan wajib baginya mengqadha' dengan segera solat yang luput itu.
Sibuk dengan apa urusan sekalipun bukanlah alasan untuk meninggalkan solat sehingga luput waktu, begitu juga dengan alasan tidak dapat melakukan solat kerana tidak mampu untuk berdiri atau rukuk atau lain-lain alasan kerana sakit.
Sakit tidaklah termasuk antara sebab-sebab yang membolehkan seseorang itu tidak menunaikan solat sebagaimana yang diriwayatkan daripada Imran bin Hushain Radhiallahu 'anhu , beliau berkata:
Maksudnya: Aku menghidap buasir, maka aku bertanya kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam tentang solat. Maka Baginda bersabda: "solatlah berdiri, dan jika engkau tidak mampu, maka duduklah, dan jika engkau tidak mampu, maka solatlah dengan mengiring". (Hadits riwayat al-Bukhari)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan